Mat Zain Mat Isa
Tak nak tulis pun rasa nak mengulas. Isunya bukan lah besar sangat, tapi tak kena rasanya kalau tak disentuh langsung. Apatah lagi perkara itu melibatkan kepentingan awam dan dikaitkan pula dengan imej politik satu-satunya kerajaan pimpinan PAS.

Ada benarnya kata orang, dalam dunia politik tidak ada perkara yang terselamat dari dimanipulasi atau diputarbelit demi kepentingan politik. Manusia sebagai makhluk politik akan sentiasa mengintai peluang dan mengambil kesempatan atas apa jua yang berlaku untuk mengaitkannya dengan kelemahan musuh. Harap-harap dengan menghentam musuh, mereka akan mendapat mileage politik. Begitulah lumrah dalam dunia politik.

Apa yang dikesalkan, kekadang ahli politik kita sampai bercakap dan bertindak di luar rasional. Semata-mata demi mengejar kepentingan politik, ada pemimpin sanggup bercakap sesuatu yang tidak masuk akal, malah boleh menjadi bahan tertawa orang ramai. Kenyataan seorang pemimpin kanan BN Kelantan beberapa hari lalu adalah termasuk di dalam kategori ini.

Dalam kenyataan disiarkan akhbar Berita Harian, Sabtu, 15 Disember, Setiausaha Parlimen Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Sazmi Miah meletakkan kerajaan PAS Kelantan sebagai punca berlakunya banjir di negeri itu.

Akhbar itu memetik katanya, kegagalan Kerajaan Kelantan pimpinan PAS mewartakan hutan seluas 5,000 hektar di Lojing sebagai kawasan tadahan hujan menyebabkan penduduk negeri itu terus terdedah kepada ancaman banjir besar setiap kali musim tengkujuh.

“Lebih 10,000 penduduk di kota Bharu, Pasir Mas, Rantau Panjang, Machang, Tanah Merah dan Kuala Krai, yang tinggal berdekatan dengan Sungai Kelantan dan Sungai Golok terus terdedah kepada banjir jika usaha ke arah itu tidak dilakukan kerajaan negeri dengan segera,” katanya.

Menurut Ahli Parlimen Machang itu, pembalakan secara besar-besaran oleh pihak yang mendapat konsesi membalak di Lojing menyebabkan Sungai Kelantan dan Sungai Golok menjadi cetek disebabkan lumpur yang dibawa arus dari kawasan terbabit.

Sekali imbas saja kenyataan setiausaha parlimen itu mengundang pertikaian. Cuba kita ajukan beberapa persoalan balas kepada kenyataan Sazmi tadi. Pertama, sejak bilakah fenomena banjir di musim tengkujuh berlaku di negara kita, khususnya di Kelantan? Apakah ia hanya mula berlaku sebaik PAS memerintah negeri itu? Apakah ia tidak pernah berlaku sepanjang 12 tahun pemerintahan BN (1978-1990) dulu?

Jawabannya tentu sekali diketahui umum bahawa banjir adalah fenomena alam di Kelantan sejak berzaman. Ia tidak ada kena-mengena dengan pemerintahan PAS.

Kedua, jika soal pewartaan kawasan hutan dikatakan punca banjir, mengapa ketika BN memerintah dulu, parti itu tidak mengambil kesempatan mewartakan kawasan yang dimaksudkan itu? Mengapa tunggu sudah kalah dan jadi pembangkang baru nak bising soal itu?

Ketiga, jika benar dakwaan Sazmi bahawa banjir berlaku di Kelantan akibat mendapan lumpur dari aktiviti pembalakan di Lojing, bagaimana halnya dengan sungai-sungai lain? Contohnya Sungai Kemasin di Bachok, Sungai Semerak di Pasir Puteh, Sungai Besut dan Sungai Jertih di daerah bersebelahan Kelantan. Apakah di sana tidak ada banjir kerana tiada aktiviti pembalakan di hulu sungainya? Setahu kita, setiap tahun ada-ada saja penduduk di daerah-daerah itu yang menjadi mangsa banjir.

Keempat, jika dikatakan kegagalan kerajaan PAS Kelantan mewartakan hutan Lojing sebagai punca banjir, bagaimana pula dengan banjir di Pahang, Johor, Terengganu, Negeri Sembilan dan lain-lain negeri itu?

Dalam keadaan yang berlaku sekarang ini, apakah boleh dikata bahawa kerajaan BN di negeri-negeri itu juga gagal mewartakan kawasan tadahan hujan di hulu sungai masing-masing? Jika ya, mengapa Sazmi tak bising-bising soal banjir di negeri-negeri itu?

Seperti yang dikatakan di awal tadi, isunya bukan lah besar sangat. Tapi, oleh kerana yang bercakap itu seorang Setiausaha Parlimen dan pihak yang dipersalahkan itu pula sebuah kerajaan negeri, maka perkara yang diucapkan itu sepatutnya biarlah lebih bertanggungjawab.

Apatah lagi dalam suasana rakyat sedang menghadapi musibah besar sebegini, adalah tidak wajar mana-mana pihak cuba mengambil kesempatan atas kesusahan mereka.

Tapi itulah apa yang dikata orang bahawa dalam dunia politik tidak ada perkara yang tidak dipolitikkan. Kerapkali kenyataan orang politik yang dirasuk sentimen kepartian akan membelakangi rasionaliti. Dia terdorong melihat hanya keburukan parti lawan, sehingga sanggup mengemukakan hujah yang kadang-kadang tidak masuk akal dan tidak menepati fakta sebenar.

Dalam hal ini, Sazmi tidak terkecuali. Fakta dan persoalan yang diajukan tadi sudah cukup untuk mempertikaikan rasionaliti kenyataan setiausaha parlimen itu. Bagaimanakah seorang terpelajar seperti beliau terlepas pandang fakta-fakta itu?

Kalau nak cari mileage politik pun, biarlah munasabah dan kena pada tempatnya. Lain lah kalau negeri-negeri diperintah BN itu langsung tidak dilanda banjir!