Respon pembaca:

Tak usah dok cabarlah. Ukur baju badan sendiri. Tengok kekuatan sendiri sebelum nak cabar orang. Kalau kita kuat macam mana sekalipun tak payah dok cabar orang kerana itu bukan sikap orang yang gentlement.

Saya rapat dengan kedua-dua pihak. Kekuatan UMNO/BN dengan pembangkang jaraknya antara langit dengan bumi. UMNO/BN buat program berpusu-pusu yang datang. Baik dia pegawai tinggi kerajaan mahupun kerani biasa.

Program pembangkang untuk masyarakat mana ada. Balik-balik buat program tertutup panggil ahli-ahli dari luar Putrajaya meramaikannya majlis. Ketua Pemuda pun lari keluar tinggal di Kajang.

Mana dia muka yang berkempen kepada AJK surau ke, persatuan penduduk ke atau mana-mana kakitangan kerajaan yang lain. Tak ada. Kalau letak Husam Musa pun belum tentu menang. Walaupun Ku Nan pernah kutuk orang Kelantan dalam mesyuarat kerana bodoh terlalu menghormati TG Nik Aziz tapi puak-puak inilah jugak yang dok mengekor Ku Nan ke hulu ke hilir kerana Ku Nan senang tabur duit. Minta apa saja semua dapat. Air con, karpet, basikal, lembu korban semua dapat. Tapi apa yang PAS buat untuk merapati masyarakat?

Lebih baik buat kerja untuk mengurangkan majoriti UMNO/BN daripada mencabar Khairy bertanding di Putrajaya. Bagi saya mungkin calon pembangkang pun hilang deposit. Khairy boleh buat macam2 strategi untuk menang samada secara tipu atau secara ganas. Semua dia boleh buat. Lagipun kakitangan kerajaan takut kena keluar kuarters kalau undi pembangkang.

 

Ulasan kami:

Assalamualaikum wbt.

Sahabat saya ,

Perlu di ingat bahawa UMNO buat program menggunakan segala kelebihan yang mereka ada selaku pemerintah, duit, jentera kerajaan. Malah mereka juga boleh mengerahkan sekalian ramai kakitangan kerajaan. Bukankah ini suatu ketidak-adilan dan politik peras ugut?

Manakala di pihak BA, terutamanya PAS, kami tidak pernah di ajar untuk berbuat sedemikian. Contoh, selama kami memerintah di Kelantan sebegitu banyak program yang di anjurkan oleh kerajaan negeri dan PAS Kelantan dapat dibezakan oleh rakyat. Contoh yang paling nyata ialah Program Takaful Warga Emas yang cuba dipolitikkan oleh UMNO Kelantan. Ternyata sehingga ke hari ini program tersebut mendapat penerimaan dari semua rakyat merentas pelbagai anutan, fahaman, bangsa dan budaya.

UMNO Kelantan yang semakin terdesak kemudiannya telah mewujudkan skim Takaful yang hampir sama, tetapi malangnya mereka hanya mengutamakan ahli UMNO. Lupakah sahabat saya amirulnaim bahawa ini merupakan bukti UMNO adalah parti asobiyah dan tidak berniat untuk membela rakyat. Di fahamkan bahawa, Anuar Musa mewujudkan skim Takaful tersebut sebagai jalan untuk menyekat perkembangan positif rakyat terhadap PAS Kelantan terutamanya dari kalangan ahli UMNO. Bukti? Hanya ahli UMNO sahaja yang dapat menyertai skim tersebut, manakala bagi mereka yang bukan UMNO mesti menjadi ahli UMNO terlebih dahulu.

Untuk maklumat sahabat, kedapatan beberapa fakta yang salah telah dikemukakan oleh saudara. Misalnya mengenai Ketua Pemuda PAS Putrajaya. Saudara mengatakan bahawa beliau menetap di Kajang. Ini adalah kesalahan fakta. Dan yang saya pelik ialah bagaimana saudara mengaku bahawa saudara rapat dengan kami (rapat dengan kedua-dua pihak) ?

Setakat ini juga kami telah mengadakan program-program mengikut keupayaan kami. Paling membanggakan ialah dalam masa yang singkat jika dibandingkan dengan bagi tempoh yang sama untuk tahun-tahun sebelumnya, ternyata kami telah menapak jauh ke hadapan. Antaranya kami telah berjaya menubuhkan sayap pemuda kami dan menganjurkan program-program kemasyarakatan.

Kami juga menerima respon yang sangat membanggakan!

Kami banyak menerima respon bahawa sokongan kepada kami sangat kuat sebenarnya. Cuma memandangkan budaya politik peras ugut yang diamalkan menyebabkan mereka tidak mampu menatijahkan sokongan mereka. Misalnya ugut keluar kuarters, di tukar ke Sabah-Sarawak dsb.

Setujukah saudara dengan kenyataan saya?

PAS di mana-mana kawasan dan peringkat sekalipun sebenarnya memang mampu mengalahkan UMNO sekiranya kami berhadapan satu sama satu dan syaratnya ialah pilihanrya dijalankan secara adil dan bebas dari budaya poitik peras ugut.

Bukankah Saudara juga yang mengatakan bahawa Khairy boleh menggunakan macam-macam strategi secara tipu dan secara ganas?

Kami hanya baru mengemukakan cabaran. Apakah saudara turut tercabar dan ingin menyokong Khairy?

Justeru, kami memohon UMNO dan Khairy terutamanya menjawab spekulasi berhubung keinginannya untuk bertanding di Parlimen Putrajaya. Jawapan mesti dikemukakan sebelum atau pada 26 Januari depan, samada secara berdepan atau menghantar wakil. Jawapan mestilah fokus kepada cabaran kami dan menjawab cabaran kami, bukan jawapan retorik lama-kosong yang selalu dimainkan oleh juak-juak UMNO.

Tindakan sebegitu hanya mempamerkan kelemahan UMNO dan akan mendapat kutukan dari rakyat. Pengundi Putrajaya, pengundi yang sememangnya bijak membuat keputusan kalau bukan kerana ugutan, mereka mampu menilai setiap tindak tanduk UMNO dan Khairy lakukan. Sebarang tindakan provokasi dan ugutan hanya menunjukkan ketidak-matangan berpolitik.

Akhirnya, kami ulang, sila jawab cabaran terbuka kami. Khairy tanding atau tidak? Ingatan ikhlas dari kami, tindakan mengharapkan PM menjawab isu ini hanya akan membuat rakyat terus mentertawakan UMNO.

Ringkasan yang telah dikemukakan:

  1. PAS Putrajaya cabar Khairy tanding Parlimen Putrajaya
  2. Tarikh akhir cabaran pada 26 Januari 2008
  3. Sahut cabaran secara terbuka atau melalui wakil.