Oleh Helang Deli

18 Jan, Buletin Utama, TV3: Pak Lah dipetik berkata di dalam sidang akhbar Image‘”Dato Seri Radzi kata itu surat palsu, habis cerita.” Demikianlah ‘ilham keramat’ spontan yang dikemukan oleh Pak Lah bagi menjawab pertanyaan mengenai perancangan UMNO untuk memainkan api perkauman.

Respon ini aku kira adalah sebagai tindak balas politik ekoran laporan polis yang dibuat oleh Ketua Pemuda PAS Pusat, YB Salahuddin Ay, ekoran sepucuk surat yang diterima olehnya pada jam 4 petang 18 Januari di Pejabat Agung PAS Jalan Raja Laut.

Surat daripada Setiausaha Agung Umno, Dato’ Seri Radzi Sheikh Ahmad kepada Setiausaha dan Ketua-ketua Bahagian Umno dan Barisan Nasional untuk mengambil tindakan bersama ekoran keputusan Mesyuarat Majlis Tertinggi parti tersebut untuk melaksanakan satu pelan tindakan bersama terhadap ‘Isu Perkauman’.

Antara isi kandungan tersebut adalah pihak pengirim surat iaitu Radzi meminta kerjasama daripada Ketua dan Setiausaha Bahagian agar memberikan kerjasama yang baik untuk melaksanakan pelan tersebut bagi memulihkan kembali sokongan rakyat kepada BN.

YB Salahuddin turut diambil keterangan dan disoalsiasat selama setengah jam oleh Pegawai Penyiasat Jenayah, ASP Saerah Dollah yang turut meminta beliau mengemukakan pandangan mengenai surat yang diterima itu.

Namun apa yang menarik dari berita tersebut ialah bagaimana dengan mudahnya Pak Lah menafikan dengan berkata “Itu surat palsu” – tanpa lena yang panjang ataupun tidur semasa mesyuarat untuk menunggu ilham. Mungkin berkat puasa sunat Isnin-Khamis telah memberikan enerji kepadanya.

Aku terfikir, kalau ada surat yang palsu, mesti ada surat yang benar. Kalau surat yang ada pada Ketua Pemuda PAS itu adalah palsu, mesti surat yang benar tersimpan baik pada Dato’ Seri Radzi. Surat sepenting sebahaya itu tidak boleh dibiarkan terlepas kepada pembankang atau musuh politik dalaman. Sekarang adalah masa yang tidak sesuai untuk membuat tindakan yang tidak bijak. Tambah-tambah pula sekarang adalah masa figur-figur besar UMNO melobi untuk dinaikkan sebagai calon dan ada yang secara agresif sudah mengambil langkah membunuh karektor politik tertentu.

Dan yang paling menyedihkan ialah, Pak Lah dengan tiada kegusaran malah dengan sinis cuba menutup laporan polis yang dibuat. Hanya dengan berkata itu surat palsu dan tidak perlu dilayan laporan yang dibuat. Isu yang sebesar ini sepatutnya laporan polis yang dibuat itu mestilah disanggah keras dan tindakan tahanan ISA saman boleh dibuat. Nampaknya Pak Lah telah mempelajari sesuatu dari kes Chua Soi Lek, iaitu bila buat salah kena buat sidang akhbar dan mengaku secara terbuka-senyum-dan berani. Dan rakyat yang melihat nanti dengan sendiri akan terpukau dan kagum lantas berkata “Pak Lah adalah orang yang jujur dan berani.” Dan dengan sendiri rakyat tidak akan endah akan kesilapan jenayah UMNO ini. Paling penting pemimpin dan politik UMNO akan terus berkuasa.

Wow! Lakonan Pak Lah memang hebat dan berkesan – setelah sekian banyak lakonan tidak menjadinya terpampar di dada massa. Syabas Pak Lah!