SEJARAH DEWAN PEMUDA PAS WILAYAH PERSEKUTUAN

Pengenalan

Mengikut catatan sejarah Cina, Lembah Kelang disebut sebagai Ko-lo yang wujud semenjak zaman Dinasti Han (220M). Menurut catatan sejarah Arab dan India pula Kelang yang disebut sebagai Kalah (Killah, Kalr, Qal’ah atau Qal’) merupakan sebuah pelabuhan enterport yang masyhur dengan bijih timah pada abad kelapan hingga ke-10 juga merupakan tempat terawal didatangi oleh pedagang di Tanah Melayu. Pada abad ke-14, catatan sejarah Cina menamakan Lembah Kelang sebagai Ku-lei. Bermula abad ke-15 lagi iaitu pada zaman Empayar Melaka sebagai sebuah pusat perlombongan bijih timah. Pada masa itu, daerah ini dikenali sebagai Daerah Kelang, sebuah jajahan Melaka yang berpenghulukan Tun Perak (1946-1448). Sehingga kejatuhan Empayar Melaka pada 1511, Kelang terus berada di bawah kekuasaan Melaka.

Pemerintahan orang Bugis di Lembah Kelang bermula apabila Raja Lumu dilantik menjadi Sultan Selangor yang pertama pada 1760. Kesultanan ini memerintah Selangor sehingga hari ini. Pengkalan Lumpur, sebuah perkampungan Melayu yang mengusahakan bijih timah merupakan tempat pertemuan antara Sungai Kelang dan Sungai Gombak (Sg Lumpur) di tengah-tengah Lembah Kelang yang dibuka oleh Raja Abdullah, Penghulu Kelang pada 1857. Pada tahun 1868, Yap Ah Loy, seorang saudagar Cina dilantik sebagai Kapitan Cina telah membangunkan semula Kuala Sungai Lumpur yang terbakar akibat Perang saudara pada 1873 sebagai sebuah bandar untuk perdagangan bijih timah dengan nama Kuala Lumpur.

Kepentingan semakin bertambah apabila Inggeris memilih Kuala Lumpur sebagai pusat pentadbiran Negeri-negeri Melayu Bersekutu pada 1896. Kemudian pada 1946 ia menjadi ibu negeri Malayan Union iaitu gabung semua negeri di Tanah Melayu. Pada 1948, Kuala Lumpur menjadi ibu negeri Persekutuan Tanah Melayu. Apabila Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 1957, Kuala Lumpur terus dikekalkan sebagai ibu negara sehinggalah menjadi ibu negara Malaysia yang ditubuhkan pada 1963. Menjelang 1 Februari 1972, Kuala Lumpur dinaikkan taraf sebagai bandaraya dan dua tahun kemudian Kuala Lumpur diisytiharkan sebagai Wilayah Persekutuan.

Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang ditubuhkan pada 1 Februari 1974 telah ditadbir oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur di bawah seliaan Menteri Wilayah dan juga Jabatan Perdana Menteri. Wilayah Persekutuan kemudiannya berkembang apabila Labuan, sebuah pulau di perairan Sabah diistiharkan sebagai Wilayah Persekutuan pada 16 April 1984. Pada 1 Februari 2001 pula, Putra Jaya sebuah pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan telah diisyitiharkan sebagai Wilayah Persekutuan. Kini Wilayah Persekutuan meliputi tiga kawasan utama iaitu Kuala Lumpur, Labuan dan Putra Jaya.

PAS Bertapak di Kuala Lumpur

Sejarah penubuhan PAS di Kuala Lumpur telah bermula semenjak 1952 iaitu sebaik sahaja penubuhan PAS pada 24 November 1951. Setelah PAS ditubuhkan secara rasmi dalam Persidangan Persatuan Ulama SeMalaya pada 24 November 1951, sebuah Jawatankuasa Agung PAS telah dibentuk dengan diketuai oleh Ustaz Tuan Haji Ahmad Fuad bin Hassan selaku Yang DiPertua Agung PAS. Jawatankuasa Agung PAS ini telah bermesyuarat buat kali pertama pada 3 April 1952 dan memutuskan supaya cawangan-cawangan PAS ditubuhkan oleh ahli-ahli PAS di kawasan masing-masing.

Cawangan PAS yang pertama ditubuhkan ialah di Butterworth pada 9 Mac 1951 oleh Ustaz Ibrahim Aqibi dan diikuti pula oleh Cawangan Kuala Kangsar pada 10 April 1952 oleh Tuan Guru Abdul Samad Nuh. Cawangan Kuala Lumpur pula telah ditubuhkan secara rasmi pada 13 Julai 1952. Persidangan yang membawa kepada penubuhan PAS Cawangan Kuala Lumpur ini dihadiri oleh 40 orang ahli PAS di sekitar Kuala Lumpur dan Ustaz Mas’ud Hayati dilantik sebagai Ketua Cawangan PAS Kuala Lumpur yang pertama.

Sebenarnya, sebelum Ustaz Mas’ud Hayati dilantik menjadi Ketua Cawangan PAS Kuala Lumpur, seorang ulama terkenal di Lembah Kelang, Ustaz Mohd Noor Mahyuddin dari Segambut telah dilantik sebagai Naib Yang DiPertua Agung PAS bagi zon tengah. Beliau telah menggerakkan PAS sebagai sebuah pertubuhan politik Islam di Lembah Kelang ketika Pejabat Agung PAS masih lagi berpusat di Seberang Perai, Pulau Pinang.

Kerancakan gerakan PAS di Kuala Lumpur semakin bertambah apabila Pejabat Agung PAS berpindah ke Kuala Lumpur pada penghujung 1955. Rumah Ustaz Mohd Noor Segambut telah dijadikan pejabat sementara sebelum berpindah ke Jalan Raja Bot. Pejabat Agung kemudiannya berpindah ke Jalan Hamzah, Jalan Raja Uda, Jalan Pekeliling dan Jalan Pahang yang semua berada di sekitar Kampung Bharu, Kuala Lumpur. Perpindahan Pejabat Agung PAS ini adalah selaras dengan kedudukan Kuala Lumpur sebagai ibu negara Persekutuan Tanah Melayu.

