oleh Azamin Amin

KUALA LUMPUR, 7 Dis (Hrkh)– Ahli Parlimen PAS Kubang Kerian, Salahuddin Ayub telah memohon mesyuarat Dewan Rakyat ditangguhkan untuk membincangkan kenyataan Pengerusi SPR Tan Sri Abd Rashid Abd Rahman mengenai keputusan mahkamah pada tahun 2001.

Menurut Salahuddin pada 5 Disember lalu di Dewan Rakyat, Rashid ketika menyampaikan ucap utama pada Kursus Kenegaraan Institut Akhbar Malaysia (IAM) bertemakan “Media dan Pilihanraya Umum” di Universiti Malaya pada 4 Disember lalu mempertikaikan keputusan Hakim Dato’ Muhammad Kamil Awang yang membatalkan keputusan pilihan raya DUN Likas, Sabah pada 2001.

Ia berdasarkan alasan senarai pemilih 1998 bagi kawasan berkenaan tidak mengikut undang-undang di mana pengundi-pengundi hantu, termasuk yang bukan warganegara, telah secara bukti dibenarkan membuang undi pada hari pengundian.

“Dalam penghakimannya Hakim Muhammad Kamil dipetik sebagai berkata, SPR gagal menjalankan tanggungjawab mereka dalam mengesahkan dan menggazet senarai pemilih yang mencurigakan, di samping banyak laporan yang dibuat terhadap kepincangan SPR serta pihak kerajaan bagi menjalankan siasatan terhadap wujudnya orang yang tidak mempunyai kewarganegaraan dalam senarai pemilih,” kata Salahudin yang juga Ketua Pemuda PAS dalam satu kenyataan media yang difakskan ke Harakahdaily semalam.

Katanya, berdasarkan kenyataan Pengerusi SPR tersebut jelas mempertikai dan menafikan keputusan Mahkamah Tinggi yang telah dibuat secara adil sebaik sahaja disahkan sebagai muktamad dan diterima dan tidak boleh dipersoalkan atau membuat rayuan atau dinilai semula, dipinggirkan oleh mana-mana mahkamah.

Salahudin dalam usulnya berkata :”bahawa mesyuarat ini hendaklah ditangguhkan bagi membolehkan dewan yang mulia ini merundingkan dan membincangkan dakwaan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abd Rashid Abd Rahman mengenai penghakiman pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Likas 2001 yang dituduh berat sebelah dan beliau turut mendakwa kononnya Hakim terbabit ‘mempunyai agenda tersendiri’ sehingga terhasilnya keputusan tersebut.”