May 2009


Nyza Ayob – Harakahdaily
Wed | May 27, 09 | 7:50:40 am MYT

KUALA LUMPUR, 27 Mei (Hrkh) – Tindakan kerajaan melanjutkan tempoh sehingga enam bulan sama ada akan meneruskan atau memansuhkan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) menimbulkan kemarahan Penyandang Kursi Pengajian Melayu Malaysia-China, Universiti Pengajian Asing Beijing, Prof. Dr Awang Sariyan.

Beliau yang dihubungi Harakahdaily mempersoalkan sehingga bila kerajaan akan yakin hasil pemikiran dan kajian ahli ilmu sehingga memerlukan tempoh yang begitu lama untuk membuat keputusan mengenai dasar tersebut.

“Sebenarnya saya sudah jemu untuk memberi komen mengenai isu ini. Kami di kalangan pejuang bahasa sudah kering tekak dan sudah memberi semua hujah. Sudah bertimbun kertas kerja, memorandum dan buku yang kita kemukakan. Adakah itu tidak cukup untuk kerajaan membuat keputusan?

“Apa yang meragukan ialah kajian Kementerian Pelajaran Malaysia yang memilih-milih responden untuk menguatkan hujah mereka utk meneruskan PPSMI. Nasib dasar di negara kita samalah dengan kisah Yunani purba iaitu kisah seorang putera raja yg dihukum menolak batu ke puncak bukit. Setiap kali batu sampai di puncak, dewa menekan dari atas dan batu pun melorot balik. Ditolak lagi, begitu juga jadinya hingga akhirnya tak pernah lepas batu itu ke sebelah lereng. Kerana apa? Kerana ada kuasa yang menekan usaha melepaskan batu ke lereng satu lagi,”tegasnya.

Jelas Awang, kisah tersebut samalah dengan nasib dasar-dasar di negara ini seperti dasar ekonomi, dasar kebudayaan, dasar pendidikan dan dasar bahasa.

Beliau berpandangan dasar tersebut ibarat batu yang ditolak ke puncak bukit iaitu yang hampir berjaya atau separuh berjaya ditolak ke puncak, ditekan ke bawah semua dan berulang kali.

“Itulah tragedi dalam negara atau masyarakat yang tidak melandaskan sesuatu keputusan pada ilmu dan pemikiran yang jelas. Di satu sisi kita bercakap tentang dasar pembinaan jati diri bangsa dan negara termasuk melalui dasar bahasa, dasar pendidikan serta dasar kebudayaan.Tetapi di sisi lain keputusan tidak selaras dengan dasar, lebih condong kepada asas pragmatisme melulu,”katanya.

Sementara itu Ahli Jawatan Kuasa Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP), Suhaizan Kaiat berpandangan jika diimbas kembali janji Menteri Pelajaran sebelum ini, Dato’ Seri Hishamudin Hussin, kajian mengenai dasar tersebut telah selesai.

Namun katanya, apabila menteri bagi kementerian tersebut bertukar kajian bagi dasar tersebut masih dilanjutkan sedangkan pelbagai kajian telah dilaksanakan termasuk enam rundingan meja bulat.

Sehubungan itu katanya, sekiranya pada Disember nanti baru keputusan bagi dasar tersebut akan diputuskan, ia akan menimbulkan pelbagai masalah termasuk penyediaan buku-buku teks dan rujukan. – mks. _

Sumber asal: Posted on Mei 22, 2009 by pemudawilayah

YB Dr Lo’ lo’ Hj Ghazali

Saya merakamkan kekesalan saya atas sikap Menteri WP yang baru YB Senator Dato Raja Nong Chik yang sangat tidak menghormati Ahli Parlimen malah biadap tehadap wanita. YB Menteri dalam ‘Lawatan Mengejut’ ke Keramat Mall Kg Dato Keramat petang semalam Khamis 20 Mei telah mengeluarkan kata-kata berikut apabila saya mengkritik dia kerana tidak memaklumkan lawatan tersebut kepada saya selaku Ahi Parlimen Titiwangsa.

I turun everywhere takkan nak bagitau you semua. NI SAYA NAK PERGI TANDAS, TAKKAN NAK BAGI TAU YOU, YOU NAK IKUT KE?

Kata-kata seperti ini sangat tidak layak dikeluarkan oleh seorang Menteri apatah lagi Menteri yang baru dilantik malah belum lagi pun mengadakan sebarang pertemuan rasmi dengan Ahli-Ahli Parlimen WP seperti yang dijanjikan.