Selain berfungsi sebagai pusat gerakan PAS, Kuala Lumpur juga turut menjadi tuan rumah Muktamar Tahunan PAS semenjak 1956 apabila Kongres Tahunan PAS Ke-.. diadakan di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru. Selain itu kongres PAS juga turut diadakan di Stadium Chin Woo, Dewan Bahasa dan Pustaka dan Markaz Tarbiyyah PAS Pusat, Taman Melewar antara 1956 hingga hari ini. Muktamar ini walaupun tidak mempunyai apa-apa makna tetapi merupakan satu syiar perjuangan PAS terhadap warga Kuala Lumpur.

Penubuhan PAS Wilayah Persekutuan

Sehingga 1974 semua kawasan dan cawangan PAS di Kuala Lumpur adalah terletak di bawah naungan Perhubungan PAS Negeri Selangor. Segala perkembangan PAS di Kuala Lumpur adalah dikendalikan dan diselia oleh PAS Selangor. Sejarah PAS Kuala Lumpur yang tersendiri bermula apabila Kerajaan Persekutuan mengisytiharkan Kuala Lumpur sebagai sebuah bandaraya pada 1 Februari 1972. Bermula daripada detik ini, desas desus tentang pemisahan Kuala Lumpur daripada Selangor telah kedengaran. Pada 1 Februari 1974, segalanya menjadi kenyataan apabila Kuala Lumpur diisytiharkan sebagai Wilayah Persekutuan. Pada ketika itu PAS merupakan anggota kerabat Barisan Nasional (BN) sedang dipimpin oleh YB Datuk Mohd Asri bin Muda.

Dengan tertubuhnya Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 1 Februari 1974, maka Jawatankuasa Agung PAS telah memutuskan untuk menubuhkan Jamaah Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan yang kemudiannya dikenali sebagai Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan pada 1974. Ahli Jawatankuasa Agung PAS, Ustaz Abdul Jalil Safwan telah dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan yang pertama.

Ketika PAS Wilayah Persekutuan ditubuhkan pada 1974, terdapat lima kawasan Parlimen di Kuala Lumpur iaitu Setapak, Kuala Lumpur Bandar, Kepong, Damansara dan Sungai Besi. Dalam usahanya yang pertama, PAS telah berjaya menubuhkan beberapa PAS Kawasan seperti Kawasan Setapak dan Damansara. Walaupun pada peringkat ini, PAS hanya menubuhkan beberapa kawasan sahaja, namun ia merupakan titik mula kepada pergerakan PAS di Wilayah Persekutuan. Pindaan kawasan pilihanraya pada 1977, telah menambahkan jumlah kawasan Parlimen Wilayah Persekutuan daripada empat kepada …. PAS pula berjaya menubuhkan dua kawasan baru iaitu PAS Kawasan Kepong dan Sungai Besi. Pada tahun 1984, PAS Kawasan Kuala Lumpur Bandar berjaya ditubuhkan.

Pada 1985, sekali lagi kawasan pilihanraya di Wilayah Persekutuan bertambah berikutan perubahan kawasan pilihanraya. Kawasan Setapak telah dipecahkan kepada Kawasan Batu dan Titiwangsa; Kuala Lumpur Bandar pula dikenali sebagai Bukit Bintang; Damansara bertukar nama kepada Lembah Pantai; Kawasan Kepong dan Sungai Besi dikekalkan; Seputeh pula muncul sebagai kawasan baru manakala Kawasan Labuan dibentuk selepas Labuan diisytiharkan sebagai Wilayah Persekutuan pada 1984. PAS telah berjaya menubuhkan PAS Kawasan Batu, Titiwangsa, Lembah Pantai, Bukit Bintang, Kepong dan Sungai Besi.

Pada tahun 1992, sekali lagi berlaku pindaan kawasan pilihanraya dan Wilayah Persekutuan mendapat tambahan tiga kawasan iaitu dua kawasan baru – Wangsa Maju dan SegambutBandar – manakala kawasan Sungai Besi dipecahkan kepada Bandar Tun Razak dan Cheras. Ketika PAS mengadakan Muktamar Tahunan 1998, semua kawasan Parlimen di Wilayah Persekutuan telah ditubuhkan PAS Kawasan termasuk Labuan.

Rekod penyertaan PAS dalam pilihanraya di Kuala Lumpur telah bermula semenjak Kuala Lumpur masih dalam negeri Selangor iaitu dalam Pilihanraya 1959; 1964; dan 1969. Manakala setelah menjadi Wilayah Persekutuan, PAS menyertai pilihanraya pada 1974; 1978 (Parlimen Damansara); 1982 (Parlimen Setapak dan Damansara); 1986 (Parlimen Batu, Titiwangsa dan Sungai Besi); 1990 (tidak bertanding); 1995 (Parlimen Bandar Tun Razak) dan 1999 (Parlimen Titiwangsa dan Labuan). Walaupun PAS tidak pernah memenangi sebarang kerusi di Wilayah Persekutuan, namun penyertaan dalam pilihanraya ini merupakan suatu pendedahan kepada ahli PAS terhadap erti perjuangan gerakan Islam.

Selain Ustaz Jalil Safwan, beberapa tokoh PAS yang lain turut diamanahkan sebagai Pesuruhjaya untuk menggerakkan PAS Wilayah Persekutuan yang pada ketika itu merupakan Badan Perhubungan PAS yang paling bongsu dan masih mentah. Antara tokoh-tokoh tersebut ialah Tuan Haji Hassan Ishak (1977-1981), Cikgu Mohd Nor Jan (1981-1983), Dr Haji Abbas Alias (1983-1985), Ustaz Nakhaie Ahmad (1987-1989), Tuan Haji Ismail Abdullah (1989-1993), Tuan Syed Ibrahim Abdul Rahman (1993-1997) dan Tuan Haji Subky Latif (1985-1987 dan 1997-2005).

Dewan Pemuda Sayap Terpenting PAS

Setelah PAS ditubuhkan secara rasmi pada 24 November 1951, idea untuk menubuhkan Dewan Pemuda PAS sebagai sebuah sayap yang menggerakkan pemuda Islam mula tercetus dalam mesyuarat pertama Jawatankuasa Agung PAS pada 3 April 1952. Dewan Pemuda PAS telah ditubuhkan sebagai sebuah jabatan yang setaraf dengan jabatan-jabatan lain seperti Jabatan Penerangan, Jabatan Setiausaha Agung, Jabatan Pelajaran dan sebagainya. Ahli Jawatankuasa Agung PAS, Ustaz Haji Ahmad Badawi bin Sheikh Abdullah telah diamanahkan sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS yang pertama.

