Putrajaya sebagai pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan memang menarik perhatian semua pihak jika ada pembangkang yang menandingi kerusi Parlimen berkenaan. PAS meletakkan calonnya, yang juga merupakan Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Haji Mohamad Noor Mohamad bertanding di sini menentang Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang juga Menteri Pelancongan.

Pertandingan ini bakal memberi tekanan psikologi kepada Barisan Nasional (BN) yang suka melabelkan pembangkang sebagai pihak yang tidak serik untuk bertanding di Putrajaya. Ini kerana kemenangan mana-mana parti pembangkang di sebuah kawasan pusat pentadbiran kerajaan akan dianggap satu tamparan yang hebat dan boleh menjatuhkan maruah kerajaan.

Perlu dilihat di sini pihak pembangkang yang bertanding ialah PAS. Sepanjang program edaran risalah yang dianjurkan oleh Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan dan Pemuda PAS Kawasan ini di pasar malam setiap hari Jumaat, rata-rata masyarakat menerima dan menyambut baik inisiatif berkenaan. Malah mereka menggesa supaya PAS melakukan lebih dari edaran risalah semata-mata, yakni menjadi pendengar keluhan dan rintihan majoriti seterusnya menjadi wakil mereka di Putrajaya. Kakitangan-kakitangan kerajaan juga semakin hari semakin berani untuk menterjemahkan sokongan senyap mereka terhadap PAS dan bantahan senyap mereka terhadap terhadap kepimpinan Pak Lah yang lemah dan pemerintahan Ku Nan yang dicemari dengan skandal pita video VK Linggam yang masih dalam siasatan. Ditambah lagi dengan penghapusan nombor siri pada kertas undi, kakitangan kerajaaan rata-rata lebih yakin untuk menyokong PAS di Putrajaya melalui undi-undi mereka.

Material dan kemajuan kebendaan tidak akan menjadi idaman lagi apabila ianya kenikmatannya sudah di puncak. Itulah apa yang segelintir penduduk Putrajaya rasakan. Ku Nan memang suka ‘menabur duit’ kepada penduduk Putrajaya. Entahlah dari mana datangnya duit berkenaan kita tidak tahu, namun ‘penaburan duit’ berkenaan lebih banyak dilakukan berbanding berbakti memenuhi tuntutan majoriti rakyat yang mahukan kemudahan-kemudahan seperti sekolah agama, tempat meletak kenderaan yang selesa dan pemuliharaan public amenities supaya tidak menyakitkan mata mereka memandang. Amat sedikit permintaan berkenaan dipenuhi dengan berkesan. Pembinaan menara tinjau dan Masjid Besi adalah lebih kepada menunjuk-nunjuk dan boros, walaupun masjid berkenaan perlu untuk menampung kapasiti penduduk di waktu akan datang. Peruntukan belebihan boleh saja digunakan untuk mempercepatkan pembinaan sekolah agama yang mati-mati ditolak Ku Nan beberapa tahun lepas. Barangkali itu disimpannya untuk menjadi modal-modal pilihan raya barangkali. Ikhlaskah pemimpin seperti ini?

Pilihlah pemimpin yang bersih dan ikhlas. PAS berjanji akan mengutamakan kebajikan semua warga Putrajaya andai dipilih mewakili mereka nanti. Terjemahkanlah sokongan anda dengan mengundi calon PAS 8 Mac nanti!