Wan Nordin Wan Yaacob
Wed | Dec 26, 07 | 6:43:16 am MYT
KUALA LUMPUR, 26 Dis (Hrkh) – Bekas Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim menggesa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja bagi menyiasat skandal penyelewengan dalam pelaksanaan projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Anwar mahu Badan Pencegah Rasuah (BPR) menyiasat skandal ini yang dianggapnya sebagai satu skandal penggunaan wang rakyat yang besar.

Dalam satu kenyataan medianya, Anwar mendakwa bahawa bekas Menteri Pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sik dan Menteri Pengangkutan, Dato’Seri Chan Kong Choy mengeluarkan surat sokongan sehingga menyebabkan kerajaan terpaksa menyelamatkan Lembaga Pelabuhan Klang (LPK).

Katanya, surat tersebut ditulis Ling pada 28 Mei 2003 (pada hari Ling meletak jawatan) sementara Chan pula menulis tiga surat masing-masing pada 23 April 2004, 8 Disember 2005 dan 23 Mei 2006.

Kesemua surat itu antara lain berbentuk sokongan memberikan komitmen kerajaan sebagai penjamin untuk apa-apa liabiliti LPK untuk PKFZ, kata Anwar baru-baru ini.

Kata Anwar, ia merupakan jaminan kerajaan kerana surat itu mengandungi perkataan yang bermaksud “kami akan pada setiap masa di masa hadapan memastikan LPK berada di dalam kedudukan untuk memenuhi liabiliti mereka di dalam jumlah pembayaran semula selagi mana jumlah pembayaran semula masih lagi tidak dilangsaikan…”

Liong Sik dan KOng Choy didakwa menulis surat sokongan supaya kerajaan mengambilalih syarikat Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) yang merupakan kontraktor kepada PKFZ .

Manakala empat anak syarikat ialah Special Port Vehicle Bhd, Transshipment Megahub Bhd, Valid Ventures Bhd dan Free Zone Capital Bhd.

Berdasarkan jaminan tersebut, syarikat-syarikat berkenaan, mengeluarkan bon bernilai RM4.6 bilion untuk Kuala Dimensi dan menerima rating AAA dari Malaysia Rating Corporation Bhd bagi projek PKFZ, katanya.

Anwar berkata, menurut dasar kerajaan, hanya Menteri Kewangan atau kabinet yang boleh mengeluarkan apa-apa bentuk jaminan bagi pihak kerajaan.

“Ketika saya menjadi Menteri Kewangan, perkara sebegini tidak pernah dibenarkan berlaku,” katanya. – mks.