Wan Nordin Wan Yaacob
Wed | Dec 26, 07 | 6:37:04 am MYT
KUALA LUMPUR, 26 Dis (Hrkh) – Pakar undang-undang dan perlembagaan, Profesor Abdul Aziz Bari menegaskan kerajaan tidak boleh marah jika ada pihak yang menyifatkan kualiti demokrasi di negara ini sangat rendah.

Katanya, amalan demokrasi di negara lain membenarkan perhimpunan aman dan kebebasan bersuara, berpersatuan di kalangan masyarakat sivilnya.

Tetapi di Malaysia, ia sebaliknya kerana kerajaan menutup ruang berhimpun dengan menggunakan Akta Polis sebagai penghalang kepada hak yang sebenarnya terjamin dalam perlembagaan, katanya semasa ditemuramah Harakah baru-baru ini.

“Sepatutnya perhimpunan aman seperti anjuran Bersih tidak diganggu oleh polis dan rekod gangguan ini sebenarnya telah lama berlaku; termasuk ketika mahasiswa mengadakan demonstrasi di ibu negara pada Disember 1974 dahulu.

“Hak mengadakan himpunan aman itu adalah hak yang dijamin dalam negara demokrasi. Ia bukan hak yang diberi atas dasar belas ihsan oleh pemerintah.

“Sama ada isu atau rungutan itu wajar atau sebaliknya adalah soal lain dan pihak polis bukan pihak yang sepatutnya diberi tanggung jawab untuk menangani perhimpunan aman itu,” tegasnya yang juga Pensyarah Kuliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim UIAM.

Menurut Aziz, hak berhimpun terjamin dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan dan ini menunjukkan bahawa hak ini bukan ihsan pihak berkuasa kerana ia adalah hak yang penting yang dijamin oleh perlembagaan. – mks.