SEREMBAN: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun dilaporkan tidak pulang ke rumahnya di rumah pekerja Ladang Ulu Sawah, Rantau, dekat sini sejak Khamis lepas.

Bapa kanak-kanak itu, Che Ishak Che Kob, 47, ketika ditemui di rumahnya hari ini berkata anak kedua daripada tujuh adik beradik itu, Che Siti Nur Azreen keluar rumah pada kira-kira pukul 9 pagi pada hari tersebut untuk pergi ke rumah seorang kawannya di Taman Sri Rama, Kuala Sawah namun pada lewat petang dia tidak pulang ke rumah.

“Bimbang sesuatu terjadi padanya, saya pergi ke rumah kawannya itu tetapi dia tiada di situ. Puas saya dan isteri mencarinya di rumah jiran dan rakannya yang lain yang tinggal berhampiran tetapi dia tiada,” katanya kepada Bernama.

Che Ishak, seorang pekerja ladang di situ berkata semasa keluar rumah, anaknya itu memakai seluar jean biru, baju blaus merah kuning dan bertudung.

“Setahu saya, kami sekeluarga tiada berselisih faham dengannya,” katanya.

Beliau berkata, beliau telah membuat laporan di Balai Polis Kuala Sawah pada kira-kira pukul 8.35 pagi keesokannya mengenai kehilangan anaknya itu yang mempunyai ketinggian 150cm, berbadan kurus dan berkulit cerah.

Sementara itu, ibu kanak-kanak itu, Siti Hawa Jusoh, 34, merayu mana-mana pihak yang tahu di mana Che Siti Nur Azreen berada supaya segera menghubungi keluarganya.

Orang ramai boleh menghubunginya di talian 012 673 0924.