Oleh TARMIZI MOHD JAM

 PAS Kawasan Putrajaya mencabar Naib Pergerakan Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin agar mengistiharkan dirinya bertanding di Parlimen Putrajaya dalam pilihan raya umum ke 12 tidak lama lagi.

Yang Dipertua, Ustaz Mohd Nazir Zakaria memberi tempoh selama lima hari, mulai 22 hingga 26 Januari ini, untuk menantu Perdana Menteri itu menyahut cabaran PAS kawasan tersebut.

Khairy juga, jelasnya boleh menyatakan persetujuannya melalui surat, sidang media atau mewakilkan kepada sesiapa sahaja untuk menjadi jurucakapnya, menyampaikan persetujuan tersebut kepada Yang Dipertua PAS Putrajaya.

Katanya, walaupun sebagai anak lelaki dan tokoh pemuda yang bersuara lantang, Ustaz Nazir yakin Khairy tidak akan berani mengistiharkan dirinya bertanding di Putrajaya.Ini kerana, ujarnya, walaupun Khairy dikatakan sedang berusaha untuk menyingkirkan Ahli Parlimen Putrajaya, Tengku Adnan Mansor dari terus bertanding dalam pilihan raya umum akan datang, beliau tetap tidak berani menonjolkan dirinya.

Sebaliknya, terus berselindung di sebalik kuasa mertuanya, Abdulah Ahmad Badawi, tegas Ustaz Nazir lagi.

PAS Putrajaya juga menyifatkan, sebagai penasihat Perdana Menteri tidak rasmi, Khairy juga bakal mempunyai penguasaan yang lebih kukuh sekiranya memenangi kerusi Putrajaya.

“Dia bukan sahaja berkuasa di Tingkat 4 JPM, tapi seluruh kekuasaan Putrajaya akan berada di bawah telunjuknya,” katanya ketika dihubungi.

Demografi pengundi Putrajaya terdiri daripada pengundi muda (43.29%) dan pengundi wanita (54.18%). Komposisi ini menjadi adalah faktor penentu di dalam pilihanraya kali ini.

Khairy, yang disebut-sebut akan bertanding di sini merupakan calon tepat yang menepati kehendak orang muda bagi menggantikan Menteri Pelancongan yang mulai kurang disenangi ekoran pembabitan beliau dengan isu klip video Tourisme dan klip video VK Linggam.

Malah sebelum ini, Tengku Adnan juga menunjukkan sikapnya yang anti Islam dengan tidak mengizinkan pembinaan Sekolah Agama atas alasan dangkal, merosakkan lanskap Putrajaya sebagai tempat perlancongan dan pada masa yang sama membenarkan kelab-kelab malam beroparasi hingga larut malam.

…..
Gambar – Ustaz Nazir Zakaria, anak muda yang mengetuai PAS Putrajaya dengan lantang mencabar Khairy istihar bertanding di Putrajaya menggantikan Tengku Adnan dalam pilihan raya umum akan datang, jika beliau benar-benar berani!