Sebagai seorang wanita yang terhormat, seorang Wanita Islam yang menjaga syahsyiah diri, saya merasa terhina dan tidak dapat menerima kata-kata tersebut keluar dari mulut seorang Menteri lebih-lebih lagi saya seorang wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat. Ada ramai rakan-rakan yang berpendapat ini satu bentuk gangguan seksual walau pun tidak berapa jelas tujuan dan maksud kata-kata tersebut dikeluarkan.

Apa yang dikatakan ‘Lawatan Mengejut’ adalah tidak benar kerana turut serta dalam lawatan tersebut adalah KSU Kementerian WP dan beberapa pegawai tinggi kementerian, Dato Bandar KL, Ketua Pengarah DBKL dan sebahagian besar Pengarah-Pengarah Jabatan-Jabatan serta Pegawai-pegawai Tinggi sehinggalah kepada kakitangan rendah DBKL.

Saya juga lihat dalam majlis tersebut ada atur-cara rasmi yang disediakan dalam helaian bercetak, taklimat oleh konsultan, jamuan dan persiapan-persiapan lain. Persatuan Peniaga WP cawangan Pasar Dato Keramat juga diwakili oleh semua AJK, dan yang paling menonjol adalah kehadiran Ketua Bahagian UMNO Titiwangsa bersama Timbalan, AJK, Wanita dan Pemuda UMNO. Ketua Bahagian UMNO Titiwangsa diberi tempat istimewa sebelah Menteri WP sepanjang majlis tersebut.

Saya ambil kesempatan ini untuk maklumkan secara terbuka kepada Perdana Menteri Dato Seri Najib Tun Razak yang saya kira telah mengambil keputusan yang kurang tepat dengan melantik seorang yang bukan Ahli Parlimen, yang tiada latar belakang Pentadbiran dan hanya seorang Ketua Bahagian yang berlatar belakangkan dunia korporat untuk menerajui sebuah Kementerian yang penting seperti Kementerian WP; sehinggakan beliau tidak mampu memposisikan diri beliau sebagai seorang Menteri kepada semua warga WP dan bukan hanya seorang Ketua Bahagian UMNO.

Saya telah melalui pengalaman selama setahun bekerja dengan Menteri WP yang lalu DS Zulhasnan yang jauh lebih matang, berhemah dan sering bersikap prpfesional terhadap saya dan juga Ahli-ahli Parlimen WP yang lain. Saya curiga apakah kesalahan besar yang dilakukan Menteri WP yang lalu sehingga beliau disingkirkan sedangkan beliau juga adalah seorang Ahli Parlimen.

Slogan Satu Malaysia PM kini semakin terbukti hanya retorik semata-mata kerana tidak dapat dihayati oleh Menteri Kabinet lantikan beliau sendiri dan oleh agensi kerajaan seperti DBKL yang dikongkong sedemikian rupa oleh UMNO/BN. Namun saya kira ini akan memberi ‘Political Mileage’ kepada Pakatan Rakyat kerana sikap Menteri yang keterlaluan dan DBKL yang tidak mesra Wakil-wakil Rakyat akan menambah ketidak-puasan hati rakyat kepada UMNO/BN.

Sekian, terima kasih atas kerjasama semua ahli-ahli Yang Berhormat, Wanita Pakatan Rakyat, NGO-NGO, kakitangan Pejabat Agung PAS dan terutamanya pihak media yang sudi hadir.

Dr Lo’lo’ bt Dato’ Hj Mohamad Ghazali
Ahli Parlimen Titiwangsa
21 Mei 2009

Malaysiakini : ADUN PAS meninggal dunia

ADUN Manik Urai, Ismail Yaacob meninggal dunia kira-kira subuh hari ini di hospital Kota Bharu dan PAS memanggil satu sidang media di Kuala Lumpur berhubung perkara tersebut.

Difahamkan Ismail, 60, dimasukkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II pada 26 April lalu kerana menghadapi masalah di bahagian kakinya sehingga menyebabkan kesihatannya sering kali terganggu.

Allahyarham antara ADUN yang paling lama berkhidmat di Kelantan sejak memenanginya pada pilihanraya umum 1986.

Kecuali pada 2004, Allahyarham sudah lima penggal dipilih mewakili kawasan tersebut – bawah parlimen Kuala Krai yang diwakili bendahari PAS Dr Hatta Ramli.

Pengarah pilihanraya PAS Datuk Mustafa Ali dijadual mengadakan satu sidang media di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur jam 11 pagi ini.

Beliau juga dijangka mengulas pilihanraya kecil DUN Penanti yang akan bermula Sabtu ini sehingga 31 Mei.

