Salmiyah Harun

Thu | Dec 06, 07 | 4:21:43 pm MYT KUALA LUMPUR, 6 Dis (Hrkh) – Terdapat asas undang-undang yang boleh digunakan mengheret Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman kerana menghina mahkamah dalam isu pilihan raya kecil DUN Likas.

“Sebab ada perinsip undang-undang kita boleh memberi kritikan terhadap mana-mana penghakiman mahkamah tetapi apabila kita menuduh seorang hakim berat sebelah kita mesti ada bukti dan asas kalau tidak mereka menuduh tanpa asas, itulah satu penghinaan terhadap mahkamah,” katanya.

Baru-baru ini, dalam satu Kursus Kenegaraan Institut Akhbar Malaysia (IAM) bertemakan “Media dan Pilihan raya Umum” di Universiti Malaya, Tan Sri Rashid mendakwa penghakiman pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Likas 2001 berat sebelah malah turut mendakwa kononnya Hakim terbabit ‘mempunyai agenda tersendiri’ sehingga terhasilnya keputusan tersebut.

Beliau dilaporkan berkata, “Proses penghakiman itu saya ‘tak attend’ juga. Apa yang dikatakan oleh hakim, saya tak tahu. Dia boleh katalah semuanya sebab nak cerita kat orang kampung. Dia nak cerita kat orang kampung, bukan kita tak ‘tu’ (menang), tapi orang tipu kita.

“Pengundi hantu apa di Likas ni? Di Likas ini adalah complete ‘different’ isu. Bukan urusan pengundi hantu.

“Hakim itu sendiri tidak periksa… dalam ‘one side’, hakim itu sendiri ‘bias’ (berat sebelah). Hakim itu got frustrated with certain things dan dia gunakan ini untuk pukul kerajaan bukannya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)”.

Mengulas lanjut kenyataan Rashid, Sivarasa berkata, pertuduhan Rashid jelas menunjukkan ia ‘baru direka’ memandangkan beliau sekarang terdesak selepas kempen besar-besaran oleh Bersih yang bermula tahun lepas.

Tegasnya, kenyataan dan tuduhan beliau itu adalah terdesak bagi menjawab dakwaan daripada Bersih selama ini, sekarang dia menyatakan keputusan hakim adalah berat sebelah ini bermakna dia menafikan keputusan Hakim Dato’ Muhammad Kamil Awang pada jun 2001

“Kenapa dia tidak sebut dakwaanya pada waktu itu sudah enam tahun berlalu baru sekarang nak disebut semula, selepas enam tahun baru dia sedar penghakiman di Likas berat sebelah, kita dapat lihat komen yang dibuat beliau adalah direka,” tegas Sivarasa.

Sivarasa yang bersedia dengan beberapa fakta secara terperinci dalam penghakiman dalam muka surat 447 sebagai mana yang dilaporkan Malaysia Law Journal (MLJ) memberitahu terdapat 4585 bantahan yang disenaraikan untuk senarai utama daftar pemilih yang telah disahkan disember 1998 dan 246 bantahan bagi senarai B adalah mereka yang berpindah alamat.

Justeru, beliau mencabar Rashid untuk menjawab semua fakta yang diputuskan dalam penghakiman pilihan raya kecil Dun Likas sebelum membuat sebarang tuduhan yang tidak berasas.

“Saya yakin dia tidak ada jawapan sebab sejak Jun 2001 sehingga sekarang Tan Sri Rashid tidak keluarkan apa-apa jawapan, dia ada enam tahun dan dia tidak pernah menjawab apa yang dikemukakan secara detil dalam penghakiman hakim Mohd Kamil,” katanya. – mns