Wan Nordin & Intan Abdullah
Wed | Dec 26, 07 | 6:39:19 am MYT
KUALA LUMPUR, 26 Dis (Hrkh) – Pertemuan dengan Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi yang dihasratkan pelbagai NGO dan pembangkang dalam satu pengumuman pada 12 Disember lalu masih tidak dijawab sehingga kini.

Meskipun menyatakan bahawa beliau bersedia mendengar keluhan rakyat, namun permintaan rakyat yang dinyatakan mantan Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim kepada Perdana Menteri masih tidak berjawab.

Mengulas isu itu, Ketua Pengarah Jabatan Pilihanraya PAS Pusat, Dato’ Mustafa Ali masih menaruh harapan agar Perdana Menteri dapat berjumpa dengan parti pembangkang dan NGO bagi mendapatkan penjelasan mengenai beberapa isu.

“Kita masih memberikan masa kepada PM untuk mempertimbangkan permintaan kita untuk mengadakan pertemuan tersebut,” katanya ketika dihubungi Harakah baru-baru ini.

Sungguhpun sebelum ini PM tidak pernah memberikan jawapan ini tidak bermakna pembangkang dan NGO akan berputus asa.

“Walaupun yang lepas-lepas, kita tidak pernah dapat berjumpa beliau, tak tahulah pula bagaimana reaksi beliau pada kali ini memandangkan banyak pihak turut serta bersama menerusi satu pakatan,” jelasnya.

Setakat ini, pihak JPM masih belum memberikan sebarang jawapan, termasuk memaklumkan tarikh temu janji tersebut. – mks.