Usul untuk menubuhkan Dewan Pemuda PAS sebagai sebuah cawangan PAS telah diluluskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Agung PAS pada penghujung 1952 dan dalam Kongres Tahunan PAS Pertama di Madrasah Ad-Daareat Al-Maarif Al-Wathaniyyah pada 3 Januari 1953, Dewan Pemuda PAS telah ditubuhkan apabila usul yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Agung PAS mendapat sambutan yang menggalakkan daripada para perwakilan. Hasilnya, sebuah undang-undang tubuh Dewan Pemuda PAS telah digubal oleh sebuah jawatankuasa yang diketuai oleh Haji Ahmad Badawi.

Pada 25 Ogos 1953, satu Kongres Pemuda Islam SeMelaya telah diadakan di Madrasah Al-Ulum As-Syar’iyyah, Bagan Datoh yang dihadiri oleh para pemuda daripada semua cawangan PAS di seluruh negara. Hasilnya, Dewan Pemuda PAS telah ditubuhkan secara rasmi dan Ustaz Haji Othman bin Abdullah telah dipilih sebagai ketuanya yang baru. Objektif utama penubuhan Dewan Pemuda PAS ialah untuk menggerakkan pemuda Islam ke arah menegakkan daulah Islam di negara ini, membentuk kepemimpinan baru PAS dan menghidupkan semula budaya hidup Islam dalam masyarakat negara ini.

Kepemimpinan Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) kemudiannya diambil alih oleh Ustaz Hassan Adli Mohd Arshad (1956-1959), Ustaz Abu Bakar Hamzah (1959-1962 dan 1966-1968), YB Senator Ustaz Amaluddin Darus (1962-1966), Ustaz Jaiz Anwar (1968-1970), Ustaz Hassan Shukri (1971-1973), YB Ustaz Abdul Wahab Yunus (1973-1975), YB Tuan Haji Mustafa Ali (1975-1987), Ustaz Abdul Halim Arshat (1987-1989), Ustaz Abu Bakar Chik (1989-1999) dan YB Tuan Haji Mahfuz Omar (1999-sekarang).

Selain itu, Ahli Parlimen Pasir Mas Hulu, YBM Datuk Paduka Tengku Zaid Tengku Ahmad pernah memangku jawatan Ketua DPP Pusat antara 1970-1971 apabila Ustaz Jaiz Anwar bercuti untuk menyambung pelajaran di London pada September 1970, manakala Ahli Parlimen Kubang Kerian, YB Tuan Haji Mohamad Sabu pula memangku tugas Ketua DPP Pusat di antara Disember 1995 hingga Jun 1996 apabila Ustaz Abu Bakar Chik bercuti belajar di Sudan pada tarikh tersebut.

Hari ini, DPP Pusat telah menggariskan matlamat menegakkan Daulah Islamiyyah di Malaysia melalui penglibatan pemuda sebagai elemen terpenting sebagai visi perjuangannya dan hasrat melahirkan Pemuda Hizbullah yang berjuang bagi memenuhi cita-cita Jamah mencapai kemenangan Islam yang mutlak di Malaysia sebagai misi utama gerakkannya. Perjuangan Dewan Pemuda PAS yang akan mencecah setengah abad pada 3 April 2002 ini telah memperlihat peri pentingnya Dewan Pemuda PAS sebagai sayap terpenting perjuangan PAS sebagai gerakan Islam di negara ini.

30 Tahun Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan Mengasak Perjuangan

Setelah setahun Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan dibentuk, maka pada tahun 1975 satu sejarah lagi telah ditempa oleh PAS Wilayah Persekutuan apabila Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPP WP) berjaya ditubuhkan oleh sekumpulan pemuda PAS dari Setapak yang diketuai oleh Sdr Mokhtar bin Ramli di No 48, Jalan Genting Kelang, Setapak. Serentak dengan itu juga, Dewan Pemuda PAS Setapak turut ditubuhkan. Penubuhan DPP WP ini merupakan satu usaha serius yang dibuat oleh Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan untuk menggerakkan tenaga pemuda Islam di samping membina kepemimpinan baru yang bakal mewarisi perjuangan Islam yang suci di kota raya ini.

Walaupun ditubuhkan secara tidak rasmi tanpa didaftarkan kepada Pendaftar Pertubuhan ketika itu, Jawatankuasa Penaja DPP WP yang diketuai oleh Sdr Mokhtar Ramli telah mulai menggerakkan para pemuda Islam terutama dari golongan mahasiswa, professional dan cerdik pandai pemuda Islam. Pada ketika DPP WP ditubuhkan, pergerakan pemuda Islam di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur kebanyakkannya bergerak cergas di dalam gerakan pelajar dan gerakan belia Islam seperti ABIM dan Majlis Belia Malaysia yang ketika itu sedang dipimpin oleh En. Anwar Ibrahim.

Dua tahun kemudian, DPP WP telah dipimpin pula oleh Sdr Ameer Hamzah bin Harun Aminurrasyid, anak seorang sasterawan dari Singapura yang merupakan Ketua Pemuda PAS Damansara. Dewan Pemuda PAS Damansara yang ditubuhkan pada 1976 di bawah pimpinan beliau telah mula memainkan peranan menggerakkan para pemuda terutama di sekitar Universiti Malaya dan Kampung Kerinchi. Walau bagaimanapun, kepemimpinan dan organisasi DPP WP yang baru dibina dan masih bertatih ini menghadapi masalah akibat daripada krisis dalaman yang dialami oleh PAS pada sekitar 1977. Keadaan bertambah parah apabila PAS tewas di Kelantan dan disingkirkan daripada Barisan Nasional.

