Pengakuan Dr. Chua Soi Lek berhubung skandal video seksnya bukan beerti kes ini harus ditutup begitu sahaja. Tuntutan beliau agar siasatan dibuat terhadap mereka yang merancang rakaman dan penyebaran video berkenaan haruslah diambil serius oleh pihak Polis. Ternyata apa yang berlaku ini bukanlah suatu perkara yang kebetulan. Ianya telah dirancang dengan rapi dan 3 kamera telah disediakan dibilik hotel yang beliau gunakan.

Musuh-musuh politik beliau dalam MCA atau BN sendiri berkemungkinan besar menjadi dalang utam dalam konspirasi ini. Kedudukan beliau sebagai Menteri Kesihatan yang menggantikan Dr. Chua Jui Meng begitu hangat dipersoalkan selama ini. Tidak cukup dengan itu, MCA juga punyai musuh tradisi yang terdiri dari kalangan komponen BN sendiri dan orang nombor 2 dalam MCA ini menjadi sasaran pertama untuk konspirasi terancang ini.

Oleh itu terpulanglah kepada pihak Polis untuk menyelesaikan kes ini sebelum ianya berpanjangan.

Dalam pada itu Pemuda PAS Wilayah melihat bahawa isu ini bukan sekadar soal konspirasi politik, tetapi ia juga melibatkan soal intergriti dan etika beliau sebagai seorang wakil rakyat bertaraf menteri kanan. Walaupun beliau bukanlah seorang muslim, namun apa yang dilakukannya, iaitu melakukan hubungan seks rambang dengan wanita selain isteri beliau adalah diluar dari budaya kita rakyat Malaysia dan kaum cina sendiri. Budaya menyimpan gundik atau wanita simpanan tidak wajar dilakukan lagi pada zaman moden ini. Menteri ini sudah cukup kaya jika mahu berkahwin lagi, jadi tiada sebab untuk beliau melakukan perkara-perkara yang melanggari etika dan budaya rakyat negara ini.

Jika di Amerika, Bill Clinton meletak jawatan kerana pendedahan skandal seks beliau, di Indonesia juga sama. Ahli DPR Indonesia, Yahya Zaini juga meletak jawatan selepas video skandal seksnya tersebar diinternet.

Perdana Menteri Malaysia yang keempat, Mahathir pula telah memecat timbalannya, Anwar Ibrahim atas alasan melakukan seks luar tabii walau pun ia hanyalah sekadar suatu pembohongan semata.

Jadi dalam kes ini Chua wajib meletak jawatan bagi menjaga nama baik negara dan juga organisasi yang dipimpinnya. Jika beliau enggan meletak jawatan, maka adalah wajib bagi Perdana Menteri, Abdullah Badawi memecatnya.

PemudaWilayah juga bersetuju dengan pandangan Prof. Khoo Kay Kim yang menyarankan agar Chua meletakkan jawatan kerana telah melakukan sesuatu perkara yang amat memalukan negara dan melanggari tatasusila masyarakat dinegara ini.

Oleh itu, sudah tiba masanya untuk beliau berfikir untuk kepentingan semua dan mengundurkan diri secara terhormat sebelum rakyat turun ke jalan raya untuk mendesak beliau berundur secara terhina. Soal ianya konspirasi atau tidak, itu adalah soal peribadi beliau. Yang nyata kini, beliau sendiri telah mengakui kecurangan beliau kepada isteri, keluarga, penyokong dan 27 juta rakyat negara ini dan permohonan maaf beliau akan dilihat lebih ikhlas jika beliau segera berundur dari Kerajaan.

Kamaruzaman Mohamad
Ketua
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan