Batalkan sahaja pertunjukan udara untuk LIMA ’07

Pemuda PAS Putrajaya ingin mengambil kesempatan menyatakan sekalung ucapan takziah kepada keluarga ketiga-tiga mangsa nahas latihan pertunjukan udara yang berlaku kira-kira jam 10.15 pagi semalam.

Mangsa yang terlibat ialah Allahyarhamah Prebet Nurul Wahida Mohamad Yunus, 20; Allahyarhamah Renjer Siti Hajar Yakub, 24; dan anggota lelaki, Trouper Raimon Duncan, 25. Ketiga-tiganya terbunuh dipercayai lemas selepas terjatuh ke laut berhampiran Pantai Cenang.

Pemuda PAS Putrajaya juga ingin menggesa pihak kerajaan dan pihak penganjur terutamanya untuk membatalkan sahaja pertunjukan udara untuk LIMA ’07 yang akan diadakan esok berikutan kejadian maut yang membabitkan tiga anggota tentera ketika menjalani latihan pertunjukan Pameran Antarabangsa Maritim dan Udara Langkawi (Lima 2007) di Pantai Cenang, semalam.

Memetik kenyataan Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin, berkata punca kemalangan itu masih belum diketahui dan Lembaga Siasatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan menyiasat perkara itu walaupun ketika kejadian, keadaan angin adalah tidak menentu.

“Kita tidak mahu membuat sebarang spekulasi mengenai punca kejadian dan siasatan terperinci perlu dilakukan. Semua mangsa ini adalah berpengalaman luas dan sudah banyak kali melakukan terjunan.”

“Mereka sebelum itu menaiki dua pesawat C-130 milik TUDM untuk terjunan dari ketinggian 300 meter dengan kelajuan angin ketika itu ialah kira-kira lapan knot. Mereka juga sudah memenuhi semua langkah keselamatan.

“Bagaimanapun, 20 daripada mereka tersasar daripada lokasi pendaratan yang ditetapkan dengan ada yang terjatuh ke laut atau tersangkut di pokok,” kata Azizan lagi.

Daripada jumlah itu, 14 dikatakan jatuh ke laut manakala selebihnya tersangkut di pokok selepas tersasar kira-kira 100 meter daripada lokasi sebenar pendaratan. Semua mereka kemudian dibawa ke hospital untuk pemeriksaan dan rawatan.

Apa yang menjadi persoalan di sini ialah mengapakah pertunjukan udara itu masih ingin diteruskan sedangkan siasatan masih belum dilakukan? Apakah pihak kerajaan dan ATM mahu mempertaruhkan nyawa sebahagian daripada 138 anggota Pasukan 10 Briged Para Kem Terendak itu? Atau apakah prestij penganjuran acara itu yang lebih dipentingkan?

Bagi pihak Pemuda PAS Putrajaya, kami ingin menyatakan kekesalan di atas tindakan seperti ini. Buat ke sekian kalinya nyawa anggota tentera kita dipertaruhkan. Kalau dahulu kita telah menyaksikan bagaimana kita telah kehilangan sekumpulan “wira negara” di dalam peristiwa nahas helikopter Nuri. Peristiwa yang membawa aib yang bukan sedikit kepada sistem dan kelengkapan pertahanan negara kita. Kini, mereka dibebankan dengan tugasan walaupun kebanyakan mereka masih lagi mengalami trauma dari kejadian yang menimpa mereka.

Kesemua mereka dikehendaki untuk menjalani latihan simulasi demonstrasi operasi mengambil alih semula lapangan terbang.

“Mereka sebelum itu menaiki dua pesawat C-130 milik TUDM untuk terjunan dari ketinggian 300 meter dengan kelajuan angin ketika itu ialah kira-kira lapan knot. Mereka juga sudah memenuhi semua langkah keselamatan.

“Bagaimanapun, 20 daripada mereka tersasar daripada lokasi pendaratan yang ditetapkan dengan ada yang terjatuh ke laut atau tersangkut di pokok,” katanya pada sidang media, di sini, semalam. Hadir sama, Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Muhammad Ismail Jamaluddin.

Daripada jumlah itu, 14 dikatakan jatuh ke laut manakala selebihnya tersangkut di pokok selepas tersasar kira-kira 100 meter daripada lokasi sebenar pendaratan. Semua mereka kemudian dibawa ke hospital untuk pemeriksaan dan rawatan.

Kenyataan Perdana Menteri juga tidak melegakan perasaan mereka apabila PM dipetik sebagai berkata insiden itu diharap tidak mengganggu persediaan rapi yang sudah diatur untuk Lima 2007 dan berharap semua rancangan berjalan lancar seperti yang sudah dijadualkan sepanjang acara berkenaan.

Tentu sekali pihak penganjur dan pengurusan berasa amat sedih terhadap kemalangan yang berlaku. Saya harap kejadian ini tidak mengganggu persediaan yang dibuat untuk Lima 2007,” katanya.

Bagi Pemuda PAS Putrajaya, meneruskan pertunjukan udara pada perasmian LIMA 07 esok adalah suatu arahan yang tidak menghormati pengorbanan dan amat berisiko kepada anggota tentera yang terlibat di dalam kejadian tersebut. Dengan rasa terpaksa mereka akan meneruskan tugasan tanpa diketahui punca tragedi yang baru sahaja menimpa mereka.

Terbaru, seakan ada sinar di hujung terowong apabila Timbalan Perdana Menteri mengumumkan bahawa pertunjukan itu dibatalkan dan digantikan dengan acara yang lain.

“Kalau mereka guna kaedah free fall (terjun bebas), walaupun angin kencang, mereka masih boleh memandu parachute (payung terjun) mereka dan ini akan menentukan kaedah keselamatan yang lebih baik,” katanya kepada pemberita selepas melawat anggota tentera yang cedera dalam kejadian itu di Hospital Langkawi di sini hari ini.

Kenyataan TPM yang juga Menteri Pertahanan itu kelihatan agak bijak apabila beliau berkata, terjunan acara baru itu juga tidak akan dilakukan oleh anggota Pasukan 10 sebaliknya dibuat anggota Pasukan Khas Udara (Paskau) Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), yang berkemahiran membuat penerjunan dalam pelbagai keadaan cuaca termasuk angin kencang.

Namun bagi Pemuda PAS Putrajaya tetap berpendirian bahawa sebarang acara pertunjukan udara adalah berisiko selagi mana hasil siasatan tidak diperolehi. Maka kami, Pemuda PAS Putrajaya mencadangkan agar sebarang pertunjukkan udara dibatalkan sama sekali untuk acara perasmian LIMA 07 esok dan siasatan perlu diadakan sebelum mana-mana acara seumpanya diadakan lagi sehingga hasil siasatan diperolehi dan menerima pakai segala cadangan pembaikian yang akan dikeluarkan nanti oleh badan siasatan tersebut. Itupun dengan jaminan bahawa badan siasatan yang ditubuhkan nanti tidaklah bersifat seperti pekerjaan “bagai melepaskan batuk di tangga.”

oleh: AJK Penerangan Pemuda PAS Putrajaya