dipetik dari BeritaHarian Online

Oleh Mohamed Farid Noh

KUALA LUMPUR: Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu (gambar) sedia berundur daripada parti itu sekarang dan tidak bertanding pada pilihan raya umum bulan depan, jika masyarakat India tidak mahukannya lagi.

Beliau yang menerajui MIC sejak 1981 dan genap berusia 72 tahun pada hari pengundian 8 Mac ini, bagaimanapun berkata, keputusan itu perlu dibuat masyarakat India seluruh negara dan bukan pihak luar.

“Saya bercadang berkhidmat sebagai wakil rakyat untuk tempoh sepenggal lagi dan ia mungkin menjadi penggal terakhir saya dalam politik… saya akan pergi selepas itu.
“Tapi, jika masyarakat India seluruh negara memutuskan tidak mahu saya mewakili mereka lagi dalam kerajaan, saya sedia untuk pergi sekarang,” katanya selepas melancarkan Persidangan Perkhidmatan Perdagangan Profesional Pan Komanwel di sini, semalam.

Samy Vellu yang juga Menteri Kerjaraya mula bertanding kerusi Parlimen Sungai Siput pada 1974, mengalahkan calon DAP, P Patoo dengan majoriti 644 undi. Sejak itu, beliau terus mempertahankan kerusi berkenaan.

Ditanya sama ada tindakan beberapa pihak mencemuh dan menyuarakan kemarahan terhadapnya memberi gambaran bahawa beliau perlu berundur daripada politik sekarang, Samy Vellu berkata, beliau tidak boleh meninggalkan parti begitu saja.

“Memang berita saya melepaskan jawatan ditunggu-tunggu tapi ini bukan perkara main-main… ini politik, tentang masyarakat dan perkhidmatan yang diberikan kepada mereka.

“Saya akan melepaskan jawatan kepada calon yang sesuai dan pada masa yang sesuai. Saya mengetahui parti ini lebih daripada orang lain. Ini bukan pilihan raya pertama MIC, kerana kita sudah 11 kali bertanding.

“Saya tidak akan mengetuai parti selama-lamanya. Jika saya tinggalkan parti sekarang, tentu parti akan kucar-kacir… tapi ia tidak bermakna saya akan menjadi Presiden sehingga 100 tahun. Hayat saya tidak sampai 100 tahun. Dalam politik akan sampai masa semua orang berundur apabila tiba masanya,” katanya.

Sabtu lalu, kira-kira 100 lelaki dipercayai daripada pertubuhan tidak berdaftar mengepung kereta Presiden MIC itu selama 15 minit ketika beliau hendak beredar dari majlis sambutan Tahun Baru Cina di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Chung Hwa 3 di Butterworth.

Bagaimanapun, Samy Vellu tidak diapa-apakan dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu kerana pihak berkuasa berjaya mengawal keadaan.

Menteri itu menjelaskan, kumpulan itu memintanya membantu membebaskan beberapa orang yang ditahan dalam satu perhimpunan haram di Kuala Lumpur pada hari berkenaan.

“Tidak ada pun tanda mereka membenci saya. Mereka datang ke kereta saya meminta saya memberitahu Perdana Menteri supaya membebaskan mereka (yang ditahan). Itu saja yang mereka minta. Mereka tak bercakap mengenai politik,” katanya.

Pada 13 Februari lalu, Samy Vellu turut dikepung sekumpulan belia pada majlis penyampaian geran peruntukan untuk sekolah Tamil dan upacara pecah tanah Sekolah Jenis Kebangsaan SJK (Tamil) Seaport, Sungai Way di Selangor.

Dalam kejadian itu, kumpulan berkenaan dikatakan mempertikaikan sumbangan MIC kepada pembangunan masyarakat India negara ini.

Mengenai khabar angin pergeseran antaranya dengan Timbalan Presiden MIC, Datuk G Palanivel, beliau secara sinis berkata: “Oh, itu berita baik. Jika anda mahu memusnahkan sebuah parti, anda harus mengapi-apikan pemimpin parti itu.

“Memang ramai cuba berbuat begitu, tapi kami tidak biarkan ia terjadi. Saya akan menyerahkan parti kepada timbalan saya dan berundur (bila sampai masanya).”

Samy Vellu berkata, ramai muka baru MIC diketengahkan dalam pilihan raya umum kali ini kerana beliau tidak berpuas hati dengan perkhidmatan sebahagian wakil rakyat parti itu.

“Saya tidak gembira dengan perkhidmatan yang mereka berikan kepada rakyat dan membuat keputusan untuk merombak secara besar-besaran senarai calon pada pilihan raya kali ini.

“MIC hanya mahu calon wakil rakyat yang terbaik dan senarainya sudah disiapkan, tetapi ia boleh bertukar pada saat akhir jika ada calon yang lebih baik perlu disenaraikan,” katanya.

Beliau berkata, MIC sudah mempunyai senarai akhir calonnya, tetapi tidak dapat mendedahkannya tanpa restu Perdana Menteri kerana perubahan akan dibuat berdasarkan keadaan.

“Saya bersedia berjumpa Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk mengemukakan senarai calon, jika beliau mahu berjumpa saya. Perubahan saat akhir dibuat kerana saya mahu pastikan MIC memilih calon yang terbaik untuk pilihan raya kali ini,” katanya.

Samy Vellu juga menasihatkan pemimpin MIC pada peringkat bahagian bahawa kerusi yang diperuntukkan adalah untuk parti, bukan untuk bahagian.

“Ada kejadian di mana mereka yang mahu dicalonkan (peringkat bahagian) datang menuntut kerusi mereka sendiri kerana kerusi itu berada dalam kawasan mereka.

“Jadi lain kali saya tidak boleh bertanding di Sungai Siput. Presiden parti mana ada tempat hendak pergi (bertanding) kerana saya di ibu pejabat,” katanya.