Wan Nordin Wan Yaacob Foto Wan Zahari Wan Salleh

KUALA LUMPUR, 18 Dis (Hrkh) – Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (Bersih) tidak menolak kemungkinan akan mengadakan himpunan aman jika kerajaan melanjutkan khidmat Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman.<!–

Advertisement

–>

ImageMenurut Jurucakap Bersih, Dr Dzulkifli Ahmad, Berish memandang serius dan kecewa dengan kelulusan Pindaan Rang Undang-undang bersabitan Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan bagi melanjutkan usia pemegang jawatan ahli SPR dari 65 ke 66 tahun.

“Bersih sayugia mengingatkan Perdana Menteri, seandainya perkhidmatan Pengerusi SPR ini dilanjutkan juga, maka tidak ada jaminan bahawa rakyat tidak akan bangkit untuk membantah perlanjutan perjawatan beliau demi menjaga keutuhan demokrasi dan kestabilan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang media selepas menyerahkan nota bantahan kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi melalui Setiausaha Politik Perdana Menteri, Dato’ Wan Farid Wan Hisham di Putrajaya hari ini.

Turut serta dalam penyerahan memorandum itu ialah, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Sivarasa Rasiah dan Jawatankuasa Bersih, Liu Chin Tong.

Mengulas lanjut isu tersebut Dr Dzulkifli berkata, nota bantahan yang dikemukakan kepada Speaker Parlimen pada 11 Disember lalu yang sekali gus telah mencetuskan pesta penangkapan 24 orang ahli dan aktivis Bersih.

Kerajaan pinda lebih 40 ‘multiple amendments’

Sikap kerajaan yang dilihat tergesa-gesa dalam membuat pindaan tersebut dengan ‘bulldozed’ langsung tidak memberi apa-apa kesan malah ia ‘precedent’ buruk yang mencemar amalan proses ‘legislatif’ di Negara ini, katanya.

Bersih ingin mengingatkan bahawa negara ini telah mengalami 40 kali pindaan perlembagaan berbentuk ‘multiple amendments’ dan tak kurang dari 650 ‘single amendment’, katanya.

Begitupun Singapura yang kurang lebih mempunyai latar belakang sejarah yang sama dengan Malaysia hanya meminda perlembagaan mereka sebanyak empat kali, ujar Dr Dzulkifli.

Negara seperti Amerika Syarikat yang memiliki sejarah negara bangsa selama 231 tahun pun, hanya meminda perlembagaan mereka sebanyak 27 kali, katanya.

“Jelas kerajaan Umno-BN yang telah memerintah selama lima dekad ini, kurang memahami dalam pemuliharaan ‘Kemurniaan Undang-Undang’ sekali gus bagi mempertahankan ‘Keluhuran Undang-undang’ lantas telah melakukan pindaan dengan memaparkan keangkuhan dan ketidakpeduliaan yang mengaibkan negara di kaca mata masyarakat antarabangsa,” tegasnya.

ImageBegitupun Bersih mengakui keperluan menyelaraskan usia penjawat tertinggi kedudukan awam, katanya memetik nota bantahan yang diserah kepada Perdana Menteri.

Namun Bersih melihat segala pindaan dibuat hanyalah bagi melayakkan penjawat jawatan Pengerusi SPR hari ini, yang akan bersara pada 31 Disember akan datang, untuk terus dilanjutkan perkhidmatan beliau, ujarnya.

Buka lembaran baru

Mengulas mengenai nota bantahan kepada Parlimen 11 Disember yang lalu secara tegas menggariskan mengapa peribadi Rashid Abdul sama sekali tidak layak untuk meneruskan tugasannya selaku Pengerusi SPR.

“Negara yang berada di ambang Pilihan Raya Umum ke-12 pada bila-bila masa ini, wajar mengambil peluang ini bagi membuka lembaran baru yang seharusnya menjanjikan satu suasana sihat dan segar, dalam amalan pengurusan proses pilihan raya.yang lebih bebas, adil dan bersih,” katanya.

Bagi Bersih, peribadi Rashid akan terus mencemarkan proses pilihan raya sekali gus tidak mampu mengembalikan keyakinan rakyat dan pengundi kepada proses pilihan raya di Negara ini, katanya.

Wajar bagi Bersih Perdana Menteri, bahawa Perkara 114 (2) Perlembagaan Persekutuan menegaskan tentang ‘kepentingan mendapat keyakinan awam terhadap SPR’.

Justeru kata Dr Dzulkifli dalam nota bantahannya, Perdana Menteri perlu melihat kepada hujah betapa khidmat Rashid amatlah tidak diperlukan lagi.

Antara hujah Bersiah ialah :

a) Daftar Pemilih masih lagi tercemar dengan nama-nama pengundi yang telah mati, bukan-warganegara, pendaftaran lebih dari sekali, tidak cukup umur lantas menjadi keputusan pilihan raya ditentukan oleh mereka yang tidak berkelayaan atau ‘pengundi hantu’.

Likas satu contoh yang jelas dan bagaimana Hakim Dato’ Muhamad Kamil Awang telah menolak keputusan pilihan raya tersebut. Amat malang sekali, kerajaan BN telah mengambil peluang meminda Akta Pilihan Raya 1958 Seksyen 9A yang menjadikan Daftar Pemilih setelah diwartakan ‘tidak lagi tertakluk atau boleh dicabar, dinilai semula di mana-mana mahkamah’. Tegasnya pindaan ini telah memerangkap kita dengan Daftar Pemilih yang tidak boleh dibersihkan kecuali oleh SPR sendiri.