Keputusan pilihanraya umum 2008 bagi N41 Manik Urai

Jumlah pengundi: 12,292 orang
Peratusan kaum: Melayu 99.25%, Cina 0.44%, India 26%, Lain-lain 0.02%

1. Ismail Yaacob (PAS) 5,746
2. Mohamed Zulkifli Omar (BN) 4,394

Majoriti: 1,352
Jumlah undi: 10,332
Peratus mengundi: 84.05%
Undi rosak: 192

Herman-Pemudawilayah mengucapkan takziah kepada keluarga beliau. Semoga Allah menganjari beliau dengan sebanyak-banyaknya atas segala jasa kepada rakyat, Pas dan Islam keseluruhannya. Pemergian beliau adalah satu kehilangan yang besar buat parti. Al-Fatihah.


Nota DDP Putrajaya: Penulis diajukan soalan di manakah Manik Urai terletak? Manik Urai terletak di Kuala Krai, Kelantan (tanda A, B, C… di bawah).

Adalah dimaklumkan Ijtima’ PAS Wilayah Persekutuan akan diadakan seperti info berikut:

Tarikh: Ahad, 24 Mei 2009
Masa: bermula jam 8.00 pagi
Tempat: Markaz Tarbiyah PAS Taman Melewar.

Semua dijemput hadir meramaikan Ijtima’ ini. Terima kasih.

Posted on by HermanSamsudeen

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (Pemudawilayah) menghormati Dato’ Seri Najib Tun Razak yang telah berkhidmat dalam medan politik selama 33 tahun. Penghormatan wajar diberikan oleh UMNO dan Barisan Nasional kepada beliau yang telah berusaha gigih sehingga dilantik menjadi Perdana Menteri Malaysia Kelima.

Beliau harus faham, setelah 50 tahun BN memerintah di negara ini, rakyat sudah boleh menilai kepimpinannya. Hakikatnya, rakyat sudah menolak BN. Buktinya pada 8hb Mac 2008 yang lalu. Ini ditambah pula dengan kekalahan BN dalam empat pilihanraya kecil berturut-turut.

Maka, parti pembangkang atau Pakatan Rakyat perlu mengambil alih pemerintahan negara dengan segera supaya dapat memperbetulkan kesilapan, kelemahan dan kerosakan yang dilakukan oleh Barisan Nasional sebelum ini.

Islam telah mengajar umatnya dalam solat berjemaah. Simboliknya, jika imam melakukan kesilapan dalam solat, makmum yang lelaki atau perempuan wajib untuk menegurnya. Jika imam tersebut masih meneruskan solatnya walaupun sudah ditegur berulang kali, maka makmum perlu untuk menggantikan imam tersebut termasuklah bermufaraqah dalam solatnya.

Pemudawilayah berharap agar YAB Dato’ Seri Najib faham dengan analogi yang diajar dalam Islam ini. Tambahan pua, beliau juga adalah seorang Muslim.

Krisis politik dan perlembagaan yang berlaku di Perak jelas menunjukkan bahawa Barisan Nasional yang gilakan kuasa. Meskipun, Mahkamah Tinggi telah memutuskan bahawa YAB Dato’ Seri Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar yang sah, Barisan Nasional masih enggan menghormati sebaliknya mengheret kes ini ke peringkat yang lebih tinggi.

Begitu juga insiden demokrasi hitam yang berlaku pada 7hb Mei di Dewan Undangan Negeri Perak. Siapakah yang menyuruh pihak polis dan orang-orang yang tidak dikenali masuk, membuat kecoh dan menarik Speaker DUN keluar dari dewan persidangan tersebut? Adakah ini bukti yang jelas bahawa BN sendiri yang gilakan kuasa dan kedudukan?

Mior Isfandy Mior Azizan
Timbalan Ketua Penerangan
Dewan Pemuda Pas Wilayah Persekutuan

Sumber: Blog Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat

KEWUJUDAN PAS dalam lanskap politik negara, tidak lagi dikesampingkan. Selepas 54 tahun PAS mampu duduk sama tinggi dengan parti utama. Maka tidak hairanlah setiap kali menjelang muktamar, pelbagai polemik dicetus media. Ia bertujuan memperlihatkan kecamuk PAS dari luar. Antara isu yang diungkit berkaitan golongan ulama, profesional dan unity government. Bagi memahami situasi sebenar ikuti pandangan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika ditemui di pejabatnya Selasa lalu.

Nampaknya isu golongan ulama dan profesional dalam PAS diperdebatkan secara terbuka di media sekarang. Bagaimana Tuan Guru melihat situasi ini?

