oleh Salahudin Ayub                                

                                             Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) menyokong penuh hasrat kerajaan untuk mewujudkan Universiti Apex di negara ini sebagai satu langkah untuk meningkatkan kualiti pendidikan negara. DPP Pusat percaya jika ia dapat dilaksanakan dengan berkesan, pendidikan rakyat negara ini akan menjadi setaraf dengan universiti di Barat dan kita tidak perlu lagi ke luar negeri untuk belajar. Walau bagaimanapun, untuk mencapai sasaran ini, Kerajaan BN perlu membebaskan semua universiti daripada campur tangan politik yang selama ini membantutkan perkembangan akademik.

Rakyat Malaysia pernah berbangga kerana Universiti Malaya disenaraikan sebagai universiti ke-89 terbaik dunia oleh THES Ranking pada 2004, tetapi kerana terlalu banyak politiking, pencapaian UM telah merosot dengan teruk. Pada 2005 ia jatuh ke tangga 169, kemudian 2006 (192) dan 2007 (246). Bagi universiti-universiti awam yang utama lain seperti USM juga berada pada tahap yang lemah iaitu ranking ke-307, UKM (309) dan UPM (364). Ini belum dikira universiti-universiti awam yang baru dan juga universiti swasta. Rank yang dibuat oleh THES diiktiraf di peringkat antarabangsa yang mengukur kualiti kesarjanaan universiti.

DPP Pusat berharap Pelan Strategik Pendidikan Tinggi Negara (PSPTN) dapat mengambil kira soal kebebasan ahli-ahli akademik dalam membuat penyelidikan dalam semua aspek, termasuk kebebasan mereka memberikan pandangan terhadap isu-isu negara dan menerbitkan karya-karya mereka. Kebebasan mahasiswa juga harus menjadi pengukur dalam melahirkan universiti apex kerana tidak ada guna kini memiliki universiti yang hebat, tetapi mahasiswanya suram dan tidak berjiwa masyarakat. Universiti adalah tempat melahirkan bakal pemimpin dalam semua bidang dan mahasiswanya harus dibenarkan untuk bergiat cergas dalam semua aktiviti yang mencetuskan inovasi. Hari ini, campur tangan politik begitu luas sehingga mahasiswa terkongkong dengan teruk.

Bagi melahirkan penyelidik atau ahli akademik bertaraf dunia yang berupaya mencapai taraf Nobel Laureate, kerajaan perlu menerima hakikat bahawa ahli akademik dan universiti tidak boleh dijadikan tempat pengukuhan pengaruh politik pemerintah. Malaysia pernah memiliki ahli akademik bertaraf dunia seperti Prof Jomo KS dan Dr Edmund Gomez yang kini berkhidmat di PBB, Prof Syed Naquib al-Attas, Prof Dr Chandra Muzaffar dan Prof Osman Bakar. Begitu juga Sasterawan Negara, Prof Shahnon Ahmad yang pernah disebut sebagai calon Anugerah Nobel. Tetapi malangnya, orang-orang hebat ini tidak berpeluang mengembangkan pencapaian mereka di universiti Malaysia kerana permainan politik Kerajaan BN ekoran sikap mereka yang kritis terhadap dasar BN.