Wan Nordin Wan Yaacob
Sun | Dec 16, 07 | 11:36:50 am MYT

Melangkahkan kaki menuju ke Setesen Bas Terminal One Seremban, selepas menghantar abang penulis menaiki bas menuju ke Bahau, penulis menuju ke ‘Platform 40’ untuk mendapatkan bas ke Kuala Lumpur.Macam biasalah penulis ke Kuala Lumpur kerana hari ini penulis bertugas di pejabat bagi mengemaskini kandungan Harakahdaily.net di segarkan.

Menaiki bas penulis dapat melihat penumpang di dalam bas hanya ada beberapa orang sahaja yang sekulit dan sebangsa dengan penulis, selainnya semuanya lebih putih atau lebih hitam dari penulis.

Ramai sekali warganegara Bangladesh dan Mnyanmar yang menaiki bas tersebut untuk ke Kuala Lumpur bagi meramaikan lagi ‘warga asing’ di Lebuh Pasar.

Tiba di Central Market, suasana bertambah sibuk dengan kali ini bumi Kuala Lumpur dipenuhi dengan warga Indonesia, Bangladesh, Myanmar dan sedikit pelancong berkulit putih, mungkin dari Britain atau Australia.

Menuju ke sekitar siarkaki di Central Market, di kiri-kanan jalan penuh dengan ‘Mat Bangla’, ‘Mat Indon’ dan ‘Myanmar’ masing-masing dengan gaya tersendiri, pelik dan ada juga yang bergaya ala ‘punk’.

Ketawa sendiri penulis melihat gaya mereka, sambil bergurau senda sesama mereka tanpa menghiraukan sekeliling.Lagak mereka seperti negara sendiri, dan tiada yang asing bagi mereka bagai Kuala Lumpur bumi sendiri.

Mereka datang ke Malaysia untuk mencari rezeki dan ada juga yang berniat mahu kaya bila pulang ke negara masing-masing nanti.

Menuju ke Jalan Lebuh Pasar berhampiran bangunan HSBC di mana tidak jauh dari situ terdapatnya agensi penghantaran wang asing terbesar di Kuala lumpur.

Di situ, Kuala Lumpur bagaikan negara asing kepada penulis tatkala penulis hanya melihat dua tiga orang sahaja yang sebangsa dengan penulis melalui jalan di situ menuju ke Masjid Jamek.

Alangkah seronoknya mereka selepas menyudahkan proses penghantaran wang, mereka berpesta di kiri-kanan jalan tempat menunggu bas di kawasan berkenaan.

Penulis terasa asing di bumi sendiri.Tujuh tahun lalu penulis juga sering melalui jalan berkenaan, namun suasana tidak seperti hari ini.Tiada rakyat Bangladesah, Myanmar mahupun Indonesia.

Jika pulang dari Universiti Malaya ke Seremban, penulis akan mengambil bas di Puduraya (ketika itu tahun 1999 hingga 2001, kini bas ke Seremban berpindah di hadapan Central Market), penulis tidak nampak kelibat orang asing, dan bumi Kuala Lumpur penulis rasakan seperti bumi sendiri.

Kini segalanya berubah, terlalu asing dan terlalu pelik, bagaimana rakyat asing boleh menguasai kawasan itu dengan hanya beberapa tahun.

Di Chow Kit tak usah kiralah, sudah lama menjadi ‘Jakarta nombor dua’, dari aktiviti perniagaan hinggalah kepada pelacuran semuanya hampir dikuasai bangsa bukan sekulit dengan penulis.

Hairan sungguh, di sebuah negara yang kata Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai negara bangsa Malaysia, tetapi hari ini negara ini semakin diramaikan dengan bangsa bukan ‘warganegara’.

Stattistik terkini warga Indonesia di Malaysia sahaja mencecah jutaan orang dan itu tidak dikira dengan kebanjiran warga Myanmar dan Bangladesh.

Penulis tidak menyalahkan sepenuhnya kerajaan dan warga asing dalam hal ini.Warga asing datang untuk mendapatkan pekerjaan di sini yang bagi mereka sebagai syurga wang.

Bagi mereka tak kiralah apa pekerjaan sekalipun, janji mereka boleh mendapatkan wang untuk kesenangan.Di negara mereka untuk mendapat semua ini cukup sukar sekali.

Malangnya anak muda di negara ini tidak melihat semua itu.Mereka masih seronok menjadi ‘mat rempit’ dan ‘minah rempit’.Di institut pengajian tinggi pula, kini timbul budaya baru di kalangan mahasiswinya yang snaggup menjual badan demi untuk mendapatkan wang.

Teringat penulis dalam satu laporan akhbar tabloit arus perdana yang mendedahkan aktiviti mahasiswi ‘seks ringan-ringan’ untuk mendapatkan wang.

Malang sungguh mereka ini, kerana sanggup menggadai maruah demi mendapatkan wang untuk hidup mewah, memakai telefon bimbit mahal dan baju yang berfesyen.

Tidak terfikirkan mereka senario kebanjiran warga asing di negara ini yang mencuri peluang pekerjaan di pelbagai sektor dan terkini pengurusan di beberapa syarikat penghantaran wang pun sudah dikuasai warga asing.

Anak muda yang tidak berpendidikan pula hanya leka dengan hiburan yang disajikan tanpa batasan.Jika ada pihak yang mahu melarang ‘maksiat’ ini dari terus bermaharajalela merosakkan anak muda, ada sahaja pihak lain yang menghalang.

Kononnya semua itu tidak salah, dan kerajaan Islam Hadhari sedikitpun tidak melarangnya. Program-program yang dianjurkan oleh agensi kerajaan sendiri ada kalanya membuatkan anak muda cukup seronok menjalani ‘syurga maksiat’ di Kuala Lumpur.

Penganjuran konsert dan hiburan sedikitpun tidak dilarang atau dibatasi, sebaliknya ada penganjur yang mendapat ‘potongan cukai’ di atas semua itu.

Hiburan disajikan membuatkan muda-mudi membelah keheningan malam hingga ke pagi dan ia menyebabkan mereka letih, lesu dan longlai untuk ke tempat kerja hari berikutnya.Hendak bekerjapun malas dan tiada daya usaha.Hanya hiburan sahaja yang mereka mahukan.

Penulis tidak salahkan kerajaan seratus peratus dalam hal ini, kerana ianya juga terpulang kepada individu itu sendiri dalam merancang kehidupan mereka.Namun sebagai kerajaan yang berkuasa, sepatutnya mereka ada perancangan dalam membanteras semua ini.

Mana perginya manusia yang bernama Khairy Jamaluddin yang cukup sayangkan bangsanya dalam hal ini. Sanggupkan beliau melihat anak muda kini semakin hanyut dibuai arus kemodenan melampau, melayan jalan raya yang telahpun bertukar menjadi ‘lembah maut’ dan melayari asmara tanpa ikatan yang sah.

Semua ini akan meruntuhkan pembinaan sebuah tamadun bangsa.Jika Islam Hadhari menitik beratkan hal ini, sudah pastinya gejala ini disekat, dibendung dan dihindarkan dari mendapat ruang di bumi Malaysia ini.

Tidak dinafikan para Ulama perlu berfungsi dalam hal ini, namun penulis melihat suara Ulama semakin dipinggirkan memandangkan setiap kali mereka menegur dalam hal ini, tentunya ada suara yang menyatakan ‘ah itu semua politik’.

Tatkala isu panas kemaksiatan terkena kepada anak-anak pemimpin atau orang berkepentingan, mulalah melenting para pemimpin tidak mahukan teguran dari para Ulama.