Sepatutnya tidak berlaku pengasingan di antara ulama dan profesional. Tetapi pengasingan berlaku juga hasil daripada penjajahan barat yang mengasingkan agama dan politik. Sampai kita terbawa-bawa dengan isu tersebut. Bukan sekadar berlaku di Malaysia tetapi di negara Arab juga. Negara Arab dijajah Perancis. Penjajah mengasingkan agama dan politik. Mereka sebarkan kefahaman itu di sekolah sehingga ke universiti. Dan apabila penjajah pulang negara bekas jajahan yang tidak kuat pengaruh agama terpengaruh juga menerima agama lain dan politik lain. Sedangkan agama dan politik adalah perkara yang satu tidak boleh diasing-asingkan. Dalam al Quran Allah Taala menyebut dalam surah Fathir ayat 27 yang bermaksud Allah turunkan air dari langit sehingga keluar buah-buahan dari perut bumi dengan bermacam warna dan beraneka rasa. Dan ayat 28 pula bermaksud orang yang gerun kepada Allah ialah ulama. Ini bermakna ulama tidak bererti hanya mengajar fiqah sahaja tetapi pandai juga mentadbir. Misalnya air yang diturunkan dari langit ini ada kaitan dengan ilmu astronomi. Ulama kena tahu kedudukan langit. Hujan turun dari langit ke bumi. Air yang turun ditampung oleh udara menyebabkan hujan yang turun bertitik-titik dan tidak  segumpal jatuh di atas kepala kita. Ini bermakna ulama dan profesional adalah orang yang sama. Di Kelantan kita banyak buka pengajian agama. Dan sekarang kita buat Maahad Tahfiz Sains, di mana anak kita hafal al Quran dan tahu ilmu sains. Kita hendak lahirkan pelajar yang ada ilmu agama dan sains. Dan 20 atau 30 tahun akan datang penghulu kampung sehingga ketua jajahan dan menteri besar adalah mereka yang hafal al Quran dan tahu bidang sains.

Pandangan sesetengah pemimpin menyebabkan penyokong di akar umbi tidak faham?

Sepatutnya tidak berlaku kekecohan seperti sekarang kerana kita sudah lama gabungkan ulama dan profesional. Kita sudah lama gabungkan di antara ulama dan profesional. Saya tidak faham kerana apa pula timbul cerita ini. Ada sesuatu macam kena kecek (pengaruhi). Mungkin mereka terpengaruh dengan pihak lawan. Di Kelantan PAS jauh ke hadapan berbanding dengan Umno untuk menawan hati rakyat khasnya nonMuslim. Kita sebut orang Melayu, Cina, India, Siam adalah serupa kerana kita manusia belaka. Maka tidak timbul hendak letak kelompok-kelompok tertentu. Dalam solat kita sebut ‘Maliki Yaul Middi’ – pembalasan di akhirat kelak dia tidak kira perlembagaan Malaysia ke, Inggeris, Greek tua atau apa-apa sahaja. Allah Taala hanya kira perlembagaan yang Dia buat iaitu al Quran.

Ulama mesti tahu segala-galanya. Orang yang hendak pimpin sama ada hendak sebut nama Ikwan, Jemaah Islam ke atau apa sahaja perlu tahu agama dan agama itu bermaksud tahu juga akademik. Akademik bermaksud menerangkan kekuasaan Allah. Bagaimanapun proses Allah menurunkan air alim ulama kena tahu. Dan air menyuburkan pokok sehingga mengeluarkan buah yang bermacam-macam rasa. Saya tidak faham kenapa hendak kecoh sekarang.

Kebiasaannya ulama dianggap hanya mereka yang berpendidikan agama?

Itu fahaman lama ketika agama Islam masuk ke Tanah Melayu, orang yang mengajar agama tidak banyak tahu ilmu akademik. Sumber ilmu yang diambil di Makkah tidak banyak bidang akademik. Bagaimanapun sekarang di Makkah dan di mana sahaja ada bermacam-macam ilmu akademik. Al Quran dia hafal dan akademik pun tahu. Generasi baru sekarang menerajui  gerakan Islam.

Apa pula maksud profesional?

Pada tanggapan saya orang yang belajar ilmu akademik. Akademik itu ilmu Allah juga. Siapa rajin dia dapat. Di Kelantan pada peringkat awal institusi pondok mengajar masyarakat pandai agama. Selepas itu berkembang menjadi Jami’ Merbau di mana ilmu pengajian lebih banyak berbanding pondok. Selepas itu ditingkatkan lagi menjadi Maahad Muhammadi dan perkembangan ilmu semakin meluas. Secara jelas di sini, apabila disebut ulama akan termasuk sama bidang akademik.

Bolehkah dikatakan pakar ekonomi dan bidang lain dikenali sebagai ulama memandangkan pengetahuan agama pun ada?

Kalau tidak tahu Islam, tidak bolehkan hendak dikatakan sebagai ulama. Mereka yang sokong PAS tetapi tidak ada ilmu agama, kita tidak boleh lantik sebagai pemimpin. Misalnya kalau kita hendak bawa kapal di laut, bukan sekadar pegang stereng sahaja tetapi kena tahu pelbagai perkara mengenai laut. Dia kena ada pengetahuan mengenai awan, cahaya matahari dan keadaan laut. Orang yang hendak jaga negeri mesti ada asas agama.

Di Kelantan ketika kita mula-mula mentadbir, saya minta pindahkan wang daripada bank riba ke Bank Islam. Cara macam mana hendak buat itu orang belajar bidang akademik yang lakukan. Orang hendak jadi Menteri Besar kena tahu ilmu akademik dan agama.

Barisan anggota Exco yang Tuan Guru lantik sekarang dikategori sebagai ulama?

Katakanlah orang itu tidak belajar di pondok, tetapi dia duduk lama dengan saya. Dia tengok perangai saya, dia dengar ucapan saya, dan hadir usrah bersama saya, macam mana boleh dikatakan tidak belajar agama. Tidak semestinya belajar di pondok baru boleh dikatakan tahu asas agama. Mereka semua sudah lama bekerja dengan saya. Sepanjang perkhidmatan itu mereka boleh menimba ilmu agama. Jadi boleh dikategorikan mereka sebagai ulama juga.

Apa nasihat Tuan Guru mengatasi percanggahan pandangan sekarang?

Saya nasihatkan kita kembali kepada asal. Ini kerana agama ada jalinan dengan akademik. Dalam Islam ada disebut agama dan daulah. Ada pun fahaman yang mengatakan agama lain dan politik lain adalah dibawa oleh penjajah. Kita cuba usaha ranapkan pengaruh penjajah dari sehari ke sehari. Tidak ada pasal hendak kita timbulkan isu tersebut. Kita telah lama memilih pemimpin yang ada asas agama. Sekarang nampak kejayaan apabila orang bukan Islam juga sudah tertarik dengan PAS. Orang Cina yang sokong Pakatan Rakyat sudah pandai beri salam, sedangkan MCA, MIC sudah lama berkawan dengan Umno, namun mereka tidak memberi kefahaman Islam kepada bukan Islam. Generasi orang bukan Islam sekarang sudah ramai berpelajaran. Dan Islam dari awal lagi menyarankan supaya menuntut ilmu. Islam sesuai dengan akal fikiran manusia.

Sekarang ramai pemimpin tampil merebut jawatan dalam PAS, tidakkah itu boleh menimbulkan masalah?

Mereka yang menawar diri untuk bertanding kerana sudah lama berjuang dalam PAS. Mereka tahu asas-asas Islam. Dan kita belum dengar ada orang mengkritik calon-calon tersebut tidak sembahyang atau engkar ajaran agama. Jadi terpulang kepada perwakilan bagi memilihnya. Saya suka orang tawar diri untuk berkhidmat kepada gerakan Islam.

Pada pandangan Tuan Guru wajarkah jawatan utama dikekalkan?

Kita beri peluang kepada kawasan untuk mencalon dan memilih kecuali kalau ada masalah selepas muktamar kita wujudkan peraturan khusus.

Tidakkah boleh menimbulkan perpecahan dalam PAS?

Kita hendak cari manusia yang tidak berpecah tidak ada. Allah telah sebut sebelum Nabi Adam dibawa turun ke bumi di mana Allah Taala menyebut ‘Hai Adam apabila kamu turun ke bumi kamu akan bertengkar sesama sendiri. Bagaimanapun bagi mana-mana orang yang turut hidayah Aku akan senang lenang tanpa ada sebarang masalah.’ Sekarang apabila perwakilan ramai kita memilih menggunakan kertas undi dan tidak lagi angkat tangan.

Sebelum ini media harian menganggap wujud dua kelompok dalam PAS iaitu pro Endorgan dan konvensional. Benarkah demikian?

Itu sekadar tanggapan yang dimainkan media hendak lariskan suratkhabar mereka. Ada sesetengah wartawan menulis dengan hasrat mahu melaga-lagakan, dan ada juga wartawan yang lebih berhati-hati kerana mengambil sikap tanggungjawab di dunia dan akhirat. Dalam PAS hanya ada satu kumpulan yang berjuang untuk mendaulatkan Islam. Perjuangan kita di atas dunia hendak daulatkan Islam dan di akhirat mahu ditempatkan oleh Allah Taala ke dalam syurga.

Baru-baru ini timbul dakwaan dalam blog kononnya Tuan Guru dinasihatkan oleh pembantu yang cuba melagakan dengan Presiden. Sejauh mana kebenarannya?

