Entri pilihan dari laman Tranungkite.net


Tengku AdnanKhairy Jamaluddin kini disebut-sebut akan bertanding di Parlimen Putrajaya dalam pilihan raya tidak lama lagi.

Putrajaya dianggap pilihan tepat bagi penyokong kuat Khairy, yang begitu rakus dan agresif muktahir ini; untuk melihat anak muda dari Negeri Sembilan itu berdiri sebaris dalam kabinet mertuanya, anak Badawi selepas pilihan raya ke 12 nanti.

Desas-desus ini bertiup kencang setelah Siasatan Diraja menyiasat Klip Video VK Linggam menemui bukti kukuh untuk menyeret salah seorang dari ramai individu yang disebut oleh Linggam dalam perbualan telefon yang dirakam itu.

Pendedahan berani saksi penting beberapa hari lalu, Loh Mui Fah, 58 yang mengesahkan klip video tulen itu dan sekaligus menyerlahkan indentitinya kepada umum, telah menamatkan satu fasa siasatan oleh Suruhanjaya Diraja itu.

Siapakah orang yang dimaksudkan terlibat? Dia ialah Ahli Parlimen Putrajaya sekarang, Tengku Adnan Tengku Mansor yang juga seorang menteri yang menjagai pelancong dan kepentingan pelancong di negara ini.

Nama Tengku Adnan telah disebut dalam perbualan itu sebagai antara individu yang terlibat dalam percaturan konspirasi hakim pada tahun 2001.

Isu ini tentunya telah merosakkan banyak imej Tengku Adnan dan meletakkan dia dalam keadaan gawat dan pitam.

Tengku Adnan adalah orang kuat Tun Mahathir, ketika Tun berkuasa dahulu. Tetapi, anak Badawi telah memberi peluang kepada beliau untuk bertenggung sebaris dalam kabinetnya setelah menang dalam pilihan raya di Putrajaya.

Agak mudah Khairy memutarkan imej Tengku Adnan, jika tiada tempat yang lebih senang diruntuhkan temboknya untuk Naib Ketua Pemuda Umno ini ditabalkan menjadi calon BN dalam pilihan raya esok lusa.

Tengku Adnan kini sudah dilihat tidak bersih, comot dan campang-camping baju seluar politiknya di mata Khairy.

Tidaklah sesusah mana, untuk Khairy mengoyak dan “membogelkan” Tengku Adnan setelah pisau kini berada ditangannya.

Apakah Tengku Adnan akan membuka silat, bertarung dan menerajang Khairy, jika Khairy disanggah dari meletakkan dirinya sebagai calon BN di Putrajaya?

Anak Badawi, rasanya tidak akan mengizinkan ini terjadi. Dan sudah tentulah “penguasa” tingkat tiga di Jabatan Perdana Menteri ini, dengan mudah menelan Tengku Adnan ke dalam tekaknya.

Perlantikan Tengku Adnan hanyalah ehsan anak Badawi, bagi mengimbangkan antara orang Tun Mahathir dengan orang-orangnya dalam barisan kabinet yang dibentuk selepas mendapat azimat seorang PM.

Pemerhati politik berpendapat, keperluan Khairy untuk bertanding begitu terdesak sekali ekoran prestasi buruk mertuanya, anak Badawi dalam mengemudikan Umno dan menyelenggarakan pentadbiran negara.

Kritikan Tun Mahathir yang keras terhadap anak Badawi beberapa hari lalu serta ulangan “nada kesalnya” (Tun Mahathir) melantik anak Badawi ini sebagai Perdana Menteri, amat menggusarkan Khairy yang baru mula nak bertatih dalam gobok politik Malaysia.

Kajian Merdeka Centre yang mendapati robohnya sokongan rakyat terhadap anak Badawi ini, makin menyulitkan kedudukan Khairy jika dalam pilihan raya kali ini dia masih menjadi penonton dan beruk mat yeh yang hanya sekadar berkempen membantu calon-calon terpilih BN.

Usia pemerintahan anak Badawi makin terungkap pendek yang sarat dengan prestasi buruk dan buruk yang ditonjolkannya. Realiti ini, tidak dapat disembunyikan oleh sesiapapun.

Hatta Media Prima kuasaan Khairy yang cuba menjulang anak Badawi sebagai pemimpin ajaib dan luar biasa pada masa kini. Kelemahan dan kepincangan mertuanya itu, terus jadi bualan dari kedai kopi hingga ke KLCC.

Tukang ampu dan tukang kipas dalam media itu terpaksa bekerja keras siang malam bagi mempastikan anak Badawi dilihat tidak tidur, berkuap dan kuyu matanya.

Maka sudah tentu, atas kepentingan bersama, Khairy perlu ditarik segera mencangkung dalam kabinet anak Badawi ini.

Tujuannya satu atau dua. Untuk memantapkan kabinet mertuanya dan mengukuhkan taji politiknya sebelum ianya tumpul dan tokak.

Putrajaya, semestinya menjadi pangkalan utama untuk Khairy menerjah masuk ke dalam gelanggang politik sebenar di saat mertuanya berkuasa.

Ramai penganalisa politik menelah, andainya anak Badawi tersungkur dibentis oleh Najib, timbalannya kini dari dalam atau ditalqinkan oleh pakatan pembangkang dari luar, posisi Khairy selepas itu pastinya menjadi kupang tembaga.

Sebelum igauan buruk itu menjadi realiti, dan Tengku Adnan dilihat tidak bersih lagi, maka sudah tentulah kesempatan yang ada direbut oleh Khairy yang memang bermastautin di Putrajaya untuk menjadi wakil rakyat wilayah itu dalam pilihan raya tidak lama lagi ini.


MAKLUMAN.PAS PUTRAJAYA SEDANG MEMPERKEMASKAN GERAK KERJA KE ARAH MENGAHADAPI PILIHANRAYA UMUM TIDAK LAMA LAGI. SEHUBUNGAN DENGAN KAMI INGIN MEMOHON SUMBANGAN DANA PILIHANRAYA DARIPADA PIHAK DATO’/TUAN/PUAN SUPAYA GERAK KERJA PILIHANRAYA DAPAT BERJALAN DENGAN LANCAR. SUMBANGAN DATO’/TUAN/PUAN ITU BOLEH DISALURKAN KEPADA AKAUN  BIMB PAS KAWASAN PUTRAJAYA; 16018010009961.

SEGALA KERJASAMA DAN SUMBANGAN YANG DIBERIKAN OLEH DATO’/TUAN/PUAN AMATLAH KAMI HARGAI. SEMOGA SEGALA USAHA BAIK KITA INI DITERIMA DAN DIKIRA SEBAGAI AMAL YANG MENDAPAT TEMPAT DI SISI ALLAH SWT.