Timbalan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang Jason Ong mencabar pemangku Presiden Gerakan, Dr Koh Tsu Koon supaya membawa Gerakan keluar daripada Barisan Nasional (BN) bagi membuktikan parti itu masih berprinsip dan berorientasikan rakyat.

Jason berkata, dia sanggup memberi laluan dan sokongan sepenuhnya kepada Dr Koh dengan mengerahkan semua jentera di bawah pimpinannya membantu Gerakan menumpaskan Umno sekiranya Koh berani berbuat demikian.

“Gerakan pada asalnya adalah sebuah parti pembangkang dan kini tiba masanya ia menunjukkan taring sebenarnya jika ia masih ada,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Pemuda Umno, Datuk Hishamuddin Hussein yang mengugut untuk memutuskan hubungan dengan Gerakan sekiranya gagal memberi penjelasan memuaskan berhubung kenyataan Naib Ketua Pemuda parti itu, S Paranjothy, yang menuduh Umno mengapi-apikan sentimen perkauman di kalangan masyarakat Melayu.

Jason berkata, ini merupakan kali kedua Umno mengugut anggota pakatannya keluar dari BN secara terbuka dalam setahun.

“Naib Presiden Umno, Datuk Mohd Ali Rustam ketika berucap merasmikan perhimpunan tahunan PPP Melaka, pernah berulangkali menegaskan bahawa PPP boleh keluar dari BN jika parti itu tidak puas hati,” katanya.

Di bawah telunjuk Umno

Menurut Jason lagi, Umno pada hakikatnya tidak memerlukan Gerakan ataupun MCA, apalagi PPP, kerana perbezaan kekuatan politik yang ketara di antara mereka, terutamanya Umno yang menguasai 110 kerusi Parlimen atau melebihi 50 peratus daripada jumlah keseluruhannya.

“Itulah sebabnya Umno bersikap angkuh dan sombong sehingga sanggup memalukan parti-parti berkenaan secara terbuka. Mereka akan terus dihina selagi bersepakat dengan Umno dan kepentingan rakyat terus digadai,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha PKR Pulau Pinang, Abdul Malik Kassim pula berpendapat bahawa kelemahan parti Gerakan dan parti-parti komponen lain dalam BN membuktikan Kerajaan Pulau Pinang akan terus diperdayakan dan berada di bawah telunjuk Umno.

Katanya, kerajaan Pulau Pinang di bawah pimpinan Gerakan pula, dengan kelemahan Dr Koh sebagai Ketua Menteri, akan terus diperkudakan oleh UMNO untuk mengaut keuntungan dengan memberikan kontrak-kontrak kepada kroni-kroni mereka seperti projek pelebaran Jambatan Pulau Pinang, projek Jambatan Pulau Pinang Kedua, Projek PGCC (Penang Global City Centre), BORR dan PORR serta lain-lain projek yang sudah dan bakal dilaksanakan.

Sementara itu, Pengerusi Parti Keadilan Rakyat Pulau Pinang Dato’ Zahrain Mohemed Hassim berkata ugutan Hishammuddin terhadap Gerakan itu merupakan keangkuhan tipikal Umno, terutamanya Pemuda Umno yang tidak boleh menerima kritikan atau teguran orang lain yang mendedahkan kelemahan mereka, biarpun perkara yang dibangkitkan itu benar dan berasas.

Katanya, Paranjothy mungkin dikenakan tindakan disiplin ekoran daripada desakan Pemuda Umno dan beliau hampa dengan pimpinan Dr Koh yang menurutnya lemah dan sering tunduk kepada ugutan Umno, khususnya Pemuda Umno.

Isu perkauman

“Umno sanggup memutuskan hubungan dengan Gerakan hanya kerana dikritik oleh seorang pemimpin pemuda yang berani mengetengahkan kebenaran, tetapi tidak mempunyai sedikit hasrat pun untuk memahami rintihan dan kepayahan rakyat.

“Kenyataan Dr Koh yang menyatakan bahawa Paranjothy akan dikenakan tindakan disiplin termasuk dipecat atau digantung keahliannya, membuktikan Gerakan sebuah parti yang lemah dan cuma mengutamakan kedudukan serta kepentingan politik pemimpin tertentu sahaja dan bukan memperjuangkan hak rakyat.

“Dr Koh dan Gerakan tidak dapat mempertahankan pemimpinnya sendiri daripada ugutan ahli pakatan yang angkuh itu, apatah lagi membela nasib rakyat jelata,” katanya, sambil mendakwa, Pemuda Umno asyik mempergunakan isu perkauman bagi meningkatkan popularitinya serta memancing undi.

“Kami menghormati pendirian saudara Paranjothy yang berani menyuarakan kebenaran dan sekurang-kurangnya menjadi seorang pemimpin yang berpinsip dalam Barisan Nasional,” katanya.

Zahrain juga menegaskan pendirian PKR Pulau Pinang bahawa isu perkauman tidak harus dipermainkan untuk mendapat undi dan sokongan rakyat kerana ia akan menjejaskan kepentingan negara.

“Walaupun isu Paranjothy merupakan permasalahan dalaman BN, tetapi kerana ia telah membabitkan sentimen perkauman, maka PKR yang mewakili kepentingan semua kaum berkewajipan menyatakan pendirian parti dengan jelas,” katanya.