DPP WP bersama semua organisasi lain dalam PAS telah menerima pukulan yang sangat hebat pada 13 November 1977 setelah PAS disingkirkan daripada BN. Bermulalah PAS Wilayah Persekutuan hidup sebagai parti pembangkang buat pertama kalinya. Namun begitu, peristiwa ini telah memberikan satu dorongan yang besar kepada DPP WP untuk membina kekuatan baru tanpa bergantung harap kepada kerajaan yang memerintah. Satu perubahan yang drastic telah berlaku dalam semangat perjuangan DPP WP apabila berlakunya Revolusi Islam Iran pada 1978 yang merupakan titik mula kebangkitan Islam pada abad ini.

Pada tahun 1981, Setiausaha DPP Pusat yang juga Yang DiPertua PAS Kawasan Setapak, Tuan Haji Subky Latif telah meminta beberapa pemimpin pemuda untuk menghidupkan semula DPP WP yang hampir mati akibat krisis tersebut. Seorang lepasan ITM, Sdr Mohamad Sabu ditugaskan mengetuai pembentukan semula organisasi baru. Beberapa tokoh lain yang turut terbabit ialah Fadhullah Shuib, Abdul Malek Hussin dan Drs. Syed Mohamad Syed Hassan. Walau bagaimanapun, usaha menubuhkan semula DPP WP ini terbantut apabila Sdr Ameer Hamzah mendakwa bahawa beliau masih lagi merupakan Ketua DPP WP yang sah.

Beliau mendakwa jawatan Ketua DPP WP yang disandangnya semenjak 1977 adalah masih sah dan sebarang usaha untuk menubuhkan semula DPP WP adalah tidak wajar. Namun begitu, beberapa ketika kemudian isu ini berjaya diselesaikan dan sebuah Jawatankuasa Penaja DPP WP yang baru telah bentuk sesuai dengan era kebangkitan Islam. Usaha untuk mengambalikan PAS kepada kepemimpinan ulama semakin ketara apabila Jawatankuasa Penaja DPP WP memilih ulama muda berasal daripada Melaka, Ustaz Abdul Rahman bin Hassan sebagai Ketua DPP WP; ulama daripada Kelantan, Ustaz Mustafa Taib sebagai naib ketua dan Ustaz Fadhullah Shuib, bekas Presiden Persatuan Mahasiswa UKM sebagai setiausaha. Setelah organisasi baru DPP WP dibentuk, Dewan Pemuda PAS Kepong pula ditubuhkan disebuah kawasan yang majoritinya penduduk Cina.

Wakil DPP WP mulai menunjukkan taringnya apabila mereka memainkan peranan besar dalam menggerakkan kepemimpinan ulama dalam organisasi PAS ketika berlangsungnya Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) di Bukit Mertajam pada April 1982. Muktamar DPP Pusat telah meluluskan usul Kepemimpinan Ulama untuk dibawa ke Muktamar Tahunan PAS di Kuala Lumpur pada Oktober 1982. Dalam muktamar di Kuala Lumpur tersebut, pimpinan DPP WP yang mewakili kawasan masing-masing telah bangkit melontarkan perlunya kepemimpinan ulama dalam mengemudikan gerakan Islam di Malaysia sehingga memaksa Yang DiPertua Agung PAS, Datuk Mohd Asri Muda meletakkan jawatan dan memberikan laluan kepada Tuan Haji Yusof Abdullah ar-Rawa yang mewakili kaum ulama.

Satu isu yang besar juga tercetus pada tahun 1982 ialah penyertaan Presiden ABIM, En. Anwar Ibrahim ke dalam Umno sedangkan sebahagian besar penggerak DPP WP adalah bekas pimpinan pelajar yang pernah berjuang bersama ABIM. Walau bagaimanapun, penyertaan Anwar bersama Umno tidaklah meruntuhkan DPP WP apabila Ustaz Haji Othman Abdul Razak dipilih mengemudikan DPP WP pada 1983. Tetapi disebabkan beberapa masalah pengurusan dan pentadbiran dalaman, Ustaz Othman Abdul Razak telah melepaskan jawatannya pada 1984 dan dipangku oleh Ustaz Shauki bin Ibrahim, seorang pegawai agama di Pusat Islam sementara Sdr Drs. Syed Mohamad Syed Hassan pula memangku tugas Naib Ketua DPP WP.

Ketika Ustaz Shauki Ibrahim mengetuai DPP WP, satu gerakan yang penting telah dilancarkan untuk memantapkan perjuangan PAS di Wilayah Persekutuan iaitu gerakan tawan masjid. Ahli-ahli PAS diarahkan supaya menduduki Jawatankuasa Tadbir Masjid bagi membolehkan aktiviti-aktiviti keIslaman dipergiatkan selaras dengan kebangkitan Islam yang hebat pada masa itu. Strategi mendekati masjid ini telah berjaya mendedahkan masyarakat Kuala Lumpur kepada suatu fahaman Islam yang lebih menyeluruh dan menjadi nadi kepada kebangkitan Islam di ibu kota.

Kepemimpinan DPP WP sekali lagi mengalami perubahan pada 1985 apabila golongan professional mulai mengambil alih pentadbiran DPP WP. Haji Abdul Malek Hussin, seorang lepasan ITM telah menjawat jawatan Ketua DPP WP pada 1985 menggantikan Ustaz Shauki Ibrahim. Era kepemimpinan Haji Malek juga turut mengalami cabaran yang hebat akibat krisis yang wujud di antara PAS dan IRC pada sekitar 1986-1987 yang mengakibatkan beberapa pemimpin IRC yang memimpin meminggirkan diri daripada PAS. DPP WP sendiri turut menerima kesan apabila beberapa orang exconya mulai tidak aktif akibat krisis ini. Namun begitu, pada 1985 beberapa Dewan Pemuda Kawasan berjaya dibentuk iaitu Batu dan Titiwangsa (Setapak), Lembah Pantai (Damansara), Sungai Besi dan Bukit Bintang.

Satu sejarah terpenting dalam perjuangan DPP WP telah tercatit dalam era kepemimpinan Haji Abdul Malek ialah pendaftaran semula DPP WP setelah menghadapi masalah pengurusan dengan Pendaftar Pertubuhan semenjak 1980 akibat masalah organisasi DPP WP pada era Sdr Ameer Hamzah. Pada 25 Januari 1985, DPP WP telah mendapat sijil kelulusan pendaftaran daripada Pendaftar Pertubuhan dengan nombor pendaftaran 2434 sebagai tanda sebuah pertubuhan yang sah mengikut Perkara 7 (4), Akta Pertubuhan 1966. Manakala pada 28 Ogos 1988, pendaftaran DPP WP yang bernombor rujukan 2187 yang dibuat pada 1975 oleh Sdr Mokhtar Ramli dibatalkan secara rasmi.