Awal tahun ini setelah sekian lama bantahan pihak pembangkang khususnya tentang kekotoran Daftar Pemilih, SPR mengakui bahawa telah digugurkan seramai 180,000 pengundi kerana dikesani telah mati.

Seramai 22, 433 pengundi dikesani bukan dari warga negara ini kerana nama mereka tidak pernah wujud dalam Jabatan Pendaftaran Negara. Persoalannya berapa ramaikah mereka ini yang mengundi pada PRU ke-11 lalu dan berapa ramai yang masih berada dalam Daftar Pemilih (DP) yang ada kini? Pengundi jenis ini timbul lagi dalam pilihan raya kecil Ijok pada April 2007.

Isu Daftar Pemilih terbit lagi dengan pengakuan yang dibuat oleh beberapa pengundi yang nama mereka tersenarai sementara mereka tahu mereka tidak pernah berdaftar dan tidak pernah mengundi (contoh Ahirudin Atan iaitu blogger Rocky Bru dan lain-lain). Dakwaan Pengerusi SPR bahawa Daftar Pemilih adalah bersih langsung tidak berwibawa!

b) Kenyataan-kenyataan bercanggah yang sesekali menyokong usaha-usaha reformasi pilihan raya dan sesekali mengatakan pilihan raya adalah bebas dan adil, hanya pembangkang yang kalah yang membuat komplain, sama sekali meletakkan peribadi ini mempunyai personaliti yang sukar untuk dipegang komitmen dan dipertikai kewibawaannya.

Bernama 8 Januari 2007 telah melaporkan bahawa beliau menuntut supaya kerajaan memberi ruang kepada SPR bahawa beliau menegaskan ‘undang-undang dan peraturan pilihan raya yang telah berusia 50 tahun ini tidak lagi sesuai digunakan dan tidak lagi memjamin keadilan terus wujud bagi semua’.

Beliau juga pada sesi itu menuntut antara lainnya ‘kuasa mengawal dan mencegah rasuah dan aktibiti membeli undi dalam musim pilihan raya, kuasa mengatur keadilan dan kebebasan melapor bagi semua pihak yang bertanding dalam media cetak dan elektronik, kuasa mengawal dan menghukum pihak yang menyalahgunakan kemudahan awam untuk berkempen’.

Jelasnya seperti dakwaan beberapa pihak pembangkang dan awam bahawa peribadi ini mempunyai ‘lidah bercabang’. Paling mutakhir beliau menyebutkan hanya ‘regim yang ada kini yang mampu mentadbir negara ini’.

Beliau juga memberitahu rakyat yang beliau tahu tarikh pilihan raya sementara Perdana Menteri sendiri belum tahu dan tidak memberi tahu kepada kabinet.

Peribadi ini jelas sudah tidak koheren dan konsisten untuk menjawat tugasan seorang Pengerusi yang sewajar menunjukan sikap ‘independen atau tidak memihaknya’. Kenyataan beliau tentang penghakiman Hakim Dato’ Muhammad Kamil tentang Likas sebagai ‘bias dan prajudis’ jelas menunjukkan kecenderungan beliau, sekali gus menghina Mahkamah.

c) Rakyat dan pengundi masih segar dalam ingatan tentang Pilihan raya Umum ke-11 sebagai yang dikatakan oleh pelbagai pihak termasuk ahli akademik dan penganalisis politik sebagai paling kotor dalam sejarah demokrasi tanah air. Pilihan Raya Umum ke-11 adalah di bawah kelolaan dan tanggungjawab Rashid.

Beliau berpeluang untuk memperbaikki prestasi dalam 3 pilihan raya kecil yang menyusul. Amat mendukacitakn bukan sahaja beliau terus menunjukkan keangkuhannya bahkan keadaan semakin lebih buruk seperti yang diketahui umum dalam pilihan raya kecil di Batu Talam, Machap dan Ijok.

Segala ucapan baik beliau dalam beberapa seminar tentang kebersihan pilihan raya, kini dilihat sebagai omong-omong kosong yang tidak terbukti dengan satu ‘political will’ untuk menjalankan penambahbaikan pilihan raya.

‘Padang yang sama-rata’ masih jauh dari realiti dan cita-cita untuk menyaksikan pilihan raya bebas, bersih dan adil akan menjadi lebih sulit dan sukar dengan peribadi yang kini cukup dipertikaikan dan disangsikan kewibawaannya untuk terus memimpin SPR.

Jangan sambung khidmat Rashid

Justeru kata Dr Dzulkifli, atas penghujahan ringkas yang Bersih kemukakan pihaknya memohon budi bicara dan kewajaran Perdana Menteri supaya tidak menyambung perkhidmatan Rashid.

“Meskipun laluan untuk beliau (Rashid) telah terbuka dengan kelulusan pindaan kontroversi yang dibuat Parlimen pada 11 Disember yang lalu.

“Apakah Perdana Menteri mahu mengisytiharkan atau mengesahkan bahawa negara ini sudah tidak punya peribadi yang memilikki kewibawaan dan personaliti yang tidak dipertikaikan atau ‘of impeccable integrity’, dengan izin?,” tegasnya.

Sementara itu dalam sidang media yang sama, Sivarasa juga mengulangi pendirian bahawa Berish tidak menolak kemungkinan mengadakan himpunan aman untuk membantah sekiranya khidmat Rashid dilanjutkan.

Beliau turut menyelar keangkuhan kerajaan menggunakan ISA dalam menyelesaikan isu berhubung tuntutan rakyat dan katanya tindakan itu hanyalah menunjukkan keterdesakan kerajaan.

Bersih sama sekali menolak penggunaan ISA sebaliknya mahu kerajaan mengadili mana-mana rakyat dengan menggunakan undang-undang yang sedia ada, katanya.