Oleh Tgku Azri

Lantang sekali Datuk Seri Tengku Adnan Mansor mencabar kebolehan PAS untuk bertanding di Putrajaya. Amat ketara sekali keangkuhannya jika di lihat kenyataannya yang dikeluarkan dalam akhbar NST & Harian Metro. pada 4 Feburari 2008. Dalam kelantangan itu, beliau tidak sedar kedudukan dirinya yang semakin terumbang-ambing sebagai ahli Parlimen Putrajaya dan anggota Menteri Kabinet.

Pak Lah selaku Pengerusi Barisan Nasional berulang kali menegaskan bahawa hanya yang bersih saja yang akan dipertimbangkan untuk menjadi calon BN dalam pilihanraya umum yang semakin hampir ini. Malah dalam satu kenyataan, untuk memastikan kelayakan dan ke’bersihan’ calon-calon mereka, BN akan menggunakan PDRM, BPR, Jabatan Imigresen dan Jabatan Insolvensi untuk memastikan seseorang itu benar-benar layak mewakili mereka. Lupakan seketika Pak Lah yang tidak sebersih yang disangka kerana fokusnya di sini ialah Tengku Adnan yang diibaratkan seperti anak ketam yang cuba diajar oleh si ayah ketam untuk berjalan betul dan berjalan betul-betul.

Penglibatan Tengku Adnan dalam isu pita video VK Linggam terbukti telah menjejaskan kredibilitinya dengan agak teruk. Masakan tidak begitu kerana beliau sendiri seolah-olah mengaku dengan menyatakan biarlah kesinambungan beliau sebagai calon BN diserahkan bulat-bulat kepada pucuk pimpinan BN. Keyakinan Tengku Adnan sewaktu mencabar PAS bertanding di Putrajaya seakan goyah dengan pendedahan demi pendedahan yang berkaitan dengan dirinya di dalam kes pita video Linggam yang masih dalam siasatan Suruhanjaya Diraja.

Sudah nyata orang yang tidak bersih dengan dikaitkan dengan kesalahan-kesalahan besar tidak layak bertanding! Apa ragu lagi warga Putrajaya? Inilah masanya untuk kalian menukar kempimpinan di sana!