Oleh Fauwas Abdul Aziz
Malaysiakaini

Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini menolak permohonan sebuah pemaju untuk mendapatkan pemilikan terus kawasan Kampung Berembang di Ampang.

Oleh itu, satu perbicaraan penuh perlu diadakan, jika pemaju berkenaan masih mahu menuntut pemilikan kawasan tersebut.

Pemaju Perspektif Masa Sdn Bhd, telah memohon sebagai mewakili rakan usahasamanya, Permodalan Nasional Selangor Bhd (PNSB), untuk mendapatkan pemilikan terus tanah terbabit tanpa perlu mendengar perbicaraan penuh.

Menurut peguam penduduk terbabit, Edward Saw, Pesuruhjaya Kehakiman, Mariana Yahya berkata ada isu-isu yang boleh didengar sama ada pihak penduduk dianggap telah mendapat kebenaran kerajaan Selangor untuk tinggal di situ.

Di samping hakmilik tanah tersebut, PNSB juga memohon perintah mahkamah untuk menghalang para defenden daripada mengganggu kerja-kerja yang dijalankan di Kampung Berembang.

Ini – serta perintah mahkamah sebelah pihak yang diperolehi oleh PNSB pada 27 Februari lalu untuk mengosongkan tanah tersebut – diisytiharkan tidak sah dan dibatalkan dengan kos.

Hakim juga mengarahkan PNSB membayar gantirugi dan kos-kos lain yang terbabit akibata kerja-kerja merobohkan rumah penduduk.

Setiausaha Agung penaja Parti Sosialis Malaysia S Arutchelvan (kiri) berkata, keputusan itu diumumkan dalam kamar hakim.

Penduduk Kampung Berembang yang memenuhi dewan mahkamah, dimaklumkan mengenai keputusan itu pada kira-kira jam 11.15 pagi.

Menurutnya, keputusan itu disambut dengan tepukan gemuruh para penduduk, sesetengah daripadanya kini tinggal dalam khemah sementara sejak rumah mereka dirobohkan November tahun lalu.

Bayar gantirugi

Penduduk Kampung Berembang menegaskan bahawa mereka telah tinggal di situ sejak tahun 1960-an dengan kebenaran kerajaan Selangor dan oleh itu, mereka seharusnya dibayar gantirugi jika tanah tersebut diambil balik untuk tujuan pembangunan.

Mereka menyebut penubuhan cawangan Umno Kampung Berembang dan bekalan elektrik, pembinaan surau, dewan serbaguna serta kemudahan lain, bagi menyokong dakwaan mereka bagi mendapatkan bayaran gantirugi.

Pada 17 November tahun lalu – seminggu selepas notis pengusiran diserahkan kepada penduduk – anggota Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), polis anti-rusuhan dan Rela telah bertindak merobohkan beberapa rumah di situ.

Walaupun penduduk membuat rayuan tetapi kerja-kerja perobohan itu dilakukan lagi pada 20 dan 30 November. Pada 7 Mac tahun ini, sebuah pemaju swasta telah merobohkan semua rumah penduduk di situ.

Penduduk juga memfailkan saman terhadap MPAJ kerana mengeluarkan notis pengusiran yang ‘tidak sah’ mengikut Ordinan Darurat (Peraturan Pembersihan Setinggan) 1969.

Berikutan keputusan mahkamah pagi ini, keadaa kembali kepada status awal sebelum kerja-kerja perobohan itu dilakukan.

Oleh itu, dari segi teknikalnya, penduduk dibenarkan pulang semula ke Kampung Berembang.

“Kami harap pemaju tidak akan memfailkan rayuan terhadap keputusan tersebut dan memanjangkan lagi penderitaan pada penduduknya,” tambah Arutchelvan.