Intan Abdullah | Foto Nasir Sudin

KUALA LUMPUR, 6 Feb (Hrkh) – Lebih 1,000 pemimpin PAS pelbagai peringkat hadir dalam majlis taklimat Manifesto Pilihan Raya PAS di Dewan Dato’ Fadzil Mohd Nor, Markas Tarbiyah PAS Pusat, Taman Melewar, dekat sini, pagi tadi.

ImageDengan bertemakan ‘Negara Beramanah, Bersih, Adil dan Berkebajikan’, majlis pelancaran dan taklimat khas manifesto ini disampaikan oleh Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa dan Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Dr Dzulkefli Ahmad.

Dalam majlis yang sama, para pemimpin PAS peringkat pusat, negeri dan kawasan diberi peluang untuk turut sama berkongsi pendapat serta membincangkan intipati manifesto tersebut.

Dalam merealisasikan hasrat PAS membentuk negara berkebajikan, PAS antara lain menawarkan penurunan harga bahan bakar (petrol dan diesel) dengan pendekatan ‘subsidi’ bagi menangani inflasi harga barang keperluan dan perkhidmatan.

Selain mendedahkan 32 tawaran yang lain, di sektor pendidikan, PAS menawarkan penghapusan semua pinjaman tertunggak PTPTN, mengembalikan Imagependidikan percuma di peringkat Institusi Pengajian Tinggi Awam serta pemberian biasiswa.

Turut dijangka mendapat perhatian, pelaksanaan Akta Gaji Minima serta Skim Pembiayaan Kesihatan Nasional, penghapusan sistem Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) serta Akujanji di kalangan kakitangan kerajaan.

Menurut Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar, majlis taklimat pada hari ini adalah untuk tujuan penjelasan di peringkat jentera parti, manakala pelancaran manifesto tersebut kepada umum akan dibuat dalam jangka masa terdekat ini.

Majlis penutup dilaksanakan oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang tengahari tadi. Turut hadir, Naib Presiden, Ustaz Ahmad Awang; Ketua Penerangan, Mahfuz Omar serta Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Dato’ Mustafa Ali serta AJK PAS Pusat dan Dewan-dewan.

PAS mendahului parti-parti politik yang lain dalam menyiapkan manifesto pilihan raya yang sekaligus menggambarkan keseriusan dalam melaksanakan agenda perubahan dalam negara khususnya untuk memberi manafaat kepada rakyat.

Sebelum ini, banyak pihak termasuk pemimpin Umno-BN memberi ulasan terhadap konsep negara berkebajikan yang akan dibawa oleh PAS. – mks