Dewan Pemuda Pas Putrajaya mengutuk kenaikan harga secara mendadak yang diumumkan oleh Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi di Pejabat Perdana Menteri di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya semalam. Kenaikan 41 peratus harga petrol dari RM1.92 kepada RM2.70 seliter dan 58.2 peratus harga diesel dari RM1.58 kepada RM2.58 seliter ini adalah sebahagian daripada langkah kerajaan untuk mengawal subsidi bagi menampung kenaikan petrol, diesel dan gas, yang dijangka berjumlah RM56 bilion tahun ini.

Kenaikan harga bahan api kali ini merupakan satu kejutan kepada rakyat setelah diberikan bayangan Isnin lalu oleh Dato’ Sharir Abd Samad bahawa kenaikan harga minyak hanya akan berlaku pada Ogos depan. Ini merupakan satu penipuan kerana semasa pilihanraya umum yang lalu kerajaan berjanji tidak akan menaikkan harga minyak. Nyata sekali keputusan ini mengelirukan rakyat kerana Petronas mendapat keuntungan berbillion ringgit saban tahun yang sepatutnya dinikmati oleh rakyat melalui pemberian subsidi.

Kenaikan kali ini merupakan kenaikan paling tinggi dalam sejarah. Tidak cukup dengan itu, kerajaan juga bakal mengumumkan tarif elektrik yang baru. Keputusan ini mendapat rungutan dan keluhan semua lapisan masyarakat termasuk kakitangan kerajaan dan swasta. Bagi kakitangan kerajaan yang telah dinafikan bonus dan juga honorarium, kenaikan bahan api ini pasti akan memberi tekanan kepada mereka apabila harga barang turut mengalami kenaikan akibat kenaikan harga minyak. Malah, kakitangan swasta dan masyarakat umumnya turut merasa tekanan dengan situasi ini.

Tindakan kerajaan pusat yang membebankan rakyat dengan kenaikan harga minyak, kenaikan harga barang, kenaikan tariff elektrik, kenaikan tol cukup memualkan rakyat. Ini berbeza sekali dengan pemerintahan dan pengurusan di negeri Selangor. Rakyat mendapat banyak kemudahan dan ganjaran selepas kerajaan Pakatan Rakyat diberi mandat untuk memerintah. Insentif RM1000 kepada rakyat Selangor yang dapat melanjutkan pengajian ke IPTA/S, pemberian subsidi air, menjadi penjamin setinggan, merupakan antara hadiah dari kerajaan Pakatan Rakyat untuk rakyat.

Justeru, Pemuda Pas Putrajaya mendesak pihak kerajaan pusat supaya mengkaji semula kenaikan harga bahan api kerana Malaysia merupakan Negara pengeluar dan tidak sewajarnya dibandingkan harga minyak Malaysia dengan Thailand, Singapura mahupun Negara-negara pengimport minyak yang lain. Pihak kerajaan juga perlu menjelaskan kepada rakyat mengapakah keuntungan besar Petronas tidak dapat dimanafaatkan oleh rakyat umum. Sehubungan dengan itu, Pemuda Pas Putrajaya juga mendesak agar pihak kerajaan pusat mengkali semula dan dengan segera memberikan honorarium kepada kakitangan kerajaan.


Sekian. Wassalam.