Pilihanraya Umum Ketujuh yang berlangsung pada 1986 telah memberikan pengalaman baru kepada perjuangan politik DPP WP apabila PAS Pusat memutuskan untuk membentuk kerjasama dengan masyarakat Cina di bawah Majlis Perundingan Cina (CCC) dan juga bersama Parti Nasma, SDP dan PSRM dalam gabungan Harakah Keadilan Rakyat (HAK). Pendedahan merupakan pengalam penting dalam membina pandangan dunia yang baru terhadap dakwah kepada masyarakat bukan Islam dan juga parti-parti yang memperjuangankan kepentingan sejagat.

Haji Abdul Malek yang juga dilantik sebagai Setiausaha DPP Pusat (1987-1989) walau bagaimanapun tidak mempertahankan kedudukannya sebagai Ketua DPP WP untuk memberikan tumpuan kepada DPP Pusat pada sesi tersebut. Tempat beliau kemudiannya digantikan oleh Sdr Mohd Yusof bin Sulaiman, seorang usahawan yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Batu. Beliau menjawat aman ini selama dua tahun sebelum diamanahkan semula kepada Haji Abdul Malek Hussin sehingga selama lima tahun (1989-1994). Walau bagaimanapun pada 31 Ogos 1994, Haji Abdul Malek telah meletakkan jawatannya sebagai Ketua DPP WP. Jawatan Ketua DPP WP kemudiannya dipangku sementara oleh Haji Sheikh Abu Bakar bin Omar, seorang eksekutif Petronas.

Kepimpinan Yusuf Sulaiman (1987-1989) sebagai seorang usahawan telah membentuk satu pemikiran terhadap DPP WP tentang kepentingan wujudnya gerakan ekonomi dalam jamaah Islam. Dalam Muktamar Tahunan DPP WP Ke-4 pada 1989, telah diusulkan kepada DPP Pusat supaya mengambil serius usaha-usaha untuk menggerakkan ekonomi umat Islam. Hasilnya, sebuah koperasi iaitu Koperasi Siswazah Islam (Kosis) telah diwujudkan oleh DPP Pusat selain Koperasi al-Hilal (Kohilal) yang ditubuhkan oleh PAS Pusat. Kedua-dua koperasi ini dipimpin oleh sebahagian besar bekas pemimpin DPP WP seperti Sheikh Abu Bakar Omar, Haji Ashamuddin Shamaan, Ali Maidin, Rashidi Hassan, Abu Bakar Rashid, Yusuf Sulaiman, Dr Rayney Azmi Ali dan Ahmad Faris Abdul Halim.

Selain pembentukan gerakan ekonomi yang dilakukan, pada tahun 1987 juga telah berlaku krisis politik yang besar sehingga membawa kepada pengharaman Umno pada Februari 1988. Akibatnya Parti Semangat 46 (S46) telah ditubuhkan dan satu kerjasama politik untuk menegakkan Islam di negara ini diadakan oleh PAS bersama S46, Berjasa dan Hamim dalam gagasan Angkatan Perpaduan Ummah. DPP WP telah memainkan peranan besar untuk memperteguhkan kerjasama ini dalam semua isu semasa bersama Pergerakan Pemuda S46 di Kuala Lumpur. Gabungan politik ini akhirnya membuahkan hasil apabila Angkatan Perpaduan Ummah berjaya menguasai Kelantan dalam Pilihanraya Umum 1990.

Berbeza dengan era kepemimpinan Yusof Sulaiman, Haji Abdul Malek dalam sesi kedua pimpinannya (1989-1991) terpaksa berhadapan pula dengan tekanan yang hebat yang dilancarkan oleh BN yang merampas pentadbiran masjid-masjid di Wilayah Persekutuan. Usaha-usaha untuk membendung tekanan ini telah dibuat oleh DPP WP termasuk menghantar memorandum, demonstrasi dan juga gerakan menyedarkan umat Islam tentang gejala ini. Untuk memperkukuhkan cengkaman PAS di negara ini, DPP WP juga turut menekankan peri penting memulakan usaha mendekati non-muslim sebagai medan dakwah yang baru selain mendesak DPP Pusat untuk membina hubungan dengan gerakan Islam antarabangsa.

Perjuangan DPP WP pada era 1990-an mulai berubah apabila pergerakannya mulai teralih daripada pengukuhan organisasi kepada membela hak rakyat. Isu-isu melibatkan demokrasi, keadilan, pencegahan mungkar, perumahan rakyat dan pekerja selain daripada penegasan terhadap keperluan pembinaan markas DPP WP dan soal kekuatan ekonomi. Selain terlibat secara langsung dalam Pilihanraya Umum 1990 bersama jentera Angkatan Perpaduan Ummah, DPP Pusat pada awal 1990-an juga turut menubuhkan Jabatan Pelajar Negeri (JPN) untuk menyelia aktiviti pelajar, mengadakan Bengkel Pengurusan Strategik, mewujudkan Unit Masyarakat Bukan Islam dan Unit Remaja.

DPP WP juga turut mencatatkan sejarah apabila secara rasmi Unit Amal DPP WP dilancarkan oleh Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Tuan Haji Ismail Abdullah pada 22 Disember 1991 untuk menggerakkan tenaga pemuda bagi kerja-kerja social dan kebajikan. Pada tahun 1991 juga, Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) mulai berkembang di Wilayah Persekutuan apabila 10 buah cawangan berjaya ditubuhkan sehingga Mei 1992.

