22 Januari, Selasa – PAS Putrajaya ingin mengemukakan cabaran kepada menantu Pak Lah, Khairy Jamaluddin untuk bertanding di parlimen P-125, Putrajaya pada pilihanraya umum kali ini. Cabaran ini dikemukakan berikutan kedudukan Tengku Adnan yang sudah tidak popular sebagai penyandang calon ekoran keterlibatannya di dalam skandal VK Lingam. Skandal yang sedang dalam prosiding siasatan Suruhanjaya Di Raja itu dijangka akan berlangsung sehingga lewat pembubaran parlimen.

Demografi pengundi Putrajaya yang terdiri daripada pengundi muda (43.29%) dan pengundi wanita (54.18%) yang tinggi juga adalah faktor penentu di dalam pilihanraya kali ini. Khairy, orang muda yang dikenali dan seorang yang diwar-warkan sebagai pemimpin pelapis di lihat sesuai untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Tengku Adnan.

 Sebagai penasihat Pak Lah, Khairy juga bakal mempunyai penguasaan yang lebih besar sekiranya memenangi kerusi Putrajaya. Nanti, bukan sahaja tingkat 4 JPM dikuasai Khairy. Malah seluruh Putrajaya akan berada di bawah tampuk penguasaannya, pusat pentadbiran kerajaan.

Sememangnya buah kemenangan yang bakal dipetik oleh Khairy nanti adalah ranum dan sangat manis sekiranya Khairy memenangi kerusi panas ini.

 PAS Putrajaya telah menghidu Khairy sebagai manusia bercita-cita melampau besar dan menyedari kesempatan ini adalah terbuka luas kepadanya. Kami bersedia menjadi regu lawan yang tidak pantang mengalah sekiranya Khairy bertanding di Putrajaya.

Justeru, PAS Putrajaya mencabar Khairy untuk benar-benar bertanding di Putrajaya kali ini. Kami memberi tempoh selama 5 hari dari hari ini (22 Jan 2008) untuk Khairy menyatakan persetujuannya melalui mana-mana saluran media yang ada. Khairy juga boleh mewakilkan kepada sesiapa sahaja untuk menjadi jurucakapnya, asal sahaja cabaran ini di sahut oleh Khairy.

Kami amat berharap Khairy menerima cabaran ini dan sekiranya tidak disahut, maka kami akan menganggap Khairy adalah seorang yang tidak boleh dicabar kerana tidak berani menghadapi cabaran. Perjuangan kami juga selepas ini akan menjadi semakin senang untuk berdepan dengan Tengku Adnan yang sudah terpalit dengan isu VK Lingam sekiranya Khairy tidak menyahut cabaran ini.

Ingat! Sila sahut cabaran ini dalam masa 5 hari dari saat ini, tidak kira melalui apa cara sekalipun, kerana kami sememangnya sudah bersedia. Kami mencabar!

 Oleh : PAS Putrajaya