Ihsan: Berita Harian Online

KOTA BAHARU: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kelantan hari ini membuat laporan polis supaya siasatan segera dilakukan terhadap enam individu yang dikaitkan dalam Suruhanjaya Siasatan Diraja berhubung klip video V K Lingam.

Laporan polis itu dibuat oleh Ketua AMK Kelantan, Wan Khairul Ihsan Wan Muhammad di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Baharu di sini pada jam 1 tengah hari.

Wan Khairul, yang diiringi 50 anggota AMK Kelantan, ketika ditemui selepas itu berkata laporan itu bertujuan meminta polis membuka kertas siasatan dan menyiasat segera keenam-enam individu berkenaan.

Katanya, siasatan segera perlu dilakukan bagi memulihkan semula keyakinan rakyat terhadap sistem kehakiman negara.

Enam individu itu ialah peguam Datuk V K Lingam, ahli perniagaan Tan Sri Vincent Tan, bekas Ketua Hakim Negara Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim dan Tun Eusoff Chin, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Anggota Parlimen Putrajaya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Semalam laporan yang sama turut dibuat di Balai Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur.- Bernama