DPP WP bergerak setapak lagi apabila mulai memberikan perhatian terhadap perkembangan umat Islam di peringkat antarabangsa dalam gerak kerjanya. DPP WP telah menganjurkan program menyelamatkan al-Quds pada 1991, merayakan kemenangan FIS di Algeria pada 12 Januari 1992, mewujudkan tabung jihad untuk umat Islam Afghanistan dan mengadakan demonstrasi bantahan terhadap lawatan Presiden George Bush ke Singapura pada 4 Januari 1992 kerana tindakan Amerika Syarikat menyerang Iraq pada 1990. DPP WP juga turut menganjurkan Perhimpunan Bosnia pada 27 Februari 1994 di Dataran Merdeka dan menganjurkan demontrasi membantah kekejaman Russia ke atas umat Islam Chechen pada 7 Januari 1995 di Kedutaan Russia, Kuala Lumpur.

Menjelang Pilihanraya Umum Kesembilan pada 1995, Umno telah melancarkan satu strategi jahat untuk berhadapan dengan PAS apabila mereka merancang untuk membuang nama Islam daripada PAS. Ugutan jahat Umno telah mendapat perhatian yang serius daripada umat Islam yang akhirnya mendesak DPP WP menganjurkan Himpunan Munanjat untuk menentang usaha jahat Umno ini. Himpunan yang dihadiri oleh Presiden PAS, Ustaz Fadzil Mohd Noor dan Haji Mohamad Sabu telah diadakan di Taman Melewar pada 8 Disember 1994 dengan tema ‘Buang Islam – PAS Jawab Umno’.

Satu isu yang besar yang mendapat perhatian daripada DPP WP pada penghujung 1994 ialah pendedahan kepincangan pengurusan dana zakat oleh Baitul Mal Wilayah Persekutuan yang dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Ysof Noor. Akibat kehilangan berjuta-juta ringgit wang zakat daripada dana PPZ, DPP WP telah menghantar satu memorandum kepada Yang DiPertuan Agong selaku Ketua Agama Wilayah Persekutuan untuk mendesak penyiasatan dan penyusunan semula Baitul Mal Wilayah Persekutuan pada 25 Februari 1995.

Kepemimpinan DPP WP mengalami sedikit gangguan pada penghujung 1994 apabila ketuanya, Haji Abdul Malek Hussin mengumumkan meletak jawatan pada 31 Ogos 1994 dan perletakkan tersebut ditermia oleh Ahli Jawatankuasa DPP WP. Naib Ketua DPP WP, Sdr Sheikh Abu Bakar Omar telah memangku jawatan tersebut dan Sdr Ali Maidin pula memangku tugas Naib Ketua DPP WP. Walau bagaimanapun pada awal 1995, jawatan Ketua DPP WP telah dipangku pula oleh Sdr Ali Maidin sehingga Mac 1995 apabi Sdr Ali Maidin berpindah kawasan ke Negeri Sembilan. Sdr Sheikh Abu Bakar Omar sekali lagi memangku jawatan tersebut sehingga Muktamar Tahunan DPP WP pada 9 Julai 1995.

Dalam Muktamar Tahunan DPP WP 1995, Sdr Sheikh Abu Bakar Omar telah disahkan jawatan sebagai Ketua DPP WP. Walau bagaimanapun Sdr Sheikh Abu Bakar meletakkan jawatannya apabila dilantik sebagai Bendahari DPP Pusat dua bulan kemudian. Ini memaksa Naib Ketua DPP WP, Sdr Ahmad Faris bin Abdul Halim memangku jawatan Ketua DPP WP. Pada pertengahan 1996, sekali lagi jawatan Ketua DPP WP terpaksa dipangku pula oleh Sdr Dr Rayney Azmi Haji Ali berikutan perletakkan jawatan Ahmad Faris Abdul Halim sebagai Ketua DPP WP. Dr Rayney kemudiannya disahkan jawatan daripada Ketua DPP WP dalam Muktamar Tahunan DPP WP pada 1997 bagi sesi 1997-1999.

DPP WP telah sekali lagi mengalami masalah organisasi di antara 1994-1999 berikutan daripada beberapa peristiwa pahit yang berlaku dalam organisasinya. Peristiwa pertama berlaku apabila bekas Ketua DPP WP, Haji Abdul Malek Hussin yang dipilih sebagai calon PAS bagi Parlimen Bandar Tun Razak telah mengumumkan keluar daripada PAS ketika kempen sedang berjalan dan menyatakan sokongan kepada calon BN. Tindakan Haji Abdul Malek ini telah memberikan kesan yang sangat buruk terhadap imej PAS dalam pilihanraya tersebut sehingga menyebabkan PAS mengalami kemerosotan sokongan rakyat.

Keretakan di dalam organisasi DPP WP mulai ketara pada sesi 1995-1997 apabila berlaku terlalu kerap perletakan jawatan Ketua DPP WP. Pertukaran jawatan ini telah menyebabkan usaha-usaha pembangunan organisasi terbantut dan melemahkan gerakan. Keadaan menjadi bertambah parah pada sesi 1995-1997 dan 1997-1999 apabila isu Syiah meporak-perandakan kemantapan organisasai DPP WP. Beberapa exco DPP WP yang terpengaruh dengan fahaman Syiah telah mewujudkan kem-kem dalam organisasi DPP WP. Sebahagian daripada mereka juga tidak menjalankan amanah sebaliknya membiarkan organisasi menjadi tidak bermaya tanpa sebarang tindakan.

Namun begitu, isu Syiah ini dapat diselesaikan apabila organisasi baru DPP WP dibentuk pada 1999 iaitu beberapa bulan selepas tercetusnya kes pemecatan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2 September 1998. Pemecatan Datuk Seri Anwar telah memberikan nafas baru kepada DPP WP berikuran penyertaan beramai-ramai golongan muda-mudi bersama perjuangan Islam untuk menentang kezaliman Umno/BN. Dewan Pemuda PAS kawasan-kawasan telah berjaya ditubuhkan di hampir semua kawasan Parlimen. Walaupun gerakan Reformasi yang dipelopori oleh Datuk Seri Anwar telah menubuhkan Parti Keadilan Nasional (PKN), namun ia secara tidak langsung memberikan dampak positif kepada PAS Wilayah Persekutuan.

Perlantikan Ustaz Ridhuan Mohd Nor, seorang graduan Universiti Malaya sebagai Ketua DPP WP yang baru bagi sesi 1999-2001 telah mengembalikan DPP WP kepada kepemimpinan ulama. Oraganisasi baru DPP WP yang dianggotai oleh para ulama dan professional lulusan daripada dalam dan luar negeri memberikan nafas baru kepada DPP WP. Walau bagaimanapun, mengemudikan sebuah pasukan kerja yang baru dipulihkan daripada trauma Syiah, kelemahan organisasi dan penyertaan Abdul Malek Hussin ke dalam Umno bukanlah suatu yang mudah seperti yang disangka.

