PUTRAJAYA, 15 (Hrkh) – Pengakuan terbuka, Loh Mui Fah, 58 yang menjadi saksi penting kes pita rakaman perbualan antara peguam kanan dengan seorang yang disyaki bekas Ketua Hakim Negara mengesahkan kesahihan klip video VK Linggam membuka episod “gelap” kepada nama-nama yang disebut dalam klip video misteri itu.

Tentulah Ahli Parlimen Putrajaya, Tengku Adnan Tengku Mansor menerima “tempias” dari bahang panas siasatan Suruhanjaya Diraja yang sedang berjalan sekarang ini.

 Menteri Kebudayaan dan Perlancongan itu antara yang disebut namanya dalam konspirasi mencatur kedudukan Ketua Hakim Negara pada tahun 2001 lalu hingga menimbulkan kini “krisis kepercayaan” terhadap isistem perundangan negara yang amat memalukan.

Menurut sumber, posisi terancam Tengku Adnan itu dijadikan alasan untuk menantu Perdana Menteri, Khairy Jamaluddin “beralih angin” untuk bertanding di kerusi selamat bagi BN dalam pilihan raya terdekat ini.

Yang Dipertua PAS Putrajaya, Ustaz Mohd Nazir Zakaria tidak menolak kemungkinan Khairy bertanding di kawasan ini.

Katanya, terdapat desas-desus memperkatakan soal “penyingkiran” atau “mencantas” Tengku Adnan berikutan Ahli Parlimen Putrajaya itu yang kini menghadapi masalah kemungkinan besar disabit kesalahan dalam isu klip video VK Linggam yang mengaibkan negara.

Berdasarkan perkembangan semasa, Mohd Nazir percaya Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia itu sedang bersiap siaga menjadi calon BN di Putrajaya.

“Saya yakin, tempat ini selamat bagi dia. Dia mahu cepat naik jadi menteri. Sekaranglah masanya dia bertanding ketika mertuanya masih jadi PM.

“Rasanya, dia tiada halangan di sini. Takkan Tengku Adnan tak tahu nilai diri bila dia dikaitkan dengan konspirasi hakim,” tegas beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan ketika dihubungi.

Dalam pilihan raya umum lalu, Tengku Adnan ditentang oleh calon KeADILan. Dalam pilihan raya kali ini, PAS dijangka akan meletakkan calonnya menentang sesiapa sahaja calon BN.