Saya sudah tegur orang terbabit. Hendak cari orang yang tiada silap ini tiada. Orang yang tiada silap langsung ialah kaki lepak yang tidur sepanjang masa. Kesilapan tersebut maka agama ajar suruh nasihat menasihati antara satu sama lain.

Bagaimana pula dengan isu unity government?

Tidak timbul lagi sekarang kerana Presiden telah menarik balik cadangan tersebut.

Sumber: Minda Tajdid Dr. Maza

PAS panas memperdebatkan isu kepimpinan parti itu sama ada patut dipegang oleh golongan ‘ulama’ atau professional? Saya tidak berhasrat untuk memberikan pandangan kerana itu urusan ‘rumahtangga jiran’ yang tiada keperluan untuk campur tangan. Namun apabila ramai orang bertanya saya dalam bentuk soalan yang lebih luas; apakah menurut Islam hanya ulama sahaja yang boleh menjadi ketua negara? Jika itulah soalannya, saya rasa terpanggil untuk turut memberikan pandangan.

Saya masih ingat dalam satu temubual Akhbar Harakah dengan saya beberapa bulan lepas, saya telah menjawab persoalan-persoalan yang dikemukakan. Hampir semua yang saya jawab disiarkan, cuma beberapa jawaban saya tidak dikeluarkan. Antara jawapan saya yang tidak diterbitkan itu, saya menyebut: “Pemikiran politik Islam yang difahami oleh sesetengah para pejuang negara Islam itu sendiri perlukan perubahan atau tajdid. Kita tidak boleh terikat dengan konsep Darul Islam yang tulis oleh al-Imam al-Mawardi r.h dalam al-Ahkam al-Sultaniyyah lagi.

Barangkali banyak isi kandungan buku tersebut sesuai untuk zaman Kerajaan Abbasiyyah yang ketika itu. Dengan menghormati kesarjanaan dan ketokohan al-Imam Al-Mawardi r.h, namun beliau dalam banyak hal menggambarkan sistem kerajaan pada zamannya, sedangkan konsep pentadbiran dan politik dalam Islam jauh lebih fleksibel dan luas dari apa yang digambarkan oleh al-Mawardi ketika itu…

Politik Islami tidak boleh lagi sekadar mengulangi apa yang disebut oleh al-Imam al-Mawardi r.h, nanti kita akan tersepit. Jika sesetengah tokoh agamawan yang memperjuangkan negara Islam tidak lebih terbuka, mereka akan menghadapi masalah, atau bercakaran sesama sendiri apabila tiba ke peringkat perlaksanaan Islam itu dalam alam realiti. Akhirnya, kelompok pembaharuan akan muncul di tengah-tengah mereka dan pergeseran akan berlaku. Maka tafsiran politik Islami itu sendiri perlu diluaskan”.

Ya, al-Imam al-Mawardi r.h dalam tulisannya menyebut syarat seorang khalifah mestilah memiliki ilmu yang memampukannya berijtihad dalam menyelesaikan keadaan dan hukum. Al-Mawardi juga menyebut bahawa khalifah mestilah berketurunan Quraish. Jika dilihat dari segi dalil, walaupun lojiknya ada, tetapi tiada nas yang mensyaratkan seseorang khalifah mesti mencapai ilmu ke peringkat ijtihad hukum.

Tetapi, ada hadis sahih yang menyebut: “Para imam itu daripada Quraish” (Riwayat Ahmad). Sehingga kata al-Mawardi: “Hendaklah imam (khalifah) itu berketurunan Quraish disebabkan ada nas yang menyebutnya dan telah berlaku ijmak (consensus)”. Ertinya, jika syarat-syarat al-Mawardi itu hendak dipegang, maka syarat Quraishlah yang mempunyai dalil hadis. Syarat-syarat lain hanyalah atas lojik yang kuat dalam urusan politik seperti sempurna pancaindera, kesihatan, pemikiran dan seumpamanya.

Menariknya, di Malaysia belum ada yang bertanya: apakah Perdana Menteri disyaratkan seorang yang berketurunan Quraish? Untuk pengetahuan, Ibn Khaldun dan beberapa sarjana lain mempunyai tafsiran yang berbeza dalam isu pensyaratan Quraish sebagai khalifah. Bukan di sini untuk saya bincangkan. Apa yang hendak saya sentuh, perlu keluasan pemikiran dalam menganalisa atau berpegang dengan teks-teks klasik yang sebahagiannya mempunyai keadaan yang berbeza.

Isu pemimpin negara mestilah ulama menjadi lebih rancak dibincang dalam dunia pemikiran apabila tercetusnya Revolusi Iran dan Khomeini memperkatakan tentang konsep Wilayah al-Faqih yang meletakkan faqih atau ulama sebagai pemimpin. Konsep itu mempunyai akar umbi kefahaman Syiah yang tersendiri, walaupun ia juga didebatkan di kalangan mereka. Gerakan-gerakan Islam yang wujud, sebahagiannya terpengaruh dengan perkembangan-perkembangan ini.