Selain isu Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketibaan musim Pilihanraya Umum Kesepuluh pada 1999 turut merancakkan gerakan pemuda di Wilayah Persekutuan. Semangat juang yang tinggi dapat dilihat apabila mereka turun beramai-ramai untuk menggerakkan jentera pilihanraya Barisan Alternatif (BA) yang dibentuk pada pertengahan 1999 yang dianggotai oleh PAS, PKN, DAP dan PRM. BA yang bertanding di semua kerusi di seluruh Wilayah Persekutuan telah berjaya menguasai empat kerusi Parlimen menerusi DAP, manakala kerusi yang ditandingi oleh PAS, PKN dan PRM berjaya mengurangkan majoriti dengan begitu mendadak sekali. Pengisytiharan Putrajaya sebagai Wilayah Persekutuan pada 1 Februari 2001 telah meletakkan satu lagi cabaran baru yang perlu ditempuh oleh DPP WP terutamanya untuk menghadapi zaman kebangkitan Islam pada era globalisasi serta revolusi teknologi komunikasi dan maklumat ini.

Pada tahun 2004, Pilihanraya yang ke-11 berlangsung. DPP WP telah mewujudkan Jentera Urusan Pengundi Muda yang membantu gerak kerja pilihanraya PAS Wilayah khusus di kawasan Parlimen yang baru dibentuk iaitu Parlimen Setiawangsa.

Pada Pilihanraya ini PAS Wilayah Persekutuan bertanding di Parlimen Titiwangsa, Setiawangsa dan Labuan. Walaubagaimana pun, PAS Wilayah Persekutuan telah gagal menawan kerusi yang ditandingi.

DPP WP Terjun Ke Masyarakat

Pada awal 2005, peristiwa serbuan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) di Zouk iaitu sebuah pusat hiburan terkenal di ibukota telah menjadi isu hangat. Dalam kes ini, seorang pelakon/penyanyi iaitu Jeslina Hashim telah ditangkap dan penangkapan ini menimbulkan rasa tidak puas hati kalangan pihak-pihak berkepentingan. Akhirnya DPP WP mengambil langkah agreasif dan mendesak JAWI untuk meneruskan dakwaan. Walaupun JAWI tidak menerima tuntutan DPP WP namun gerak kerja yang dilakukan telah berjaya membuka mata masyarakat untuk melihat masalah maksiat ini dengan lebih serius.

Rentetan dari peristiwa itu, DPP WP memulakan gerak kerja dakwah melalui sebaran risalah ditempat awam melalui XPDC Dakwah. Program-program ini mendapat sokongan pelbagai pihak dan menjadi model dakwah terbuka kepada gerakan pemuda PAS diakar umbi.

Isu kenaikan harga minyak juga telah mengheret DPP WP turun bersama masyarakat sepanjang tahun 2005-2007. Tekanan hebat dirasai oleh seluruh rakyat yang terpaksa menanggung beban hidup yang kian meninggi lantaran kenaikkan harga barang yang didorong oleh kenaikkan harga bahan api yang tertinggi iaitu sebanyak 30 sen pada 28 Februari 2006. Beberapa siri demontrasi telah diadakan dan beberapa pimpinan telah ditangkap seperti YB. Salahudin, Ketua DPPP dan Bendaharai PAS Pusat, Dr. Hatta Ramli. Keganasan Polis juga turut dirakamkan sepanjang detik-detik perjuangan rakyat ini.

Isu murtad juga kembali hangat pada awal 2006 dengan wujudnya kumpulan Interfaith Council (IFC) yang cuba mencari ruangan untuk mengembangkan agama mereka melalui gerakan diskusi dan forum antara agama. Isu ini meleret dengan bangkitnya isu kemurtadan Lina Joy yang akhirnya menjadi isu nasional yang dipandang sepi oleh Kerajaan. DPP WP melalui Front Bertindak Anti Murtad (Forkad) telah bekerjasama dengan Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) untuk menghalang gerakan IFC. Gerakan kerja ini masih lagi berterusan lantaran begitu ramainya umat Islam yang terpesong akidah setelah wujudnya pelbagai cabang pemikiran baru seperti Islam Liberal, Islam Hadhari, Pluralisme dan pelbagai lagi yang didorong oleh sikap acuh- tak acuh Kerajaan dalam urusan agama Islam.

Selain itu, detik-detik awal dekad pertama abad 21 ini juga menyaksikan kezaliman Kerajaan Barisan Nasional yang meroboh rumah-rumah setinggan setelah dasar Setinggan Sifar diperkenalkan. Setingan-setingan disekitar lembah Klang telah dipindahkan ke rumah-rumah Flat DBKL dan PKNS. Namun, tidak semua golongan marhaien ini yang menerima gantirugi yang selayaknya hingga mencetuskan isu keganasan pihak berkuasa tempat. Ketika isu penduduk setinggan di Lembah jaya belum diselesaikan, pihak Majlis Perbandaran Ampang meneruskan onar mereka dengan merobohkan setinggan di Berembang. Peristiwa menyayat hati ini berterusan dibeberapa perkampungan lain seperti Rimba Jaya, di Selangor dan Kg. Kasipillay, Kg. Chubadak, Kg. Semarak di Kuala Lumpur. Rintihan rakyat ini didengar oleh pimpinan PAS, dan DPP WP menjadi orang tengah yang membantu rakyat terabai ini bagi meneruskan perjuangan mereka bersama beberapa NGOs.

Dekad awal di abad ke-21 ini juga turut menyaksikan kemarahan Allah kepada kezaliman manusia melalui Ombak Tsunami yang melanda kepulauan Sumatera. Tragedi hitam 26 Disember 2004 ini memang menggoncangkan seluruh dunia dan hingga ke hari ini struktur bumi semakin tidak menentu. Banjir kilat yang berlaku di selatan tanahair pada Disember 2006 juga berlaku secara tiba-tiba dan sehingga kini fenomena gempa tsunami dan banjir masih menghantui rakyat Malaysia. Dalam kekalutan itu, Unit Amal Wilayah telah dihantar untuk membantu mangsa nahas, disamping menyampaikan bantuan lain. Unit Amal Wilayah yang digelarkan sebagai ‘tentera merah’ oleh rakyat Johor bersedia untuk turun menghulurkan bantuan kecemasan kepada semua.

