Kita hidup antara 2 hari iaitu semalam dan esok. : Maksud dari hadis Nabi SAW

Atau,

Umur kita adalah 2 hari iaitu semalam dan hari ini. : Maksud dari lain hadis Nabi SAW.

Dari kedua-dua hadis ini dapat lah kiranya untuk aku nyatakan di sini bahawa persoalan tahun lepas dan tahun baru (khusunya Tahun Baru Masihiah) bukanlah sesuatu yang besar, yang perlu diraikan sebegitu meriah dengan mengabaikan persoalan akhlak dan budaya.

Persoalan yang lebih besar dan yang perlu dipandang ialah mengenai hayat kita, iaitu apa yang telah kita buat sebagai bekalan hidup kemudian har. Kerana secara logiknya ialah umur kita hanyalah 2 hari sahaja. Suatu tempoh yang sangat singkat dan pula kita tidak tahu bila datangny ajal kita. Sebab kita hidup hanya pada hari semalam dan hari ini. Hari esok bukan dalam jaminan kita.

Jadi untuk memecahkan kefahaman lama yang mentradisi dalam masyarakat kita hari ini, perlulah kita fahami akan kedua-dua pengajaran dari hadis di atas. Bila kita faham akan kehendak agama di dalam persoalan umur ini maka dengan sendiri kita tidak akan terpengaruh dengan dakyah-dakyah musuh-musuh agama untuk melalaikan kita.

Baru sahaja semalam, di kebanyakan kota di dunia termasuk di Kuala Lumpur telah diadakan pelbagai pesta hiburan sebagai menyambut tahun baru. Padahal tahun baru itu hanyalah perjalanan masa yang juga berlaku setiap hari seperti kebiasaannya.

Tidak ada yang istimewa sangat padanya hanya kerana ia berubah nombor pada tarikhnya. Seolah-olah bila disebut atau diumumkan tahun baru, segala perkara yang telah berlaku dilupakan sebegitu sahaja. Inilah hebatnya serangan pemikiran musuh-musuh agama dan mereka ternyata berjaya melalaikan sebilangan besar dari kita.

Inilah yang aku alami dan aku saksikan sendiri pada malam tadi. Secara relatifnya, manusia diluar Masjid Asy-Syakirin KLCC semalam lebih ramai berbanding dengan manusia yang berada di KLCC. Itu belum lagi dicampur dengan kumpulan mereka di sekitar Exxon Mobil, Dataran Merdeka, Taman Tasik Titiwangsa dan banyak lagi yang tak mahu aku sebutkan.

Ternyata pada malam tadi terdapat beberapa perkara ‘baru’ yang berlaku. Jika tahun sebelumnya acara menyambut tahun baru ‘hanya’ diramaikan oleh pakwe-makwe. Tetapi tahun ini aku dapat menyaksikan ‘keluarga’ juga tidak kalah dari segi sokongan dan keterlibatan. Apa yang meresahkan ialah, seolah-olah acara menyambut tahun baru dengan cara berpeleseran dan lepak-lepak sudah mula boleh diterima umum. Bahkan aksi-aksi kurang senonoh pakwe-makwe kelihatan lebih berani dan terbuka. Bayangkanlah hal ini sudah boleh dipertontokan kepada anak-anak yang datang bersama ibu-bapa mereka dan ibu bapa mereka bukan lagi tidak menegur perbuatan anak bangsa mereka bahkan ‘rela’ disaksikan oleh anak-anak sendiri.

Mungkin ini adalah kesan dari tindakan kerajaan menjadikan Sambutan Tahun Baru sebagai acara pelancongan yang penting dengan mempromosikannya, mengadakan konsert-konsert lewat malam dan membenarkan disko-disko menjalankan operasi mereka secara lebih masa dan lebih terbuka kepada umum.

Polis-polis yang dikerahkan untuk mengawal keselamatan hanyalah bertindak sebagai pengawal keselamatan dan penjaga lalu lintas. Tidak pula diarahkan untuk menjadi ‘polis moral’. Peranan jabatan-jabatan kerajaan yang berkaitan tidak kelihatan. Yang ada ialah usaha yang sangat minima dari pihak-pihak yang mempunyai kesedaran tapi tidak punya kuasa dalam menguatkuasakan undang-undang Allah. Bahkan mereka-mereka inilah pula yang diperhatikan dan silap-silap masa boleh ditangkap dan dilokapkan.

Antara perkara lain yang dapat diperhatikan juga ialah sikap dan pendirian kerajaan di dalam hal ini adalah bermusim dan lebih kepada bersikap oportunis. Yang pernah berlaku pada sambutan Tahun 2005, telah dihentikan sambutannya ekoran kejadian Tsunami yang sangat dahsyat sehingga Malaysia yang selama ini selamat dari bencana gempa juga terkena biasnya. Sambutan Tahun 2006 pula telah dirancang awal dan kerajaan juga tidak menidakkan kemungkinan untuk membatalkan sekiranya berlaku perkara atau kejadian buruk yang lain. Ternyata tiada sebarang perkara buruk berlaku maka segala perancangan yang dibuat telah dijalankan. Bahkan Menteri Pelanconga kita telah berjaya menganjurkan konsert sampai pagi di atasa tiket kerajaan Malaysia. Bertujuan untuk menggalakkan pelancong asing datang ke Malaysia dengan memilih negara kita sebagai destinasi menyambut tahun baru. Melengkapkan kronologi hajat beliau untuk mewujudkan disko yang boleh beroperasi 24 jam.

Dan tahun ini, acara seperti itu sudah menjadi budaya kepada masyarakat Malaysia. Tinjaulah setiap trip bas dan pengangkutan asas yang lain dan anda akan dapati setiap tiket habis dijual. Mereka yang datang ke KL datangnya dari semua ceruk negara dan setiap pelosok daerah. Pendatang-pendatang juga ‘boleh’ menyambutnya dengan gembira dan bebas. Tidak seperti biasa yang mereka ini yang tidak gemar untuk berkumpul secara ramai dan terbuka.

Semalam adalah indikator yang jelas untuk mengukur gejala sosial, keruntuhan akhlak dan kehancuran bangsa yang selama ini berlaku secara terancang oleh mereka yang bertuhankan nafsu. Mereka bertuhankan nafsu dan mahu kita juga sama seperti mereka dengan niat untuk memanjangakn tempoh kekuasaan mereka. “Selamtakan Malaysia” , “Tahun 2008 Tahun Tukar Kerajaan.”