1.      Isu ini menimbulkan kontroversi ekoran daripada aduan seorang ahli MCA yang menulis surat kepada Perdana Menteri meminta suara azan di Masjid Al Ikhlasiah, Pantai Dalam diperlahankan.

2.      Ekoran aduan tersebut, pihak masjid Al Ikhlasiah, Pantai Dalam telah memperlahankan suara azan dan telah menimbulkan kemarahan beberapa pihak. Beberapa pihak telah mengadakan demonstrasi dihadapan masjid tersebut minggu lepas.

3.      Memorandum ini meminta dan mendesak JAWI agar menimbangkan beberapa perkara penting-

i.                     Meminta suara azan di masjid Al Ikhlasiah dikembalikan seperti asal bagi mengelakkan lebih banyak kemarahan umat Islam khususnya di kawasan sekitar. Ini kerana majoriti penduduk di sekitar kawasan masjid adalah dari kalangan umat Islam. Tidak timbul soal suara azan mengganggu penduduk kerana lebih ramai umat Islam menetap di kawasan terbabit.

ii.                   DPPWP juga menuntut agar pihak JAWI membuat satu ketetapan dan garis panduan berkenaan penyiaran azan, tarhim dan kuliah di masjid dan surau sekitar Wilayah Persekutuan. Ini meliputi bagi kawasan majoriti Islam dan majoriti bukan Islam dengan merujuk perlembagaan negera dan juga usul fiqh dalam manhaj dakwah kepada umat Islam dan bukan Islam.

iii.                  Sikap saling menghormati amalan agama perlu diamalkan oleh semua pihak. Dalam hal ini, semua agama mempunyai kaedah mereka tersendiri dalam melaksanakan ibadat masing-masing. Islam mengamalkan azan sebagai suatu peringatan terhadap ibadah solat fardhu. Justeru agama lain perlu menghormati amalan Islam ini tanpa perlu pertikaian.

iv.                Islam adalah agama rasmi di negara ini. Semua pihak perlu menerima bahawa Islam adalah agama persekutuan. DPPWP dan umat Islam merasakan bahawa JAWI tidak perlu tunduk kepada tekanan mana-mana pihak berhubung pengamalan Islam di negara ini. Seakan-akan ia adalah suatu penghinaan terhadap agama Islam yang menjadi agama persekutuan di Malaysia.

v.                  DPPWP dan umat Islam berkongsi kebimbangan sekiranya JAWI melayan aduan seperti ini, kerana ia boleh mengundang kepada pelbagai kontroversi di masa akan datang. Mungkin ada pihak yang meminta suara azan hanya di dengari dalam masjid sahaja, ataupun jangan menggunakan pemesar suara langsung. Ambillah iktibar dari keadaan yang berlaku di Singapura di mana  pembesar suara tidak boleh dihalakan ke luar masjid dan hanya dalam kawasan masjid sahaja boleh mendengar suara azan yang dilaungkan.

4.      DPPWP meminta JAWI memberikan penjelasan lanjut berhubung kontorversi isu di atas dan meminta JAWI menjernihkan keadaan agar semua pihak memahami isu sebenar yang timbul. DPPWP mengharapkan agar semua tindakan daripada pihak JAWI dapat memberikan kelebihan kepada umat Islam khususnya di Wilayah Persekutuan ini demi kepentingan agama Islam.

Sekian aduan dan desakan kami.

Disediakan oleh;

MOHAMAD SUHAIMI BIN ABDUL AZIZ

Naib Ketua

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

About these ads