Di samping, pengalaman menunjukkan ramai pemerintah negara yang ‘bukan ulama’ dalam kalangan umat Islam telah gagal untuk berpegang dengan Islam, hingga ramai yang menyangka hendaklah ulama yang menjadi pemerintah. Padahal, penyelewengan yang berlaku dalam banyak keadaan bukan disebabkan latar pendidikan, tapi disebabkan oleh prinsip kehidupan yang dihayati oleh seseorang individu pemerintah itu sendiri. Dalam ertikata lain, jika pemerintah itu bukan ulama sekalipun, tetapi jika dia ingin menjadikan negara berpegang dengan prinsip-prinsip Islam, nescaya dia mampu melakukannya.

Ini kerana, dia boleh mendapatkan khidmat ulama dan nasihat mereka. Betapa ramai pemerintah yang bukan saintis tetapi berjaya menyuburkan perkembangan sains dan teknologi dalam negaranya. Sebaliknya, jika pemerintah itu lulusan pengajian Islam sekalipun, tetapi tiada hasrat meletakkan keadilan seperti yang dituntut oleh Islam, maka maksud siasah islamiyyah tetap tidak akan tercapai.

Kemudian, apa yang menjadi masalah kepada masyarakat kita siapakah ulama menurut kefahaman orangramai?. Apakah seseorang itu dianggap ulama hanya kerana dia berkelulusan pengajian Islam? Atau kerana dia memakai jubah dan serban? Atau kerana dia dipanggil ‘ustaz’?. Perkataan ulama berasal dari ‘ilmu’. Bermaksud seseorang yang menguasai ilmu. Jika ia dikaitkan dengan pengajian Islam membawa maksud seseorang yang menguasai ilmu dalam bidang pengajian Islam.

Bidang pengajian Islam itu pula luas; ada bab ibadah, muamalah, siasah, tazkiyah al-nafs dan lain-lain. Apakah jika seseorang yang hanya menguasai satu bidang sahaja sedangkan tidak kemahiran dalam siyasah atau politik, layak digelar ulama yang boleh memerintah? Al-Imam al-Mawardi sendiri meletakkan salah satu dari tujuh syarat khalifah mempunyai pemikiran yang memampukannya menguruskan politik dan kemaslahatan rakyat jelata. Jika dia bergelar ulama, tetapi ‘kontang’ dalam soal ini, dia tidak layak.

Saya berpendapat perbahasan; samada ulama atau professional yang layak menjadi ketua negara hanya membazirkan waktu. Apa yang penting kita hendaklah jelas; apakah yang kita kehendaki daripada pemerintahan dan politik? Yang menjadi tanggungjawab politik islami adalah keadilan dan kesejahteraan yang berdasarkan petunjuk wahyu.

Dalam melaksanakan maksud ini, hasrat seseorang pemerintah yang dibantu oleh ilmu pengetahuan adalah penting. Jika dia ulama yang mahir dalam politik serta mempunyai ketangkasan siasah, tentulah itu yang terbaik. Jika dia seorang ahli politik yang mahir sekalipun tidak ulama, dia boleh dibantu oleh para ulama yang mendokong hasratnya. Apatah lagi kita kini dalam kerangka negara moden yang lebih teratur dan tersusun dibanding negara pada zaman buku-buku klasik politik Islami itu ditulis.

Apa yang menjadi masalah adalah jika seseorang jahil atau tidak mahir pentadbiran dan siyasah tetapi ingin memerintah. Sekalipun dia memakai gelaran ‘ulama’ ataupun professional. Justeru itu, Nabi s.a.w bersabda kepada sahabah baginda yang soleh dan warak Abu Zar al-Ghifari :

“Wahai Abu Zar, Sesungguhnya engkau ini lemah, sedangkan jawatan itu adalah amanah. Ia pada hari akhirat nanti adalah kerugian dan penyesalan, kecuali sesiapa yang mengambilnya dengan kelayakan dan menunaikan apa yang menjadi tuntutannya.” (Riwayat Muslim).

Namun Khalid bin al-Walid r.a. sekalipun Nabi s.a.w. pernah menegur dan membantah beberapa tindakannya yang melanggar disiplin peperangan yang digariskan oleh baginda, tetap baginda pilih mengepalai tentera Islam dan menggelarnya sebagai pedang Allah. Ini kerana kemampuan yang dimiliki Khalid tidak dimiliki oleh sahabat-sahabat lain, sekalipun mereka lebih berilmu dan dekat dengan Nabi s.a.w dibandingkan Khalid.

