Dua calon parlimen PAS serah memo bantahan pada RTM
Salmiyah Harun
Fri | Feb 22, 08 | 7:03:02 pm MYT

KUALA LUMPUR, 22 Feb (Hrkh) – Tarikh pilihan raya semakin hampir, namun media penyiaran milik kerajaan, Radio Televisyen Malaysia (RTM) dilihat semakin tidak profesional dalam menyiarkan maklumat kepada rakyat.

Calon PAS Titiwangsa, Dr Lo’Lo’ Mohd Ghazali berkata, RTM sebagai saluran informasi rakyat tidak sepatutnya menjadi agent kepada BN.

Tegasnya, dalam menyampaikan maklumat, RTM hari ini dilihat seperti cuba memburuk-burukkan dan menyerang parti pembangkang seterusnya memberi persepsi negatif kepada rakyat.

Katanya, RTM sebagai agensi penyiaran rakyat sepatutnya bersikap lebih adil dalam sesuatu perkara dan memberi peluang yang sama adil kepada semua pihak untuk mengemukakan pandangan dalam apa sahaja hal dalam negara.

“Hari ini RTM macam nampak radio televisyen BN pula, berita dan saluran maklumat yang berat sebelah tidak memberi peluang yang sama kepada parti-parti pembangkang,” katanya.

Dalam mengulangi slot demonstrasi yang dianjurkan oleh Bersih, Lo’Lo’ berkata langkah RTM itu membuatkan rakyat menjadi muak dengan kerajaan.

“RTM dah ‘over killing’, rakyat muak sebab ‘over killing’. Ia tidak bagus untuk kempen BN,” katanya ketika ditemui.

Lo’Lo’ berharap sebagai sebuah agensi kerajaan RTM mesti bertindak neutral dan mempunyai tanggungjawab sosial bukannya menjadi alat propaganda BN.

Dalam pada itu, calon PAS Putrajaya Mohammad Nor Mohamad berkata, sebaik sahaja parlimen dibubarkan RTM sudah menjadi milik rakyat bukan lagi milik kerajaan BN.

Jadi, kerajaan ‘caretaker’ perlu bersifat adil dan memberi peluang kepada semua pihak untuk muncul di kaca televisyen sekurang-kurangnya menyiarkan manifesto parti-parti pembangkang.

Katanya, parti politik yang bertanding diberi peluang untuk mengemukakan aspirasi mereka supaya rakyat mendapat gambaran sebenar apa yang ditawarkan oleh semua parti.

Lo’Lo’ dan Mohammad berkata demikian semasa menyerahkan memorandum membantah penyalahgunaan RTM dalam kempen pilihan raya ke-12.

Memorandum itu diserahkan kepada Setiausaha Bahagian Pentadbiran Kementerian Penerangan, Janagarajan di pondok keselamatan terletak di pintu masuk utama RTM.

Sebelum itu, jam 11.15 pagi rombongan kedua-dua calon PAS itu tiba di pintu masuk RTM, bagaimanapun kakitangan RTM tidak membenarkan mereka masuk ke kompleks itu.

Berkali-kali rombongan PAS itu meminta RTM menjemput mereka ke tempat yang sesuai untuk menyampaikan memorandum.

Sebaliknya RTM hanya membenarkan memorandum itu diserahkan kepada kakitangan mereka di tengah-tengah laluan masuk ke kompleks dalam keadaan cuaca panas. – mns