Pada 24 April 2006 Muktamar DPP WP telah diadakan. Dalam Muktamar ini, Ustaz Ridhuan bin Mohd Nor telah mengumumkan pemangkuan Jawatan beliau kepada Sdr. Kamaruzaman Mohamad bagi memudahkan beliau menyambung pengajian di peringkat Phd.

Muktamar DPP WP pada 28 April 2007 telah dengan sebulat suara memilih Sdr. Kamaruzaman Mohamad, seorang graduan Universiti Putra Malaysia yang juga mantan Ketua Pemuda PAS Kawasan Lembah Pantai untuk menjadi Ketua DPP WP yang baru menggantikan Ustaz Ridhuan bin Mohd Nor. Gerak kerja dan perjuangan DPP WP diteruskan bersama beliau hingga kini.

KETUA DAN SETIAUSAHA DPP WP

Ketua DPP Wilayah Persekutuan

1. Sdr Mokhtar bin Ramli (1975-1977)
2. Sdr Ameer Hamzah bin Harun Amin Arrasyid (1977-1981)
3. Ustaz Abdul Rahman bin Hassan (1981-1983)
4. Ustaz Othman bin Abdul Razak (1983-1984)
5. Ustaz Shauki bin Ibrahim (Pemangku 1984-1985)
6. Tuan Haji Abdul Malek bin Hussin (1985-1987)
7. Sdr Mohd Yusuf bin Sulaiman (1987-1989)
8. Tuan Haji Abdul Malek bin Hussin (1989-1994)
9. Tuan Haji Sheikh Abu Bakar bin Omar (Pemangku 1994-1995)
10. Ali bin Maidin (Pemangku 1995)
11. Ahmad Faris bin Abdul Halim (Pemangku 1995-1996)
12. Dr Rayney Azmi bin Haji Ali (Pemangku 1996-1997) (1997-1999)
13. Ustaz Ridhuan bin Mohd Nor (1999-2006)
14. Sdr. Kamaruzaman Mohamad (2006-sekarang)

Setiausaha DPP Wilayah Persekutuan

1. Ustaz Fadhullah bin Shuib (1981-1983)
2. Mohd Noor bin Anuar (1983-1985)
3. Hassanuddin bin Ahmad (1985-1987)
4. Abu Bakar bin Rashid (1987-1989)
5. Hassanuddin bin Ahmad (1989-1991)
6. Roslan bin Zainal (1991-1993)
7. Ahmad Faris bin Abdul Halim (1993- 31/8/1994)
8. Rashidi bin Hassan (31/8/1994-1999)
9. Khairul Anuar bin Abdul Manap (1999-2001)
10. Dr Ishak Ibrahim (2001-2003)
11. KamarulArif Bin Ambak (2003-2005)
12. Haji Mohd Nurkhuzaini Abdul Rahman (2005-2006)
13. Haji Khairil Nizam Khairudin (2006-sekarang)

PENUBUHAN DEWAN PEMUDA PAS KAWASAN

1975 – Setapak
1976 – Setapak, Damansara
1977 – Setapak, Damansara
1978 – Setapak, Damansara
1979 – Setapak, Damansara
1980 – Setapak, Damansara, Kepong
1981 – Setapak, Damansara, Kepong
1982 – Setapak, Damansara, Kepong
1983 – Setapak, Damansara, Kepong
1984 – Setapak, Damansara, Kepong, Sungai Besi
1985 – Batu, Titiwangsa, Kepong, Lembah Pantai, Sungai Besi, Bukit Bintang
1986 – Batu, Titiwangsa, Kepong, Lembah Pantai, Sungai Besi, Bukit Bintang
1987 – Batu, Titiwangsa, Kepong, Lembah Pantai, Sungai Besi, Bukit Bintang
1988 – Batu, Titiwangsa, Kepong, Lembah Pantai, Sungai Besi, Bukit Bintang
1989 – Batu, Titiwangsa, Kepong, Lembah Pantai, Sungai Besi, Bukit Bintang
1990 – Batu, Titiwangsa, Kepong, Lembah Pantai, Sungai Besi, Bukit Bintang
1991 – Batu, Titiwangsa, Kepong, Lembah Pantai, Sungai Besi, Bukit Bintang
1992 – Batu, Titiwangsa, Kepong, Lembah Pantai, Sungai Besi, Bukit Bintang
1993 – Batu, Titiwangsa, Kepong, Lembah Pantai, Sungai Besi, Bukit Bintang
1994 – Batu, Titiwangsa, Kepong, Lembah Pantai, Sungai Besi, Bukit Bintang
1995 – Batu, Titiwangsa, Kepong, Lembah Pantai, Bandar Tun Razak,
Bukit Bintang
1996 – Batu, Titiwangsa, Kepong, Lembah Pantai, Bandar Tun Razak,
Bukit Bintang
1997 – Batu, Titiwangsa, Kepong, Lembah Pantai, Bandar Tun Razak,
Bukit Bintang
1998 – Batu, Titiwangsa, Kepong, Lembah Pantai, Bandar Tun Razak,
Bukit Bintang
1999 – Batu, Titiwangsa, Kepong, Lembah Pantai, Bandar Tun Razak,
Bukit Bintang
2000 – Batu, Titiwangsa, Kepong, Lembah Pantai, Bandar Tun Razak,
Bukit Bintang, Wangsa Maju
2001 – Batu, Titiwangsa, Kepong, Lembah Pantai, Bandar Tun Razak,
Bukit Bintang, Segambut, Wangsa Maju

One Response to “Intro”

  1. mobi Says:

    Saudara, Mohon penjelasan. Adakah
    Koperasi Siswazah Islam (Kosis) yang telah diwujudkan oleh DPP Pusat sedang disiasat oleh kerajaan Malaysia (kenyataan Datuk Noh Omar baru-baru ni). Mohon kerjasama pihak saudara.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.