Peguam lima orang pemimpin Hindraf (Hindu Right Action Force) yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) mahu mahkamah membenarkan tahanan terbabit hadir ketika mahkamah mendengar permohonan kes habeas corpus mereka.

Perbicaraan yang ditetapkan hari ini di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur bagaimanapun, telah ditangguhkan kepada 24 hingga 28 Januari depan.

Hakim mahkamah Tinggi, Datuk Zainal Azman telah menangguhkan perbicaraan tersebut selepas pihak pendakwa, yang diketuai oleh Timbalan Pendakwaraya kanan, Kamaludin Md Said dan Abdul Wahab Mohd berkata, mereka memerlukan lebih masa untuk membuat persediaan untuk mengendalikan kes tersebut.

“Kita memerlukan sekurang-kurang tiga minggu untuk memfailkan 40 afidavit dan untuk membuat persediaan mengendalikan kes kita,” kata Kamaludin.

Sebelum ini, pihak peguambela telah memfailkan permohonan perbicaraan habeas corpus minggu lalu dalam usaha untuk membebaskan tahanan-tahanan ISA berkenaan.

Habeas corpus adalah permohonan supaya tahanan dibawa ke mahkamah bagi menentukan sama ada terdapat kecacatan prosedur yang mengakibatkan tahanan mereka tidak sah.

Peguam Gobind Singh Deo (kanan) bersama bapanya, Pengeusi DAP, Karpal Singh – yang mengetuai sepasukan 12 peguam – berhujah bahawa adalah mustahak bagi tahanan-tahanan berkenaan hadir ketika perbicaraan untuk mencabar afidavit-afidavit berkenaan dijalankan.

“Ia lebih selesa bagi peguambela jika anak guam mereka hadir ketika perbicaraan dijalankan kerana ia amat membantu kita menyoalsiasat afidavit tersebut,” kata Gobind.

Katanya, ia juga akan memudahkan pihak peguam berkomunikasi dengan anak guam mereka – yang kini ditahan di Kamunting, Perak – kira-kira dua jam perjalanan dari Kuala Lumpur – jika mereka hadir di mahkamah.

Tambahan pula, menurut peguambela, di bawah Seksyen 17 dan 18 ISA, Peguam Negara (boleh menggunakan budibicaranya untuk membawa tahanan ke mahkamah sewaktu perbicaraan dijalankan.

Tetapi pihak pendakwa bagaimanapun berhujah bahawa Peguam Negara mesti terlebih dahulu mendapat kebenaran daripada Menteri Keselamatan Dalam Negeri – yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi – sebelum beliau boleh membenarkan lima tahanan dari Pusat Tahanan Kamunting itu dibawa ke mahkamah.

Hakim Zainal Azman kemudiannya mengarahkan pihak pendakwa supaya berbincang dengan Peguam Negara sama ada mereka mempunyai sebarang masalah jika tahanan terbabit dibawa ke mahkamah.

Gobind – ketika ditemui selepas itu – berkata mereka akan menulis surat kepada Pejabat Neguam Negara dan Kementerian Keselamatan Dalam Negeri berhubung perkara tersebut.

Lima tahanan terbabit ialah para peguam Hindraf – P Uthayakumar, 46, M Manoharan, 46, R Kengadharan, 40, V Ganabatirau, 34 – serta bekas pegawai bank, K Vasantha Kumar, 34.

Lim: Bawa PM ke mahkamah

Sementara itu, Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang, yang turut hadir di mahkamah hari ini, berkata Perdana Menteri seharusnya dipanggil untuk memberi keterangan di mahkamah.

“Beliau ada orang yang mempunyai kuasa untuk mengarahkan penahanan lima pemimpin Hindraf tersebut. Jadi beliau harus datang ke mahkamah untuk memberi keterangan mengapa beliau merestui penggunaan ISA.

“Jika Abdullah tidak boleh memberi sebarang bukti mengapa beliau membenarkan penggunaan ISA terhadap lima pemimpin (Hindrat) itu, maka mereka seharusnya dibebaskan segera dan tanpa syarakat,” kata tokoh politik veteran tersebut.

Di bawah ISA, hanya Menteri Keselamatan Dalam Negeri yang boleh mengarahkan penggunaan ISA untuk menahan suspek yang mengancam keselamatan negara.

Kelima mereka ditahan kerana didakwa membuat kenyataan berunsur hasutan dalam beberapa aktiviti anjuran Hindraf serta dakwaan mereka ada kaitan dengan Barisan Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), iaitu puak pejuang pemisah di Sri Lanka yang diisytiharkan oleh Barat sebagai pertubuhan pengganas.

Kira-kira 50 anggota keluarga dan penyokong Hindraf hadir di mahkamah pagi ini.

Tunang Uthayakumar, Indra Devi, terlalu sebak untuk memberi komen ketika ditemui Malaysiakini.

“Bukan sekarang…,” kata beliau yang berlinangan mata.