Monday, December 10, 2007

Kenyataan Media DPP Pusat

Hj. Nasrudin bin Hj. Hassan at Tantawi

Timbalan Ketua DPP Pusat.


BERTENANG DAN BERWASPADA


Kebelakangan ini jelas memperlihatkan keadaan kerajaan UMNO dan BN kian terdesak apabila mereka terus memperalatkan PDRM untuk menangkap rakyat mereka sendiri dengan hanya kerana menyertai Perhimpunan Aman .


Dewan Pemuda PAS Pusat percaya bahawa ini hanyalah gerak saraf mereka untuk melemahkan daya juang para pimpinan dan aktivis PAS , juga mereka yang bersama dengan Barisan Alternatif menjelang pilihanraya umum yang bakal berlangsung tidak lama lagi.


Kebangkitan rakyat bersama gelombang KUNING yang menuntut perubahan ternyata sangat meresahkan kerajaan UMNO dan BN . Kegoyahan mereka semakin ketara apabila kebangkitan ini turut disertai oleh pelbagai pihak termasuk badan – badan bukan kerajaan ( NGO ) yang selama ini dilihat tidak respons terhadap perkembangan politik tanahair .


Dewan Pemuda PAS Pusat menegaskan bahawa kami tidak gentar menghadapi apa jua tekanan dan tidak pula lemah menghadapi apa jua rintangan, malah DPP Pusat telah bersedia menghadapi PRU ke 12 ini . Justeru itu , kepada semua ahli – ahli PAS dan seluruh anggota parti kompenan Barisan Alternatif juga termasuk para aktivis masyarakat dan NGO agar tidak “melayan” karenah nakal kerajaan UMNO dan BN .


Pedulikan segala bentuk provokasi dan jangan mudah terpedaya dengan khabar angin yang cuba memerangkap kita ke tengah kemelut perkauman yang sengaja dicipta oleh UMNO dan BN . Sebaliknya , setiap berita yang diterima terutama melalui sms adalah perlu merujuk kepada pimpinan parti bagi mengesahkan keabsahan sesuatu berita yang diterima.


Sikap yang perlu diambil ialah meneruskan segala aktiviti parti sebagaimana biasa , malah mempertingkatkan prestasi guna mendepani pelbagai bentuk ancaman yang tidak pernah luntur termasuklah untuk menghadapi Pilihanraya Umum kelak .


Pengedaran risalah , ceramah umum di luar dari kawasan markaz PAS , dialog rakyat , Jalan – jalan bersama Bersih dan sebagainya mestilah diteruskan dengan lebih aktif tanpa tunduk kepada tekanan dan perang saraf yang dilancarkan oleh UMNO dan BN .


Dewan Pemuda PAS Pusat sekali lagi mengecam tindakan kerajaan UMNO dan BN yang sering memperalat dan memperkudakan pihak PDRM untuk kepentingan pengaruh serta survival kuasa mereka .


Tangkapan yang dilakukan ke atas Tuan Hj. Mohd Sabu ( Naib Presiden PAS ) adalah sangat tidak bermoral dan bertamaddun malah bercanggah dengan etika seorang muslim yang merdeka.


Jelas , nyata dan sangat ketara bahawa kini Malaysia di bawah kerajaan UMNO dan BN yang dipimpin oleh Dato’ Seri Abdullah Badawi menuju “Negara Polis” .