Al-Imam Ibn Taimiyyah dalam Al-Siyasah al-Syar`iyyah fi Islah al-Ra`iy wa al-Ra`iyyah menyebut: “Apabila dua orang, salah seorangnya lebih amanah dan seorang lagi lebih kuat (mampu) maka hendaklah didahulukan yang lebih bermanfaat untuk jawatan berkenaaan dan paling kurang mudharatnya bagi jawatan tersebut. Maka dalam mengepalai peperangan, yang kuat dan berani -walaupun padanya ada kejahatan- diutamakan dari lelaki yang lemah dan tidak berkemampuan walaupun dia seorang yang amanah.

Maka tanggungjawab umat Islam sekarang bukan membincangkan ‘ulama’ atau ‘professional’ yang layak memerintah, tetapi melihat tanggungjawab jawatan tersebut dalam kerangka politik hari ini dan siapakah yang paling sesuai atau paling berkesan dalam mencapai matlamat sebuah negara yang adil dan dirahmati Allah. Isunya bukan isu gelaran, atau jenis pakaian, tetapi isu amanah dan kemampuan dalam mentadbir dan menguruskan kehidupan rakyat.

Sumber: Laman Web Muktamar PAS ke-55

Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda Pas Wilayah Persekutuan malam tadi bersetuju melantik Kamarul Arif Muhammad sebagai Setiausaha dewan tersebut. Beliau sebelum ini yanag memegang jawatan Timbalan Ketua Pemuda sebagai Setiausaha yang baru.

Suhaimi Abd Aziz yang sebelum ini memegang amanah sebagai Pengerusi Lajnah Tarbiyyah dilantik sebagai Penolong Setiausaha 1 dengan dibantu oleh Khafi Ali sebagai Penolong Setiausaha 2.

Seterusnya mesyuarat juga bersetuju untuk mengekalkan Bendahari lama Sdr. Khairil Nizam untuk meneruskan gerak kerja dan agenda kewangannya.

Ketua Penerangan pula kini beralih kepada Sdr. Nasaie Ismail yang juga Ketua Pemuda Pas Lembah Pantai. Timbalan Ketua Penerangan pula adalah Sdr. Meor Asfandy Azizan.

Bagi jawatan Pengarah Jentera Pilihanraya Pemuda pula, mesyuarat sebulat suara memilih Sdr. Khairul Anuar Abd Manaf yang juga mantan Naib Ketua sebagai pengerusinya.

Pemudawilayah kini diterajui oleh Sdr. Kamaruzaman Mohamad sebagai Ketua, Sdr. Herman Samsudeen, Timbalan Ketua dan Sdr. Lokman Ibrahim sebagai Naib Ketua.

……….senarai potfolio mengikut lajnah akan dikemaskini.

Sumber: Laman Web Muktamar PAS Ke-55

KUALA LUMPUR, 8 Mei - Bertempat di Dewan Dato; Fadhil Noor, Markas Tarbiyyah Taman Melewar pada 2 dan 3 Mei yang lepas berlangsungnya Muktamar Pemuda Pas Wilayah Persekutuan yang menyaksikan Jawatan Ketua Pemuda dikekalkan. Mandat untuk penggal kedua diberikan kepada Kamaruzaman Mohamad.

Sementara itu Mantan Ketua Penerangan, Herman Samsudeen dilantik sebagai Timbalan Ketua Pemuda mengantikan Kamarul Arif Muhamad. Perkara yang sama turut berlaku dalam jawatan Naib Ketua Pemuda dimana Lokman Ibrahim dilantik menggantikan penyandang jawatan tersebut sebelum ini Khairul Anuar Abd Manaf.

Dimaklumkan keputusan tersebut dibuat melalui Majlis Syura Pemuda Wilayah yang kemudiannya diluluskan oleh Perwakilan Muktamar.

Manakala 10 orang Ahli Jawatankuasa telah dipilih oleh perwakilan pada hari yang sama, mereka yang dipilih ialah Hj. Khairil Nizam, Fatah Yusof, Suhaimi Abd Aziz, Solihin Zakaria, Fadhil Othman, Hafiz Habil, Khafi Ali, Ust. Adlin Salleh, Nasaie Ismail, dan Mior Isfandy Azizan.

Pemuda Wilayah mengharapkan gabungan muka baru dan lama ini dapat membantu meneruskan perjuangan pemuda wilayah dan Pas di Wilayah Persekutuan ini khususnya.

Mesyuarat Ahli Jawatankuasa yang pertama turut dijangka akan berlangsung pada 10 Mei ini bagi perlantikkan beberapa orang AJK lagi serta pembentukan senarai organisasi yang baru.