Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan melahirkan rasa kesal diatas kecetekan buah pemikiran yang dilontarkan oleh Presiden Cuepacs, Omar Osman terhadap cadangan Kerajaan PAS Kelantan menjadikan solat lima waktu dan Jumaat sebagai syarat kenaikan pangkat serta pengambilan baru kakitangan awam dinegeri itu.

Hujah beliau bahawa syarat itu akan menafikan hak kaum lain dalam menjawat jawatan di agensi Kerajaan di negeri itu membuktikan bahawa beliau sendiri tidak faham tentang dasar baru yang ingin diperkenalkan itu.

Pemudawilayah menasihatkan beliau agar tidak melatah sedemikian rupa dalam membahaskan isu ini. Apa yang diperkenalkan oleh Kerajaan PAS ini bukanlah perkara baru kerana hal ini telah diperintahkan oleh Allah SWT kepada umat terdahulu dan Rasulullah SAW sendiri menyatakan bahawa;

“Ditegakkan Islam atas lima perkara: pengakuan syahadah iaitu tiada tuhan yang disembah dengan sebenarnya melainkan allah, pengakuan bahawa Nabi Muhammad itu Rasulullah, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, menunaikan fardhu haji dan berpuasa dibulan ramadhan”. [Al- Bukhari]

Hadis di atas menyebut dengan jelas tentang solat yang menjadi komponen kedua terpenting dalam Rukun Islam. Perkara pertama yang akan disoal diakhirat kelak adalah tentang solat, ianya tiang agama, dan bagaimana seseorang pekerja itu dapat bermanfaat pada majikan jika tiang agamanya sudah tiada.

Soal solat ini juga adalah pembuktian penting umat Islam terhadap kepercayaan mereka kepada Allah (Tuhan). Bila sebut kepercayaan maka ia juga terkandung dalam perkara pertama dalam rukun negara iaitu kepercayaan pada Tuhan.

Perkara ini bukanlah suatu gurauan kerana setiap penjawat awam wajib patuh pada rukun negara ini. Bagi mana-mana penjawat awam yang tidak patuh maka mereka boleh dipecat. Bagaimana jika seseorang penjawat awam atau pemohon itu enggan mengiktiraf kesetiaan pada Raja dan Negara, enggan memperdulikan keluhuran perlembagaan dan tidak kisah tentang kedaulatan undang-undang serta kesopanan dan kesusilaan. Layakkah beliau untuk menjadi pegawai awam yang bekerja untuk negara dan negeri?

Arahan Kerajaan PAS ini juga adalah sebahagian dari usaha membasmi masalah rasuah dan disiplin kalangan penjawat awam yang gagal di atasi melalui kaedah semasa. Tindakan ini juga dibuat berpandukan keyakinan pada janji Allah bahawa:

“Dan dirikanlah solat (dengan tekun), sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar”. [Al-Ankabut ayat 45]

Kalau kita selidiki, kebanyakkan penjenayah yang beragama Islam atau golongan yang bermasalah di negara ini adalah dari kalangan mereka yang tidak menjaga solat.

Menteri Besar Kelantan, YAB Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat juga ada menjelaskan bahawa;

“Mereka yang tidak menunaikan sembahyang itu menunjukkan bahawa mereka sudah tidak takut kepada Tuhan, Tuhan yang maha berkuasa, apatah lagi kepada manusia, yang sememangnya kurang berkuasa”.

Maka apalah sangat yang perlu dikecohkan jika usaha ini diteruskan. Omar tidak perlu risau kerana peraturan ini hanyalah sebahagian dari peraturan yang boleh dimasukkan dalam senarai peraturan tatatertib kakitangan awam.

Jika Kerajaan sebelum ini melalui JPA menguatkuasakan arahan yang tidak logik dalam peraturan berkenaan seperti tidak membenarkan pegawai Pengurusan dan Profesional terlibat dalam politik dalam negara ‘demokrasi’ ini, apa salahnya jika Kerajaan PAS memasukan arahan yang lebih logik seperti solat ini.

Peraturan ini juga hanya terhad kepada kakitangan yang beragama Islam dan mereka yang bukan beragama Islam masih tertakluk pada peraturan sedia ada.

Diharapkan Omar sedar bahawa beliau masih lagi seorang muslim dan wajib untuk menyokong cadangan ini dengan akal fikiran bukan membantah membuta tuli hanya kerana ingin jadi hero kepada Kerajaan Barisan Nasional.

Beliau seharusnya meminta maaf dan meletakkan jawatan sebagai Presiden Cuepacs kerana apa yang beliau ucapkan itu adalah sesuatu perkara yang amat memalukan ramai penjawat awam, khususnya dari kalangan mereka yang beragama Islam.

Berhubung persoalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (JPA), Tan Sri Ismail Adam yang khuatir tentang mekanisma perlaksanaan peraturan ini. Perkara tersebut tidaklah terlalu sukar. Sekiranya peraturan itu dikuatkuasakan, dengan sendirinya mereka yang solat akan solat. Mereka yang tidak solat sudah awal-awal lagi tidak diambil bekerja.

Bagi kakitangan sedia ada, mereka akan ikut kerana ianya sudah jadi peraturan. Setiap kali azan, ketua jabatan akan bertanggungjawab memastikan kakitangannya berada di surau dan masjid.

Kalau susah juga, kad perakam waktu solat boleh diperkenalkan sebagaimana kad perakam waktu kehadiran. Tetapi itu adalah pilihan yang mungkin tidak akan digunakan kerana di kelantan sekarang ini kebanyakkan kakitangannya adalah mereka yang solat 5 waktu.

Kewujudan peraturan ini hanyalah sebagai penegasan dan mendidik disiplin kakitangan, khususnya bagi mereka yang baru berhasrat menyertai kakitangan awam di Kelantan.

Pemudawilayah secara keseluruhannya menyokong cadangan ini dan berharap ianya dapat dilaksanakan dengan segera dan menjadi contoh bagi negeri lain.

Herman Samsudeen
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan