Roy Rasul | Foto Wan Zahari Wan Salleh
Sat | Dec 08, 07 | 5:40:23 pm MYT
KUALA LUMPUR, 8 Dis (Hrkh) – Dewan Pemuda PAS Pusat menentang sekeras-keraskan hasrat kerajaan untuk meminda perkara 114 Perlembagaan Negara dalam fasa 3 dengan menggantikan perkataan 65 tahun kepada perkataan 66 tahun.

Image

Ketua Pemudanya, Salahuddin Ayub menegaskan pindaan tersebut jelas bermotifkan untuk melanjutkan tempoh khidmat Pengerusi Suruhanjaya Pilihan raya (SPR), Tan Seri Abdul Rashid Abdul Rahman yang sepatutnya bersara wajib pada penghujung tahun ini.Dalam satu sidang media sempena mesyuarat exco pemuda di pejabat Agung PAS dekat sini, hari ini, beliau berkata, demi kepentingan pengerusi SPR parlimen terpaksa bersidang untuk mengambil keputusan bagi melanjutkan pekhidmatannya.

“Sudah tentunya Akta ini diterima kerana mereka mempunyai majoriti besar.

“Bagi saya dan Pemuda Pusat ia akan melibatkan implikasi kewangan yang besar kepada kerajaan, dan persoalannya kenapa umur persaraan beliau perlu dilanjutkan daripada 65 kepada 66 tahun?

Image“Lagi pun hanya kerana seorang Perlembagaan Negara hendak dipinda,” katanya.

Tambahnya, Pemuda PAS, mengambil keputusan menentang sekeras-kerasnya pindaan tersebut juga berdasarkan prestasi yang ditunjukkan Rashid yang begitu ‘bias’ kepada kepentingan Barisan Nasional (BN) dan juga beberapa sikapnya yang tidak konsisten serta dianggap menyeleweng dalam pengurusan pilihan raya.

Sehubungan itu, beliau yang juga ahli parlimen Kubang Kerian, akan memasukkan usul tergempar di bawah 18(1) dalam parlimen yang akan dibentang pada hari Isnin ini.

“Saya hantar usul tersebut kerana kami melihat ucapan Rashid yang terbaru dalam satu seminar di universiti Malaya, beliau mempertikaikan keputusan mahkamah mengenai petisyen pilihan raya kecil Likas dahulu dan juga menghina presiden PAS yang memakai serba dan jubah dengan mengatakan bahawa beliau tidak boleh dipecayai,” katanya yang ditemani Timbalannya, Ustaz Nasrudin Hassan dan Naib Ketuanya, Azman Syafawi.

ImageBeliau berkata, sepatutnya Rashid bersikap profesional kerana beliau seorang anggota suruhanjaya di bawah Yang diPertuan Agong.

Bagi membantah Akta tersebut katanya, Pemuda akan bersama Bersih untuk menyerah memorandum kepada Perdana Menteri dan Ahli Parlimen pada 11 Disember ini di perkarangan Parlimen, jam 10 pagi.

“Kemungkinan kita akan mengadakan satu perhimpunan aman untuk sama-sama mengiringi penghantaran memorandum itu bagi membantah penyambungan perkhidmatan Rashid.

“Ini adalah sikap kita supaya beliau ditamatkan perkhidmatannya kerana integriti hilang untuk menjalankan kerja-kerja urusan dalam pilihan raya negara dalam konteks keadilan dan ketelusan,” katanya.

ImageDalam pada itu katanya, bermula hari ini, pada setiap hari Sabtu Pemuda PAS akan mengadakan program ‘sembang dan jalan-jalan’ bersama Bersih di bandar-bandar besar di seluruh negara.

Sementara itu petang tadi, mereka mengedarkan risalah bermula dari Bangunan Sogo dan berakhir di Pasar Malam Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Program diketuai Salahuddin dan Timbalannya serta Ketua Pemuda Wilayah Persekutuan, Kamaruzzaman Mohamad. Turut menyertai kira-kira 30 pemuda lain.

Program mereka disambut baik orang ramai dan juga tidak ada gangguan daripada pihak berkuasa. – mns