Azamin Amin
Thu | Mar 06, 08 | 6:55:32 am MYT

KUALA LUMPUR, 6 Mac (Hrkh) – Ramai yang pasti khususnya pengundi di Parlimen Putrajaya mengenali Menteri Pelancongan Tengku Adnan Mansor yang terkenal dengan kenyataan ‘kontroversi’ yang keluar dari mulut seorang muslim yang mengikuti konsep Islam Hadhari.

Beliau secara bijak telah mengeluarkan idea yang amat ‘bernas’ iaitu mencadangkan kepada kerajaan pimpinan Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk melanjutkan masa berhibur di pusat-pusat hiburan sampai pukul 5.00 pagi.

Lebih mengejutkan, beliau tanpa rasa segan mahukan kerajaan Barisan Nasional (BN) menurunkan cukai arak, supaya harga arak di pasaran menjadi lebih rendah.Kedua-dua alasan ini motifnya untuk pelancongan.

Dua idea ‘mantap’ ini seolah-olah cuba menjadikan negara ini ‘syurga arak’ dan ‘syurga hiburan’ yang akan menyebabkan ramai pelancong-pelancong dari luar negeri berduyun-duyun akan berkunjung ke Malaysia untuk menikmati syurga-syurga tersebut.

Bagaimana idea ‘kartun’ ini telah dibantah keras oleh PAS termasuk Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO) Islam lantaran ianya akan mendatangkan musibah besar kepada membiaknya keruntuhan akhlak dan gejala sosial yang membarah kepada rakyat Malaysia khususnya remaja dan umat Islam.

Walau apa pun, para pengundi perlu mengenali siapa Adnan yang mempunyai idea bernas ini supaya boleh menilai sama ada beliau layak sekali lagi untuk menerajui tampuk kepimpinan khasnya dalam bidang pelancongan hatta sebagai seorang ahli parlimen sekalipun.

Adnan telah dilahirkan di negeri Melaka pada 20hb Disember 1950 pada jam 6.10 pagi dengan surat pendaftaran lahirnya bernombor 100502.

Ketika beliau dilahirkan, namanya ialah Adnan bin Mansor manakala pada tahun 1962, ketika beliau berusia 12 tahun, Adnan mulai memiliki kad pengenalan bernombor 4079409 atas nama sama seperti yang terdapat dalam surat beranak malah ketika menukar kad pengenalan bagi memenuhi kehendak undang-undang pada tahun 1969 namanya masih lagi kekal sebagai Adnan bin Mansor.

Tetapi, pada 3hb Oktober 1972, Adnan telah mengubah namanya menjadi Tengku Adnan bin Tengku Mansor dan telah membuat akuan bersumpahnya bahawa beliau berasal dari Keluarga DiRaja Melaka.

Adnan merupakan seorang taukeh Sport Toto Malaysia yang diasaskan pada tahun 1969 dengan nama asalnya Unilite Electrical Indusries Berhad.

Pada tahun 1987, syarikat ini bertukar nama kepada Far East Asset Berhad dan dalam penstrukturan semula pada tahun 1992, ia diambialih oleh Berjaya Group dan dikenali sebagai Berjaya Sport Toto Berhad.

Adnan mempunyai saham dalam Berjaya Group Berhad yang memiliki Sport Toto sebanyak 3.5 juta saham melalui syarikatnya yang bernama Cimsec Nominees. Ini menjadikan Adnan terlibat dalam industri perjudian Sport Toto melalui pegangan sahamnya dalam Berjaya Group Berhad.

Sport Toto mempunyai 681 rangkaian kedai judi di seluruh negara dan mempunyai dua syarikat perjudian di luar negara iaitu Philippines Berjaya Toto dan pada tahun 1997 membantu kerajaan Ghana menyusun kegiatan loteri di negara berkenaan.

Adnan dan kerajaan Pahang pada satu ketika dahulu melalui syarikat PASDEC Holding Berhad pernah memiliki saham dalam Bukit Tinggi Resort Berhad milik penuh Vincent Tan yang bergiat dalam kegiatan berjudi ‘mesin slot’, tetapi disebabkan oleh bantahan orang ramai, maka Adnan melepaskan pegangannya dalam bentuk saham dan kerajaan Pahang menjual sahamnya pada 23hb Mei 2003.

Apapun sepatutnya Adnan sedar akan kenyataan yang dikeluarkan oleh Mufti Kerajaan Perak, Dato’ Seri Harussani Zakaria bahawa orang Melayu-Islam telah membelanjakan RM4 bilion setahun untuk minum arak dan berjudi dan situasi gawat umat Islam ini sangat-sangat membimbangkan.

Sungguhpun begitu terpulanglah kepada para pengundi untuk mebuat penentuan di hari pengundian 8 Mac ini untuk membuat pilihan yang betul dan tepat dalam soal memilih pemimpin.

Masa untuk berubah! – mks.