Tempoh ikatjamin ke atas 17 aktivis Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) yang ditahan kerana melanggar perintah larangan berhimpun di bangunan Parlimen pada 11 Disember lalu, telah dilanjutkan lagi.

Salah seorang peguam mereka, Latheefa Koya, memberitahu Malaysiakini bahawa pihak polis tidak mengenakan sebarang tuduhan terhadap 17 anggota Bersih tersebut dan tempoh ikatjamin mereka telah dilanjutkan sehingga 2 Januari 2008.

“Salah seorang pegawai penyiasat memberitahu peguam kita, Amer Hamzah, mengenai lanjutan tempoh (ikatjamin itu),” kata Latheefa.

Ini adalah kali kedua tempoh ikatjamin mereka dilanjutkan – kali pertama dilanjutkan pada 18 Disember lalu yang berakhir hari ini,” katanya.

Latheefa berkata, pihak polis mungkin memerlukan lebih masa untuk menjalankan siasatan.

Tujuh belas aktivis Bersih tersebut termasuk beberapa pemimpin pembangkang – Ketua Penerangan PKR, Tian Chua (kanan); Bendahari PAS, Dr Hatta Ramli; Ketua Muslimat PAS, Nuridah Mohd Salleh: ahli jawatankuasa pusat PAS, Dr Lo’Lo’ Ghazali; Pengerusi penaja Parti Socialist Malaysia (PSM), Dr Nasir Hashim; Setiausaha Agung penaja PSM, S Arutchelvan serta ahli jawatankuasa pusatnya, S Sivarajan.

Pada 11 Disember lalu, seramai 26 anggota Bersih telah ditahan dalam kawasan Parlimen ketika cuba menyerahkan memorandum membantah penyambungan tempoh persaraan pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) melalui satu pindaan perlembagaan.

Sembilan daripada mereka dibebaskan tanpa syarat pada hari yang sama manakala baki 17 orang lagi dibebaskan dengan jaminan polis pada kira-kira jam 10 pagi hari yang sama.

Perintah larangan

Polis Sentul telah mendapatkan perintah mahkamah untuk melarang individu dan pihak-pihak yang berkenaan daripada menyertai satu perhimpunan untuk menyerahkan memorandum tersebut. Bagaimanapun, tiada perhimpunan yang diadakan.

Antara individu tersebut ialah pemimpin PAS – Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi, Mohamad Sabu dan Adenaan Saad serta Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Syed Shahir Syed Mohamud.

Polis menutup semua jalan masuk ke Parlimen dan mengadakan sekatan jalanraya di sekitar Kuala Lumpur sehingga mengakibatkan berlaku kesesakan lalulintas yang teruk. Trak dan anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) serta anggota anggota polis biasa ditempatkan di sepanjang Jalan Parlimen.