KUALA LUMPUR, 10 Julai – PAS tidak sekadar menyampaikan mesej Islam kepada ahli parti semata-mata malah secara menyeluruh kepada semua pihak termasuk Umno.

Presiden PAS, Tuan Guru Dato’ Seri Abdul Hadi Awang berkata PAS adalah parti yang menegakkan Islam dengan makna yang menyeluruh malah sasaran Islam ialah kepada seluruh manusia dan bukan sahaja tertumpu kepada ahli PAS sahaja.

“Kita harus sampaikan mesej kepada pihak yang lain, sebagaimana yang diajar Nabi Muhammad. PAS juga wajib meneruskan mesej itu dalam konteks negara kita.

“Kita jumpa dengan raja-raja dan tidak salah juga kita berjumpa dengan Umno untuk menyampaikan mesej kita. Kalau tidak jumpa dengan Umno macam mana nak sampaikan mesej kita?,” katanya sewaktu ditemubual oleh Harakah di pejabat pembangkang di Parlimen baru-baru ini.

Beliau dengan jelas menyatakan bahawa pertemuan antara individu PAS dengan individu Umno adalah bertujuan untuk menyampaikan mesej Islam di samping memberi penekanan kepada kepentingan Islam supaya Umno berubah.

“Iaitu merujuk kembali kepada kesilapan yang mereka lakukan yang merugikan umat dan agama Islam itu sendiri.

“Sebagai contoh, dalam masalah pilihan raya. Yang dikira oleh Umno hanya untuk menangkan parti dia, bukan untuk memenangkan Islam,” katanya ketika ditanya wartawan berhubung wujudnya pertemuan PAS dan Umno berkaitan politik negara mutakhir ini.

Rumusan daripada pertemuan itu, kata Ustaz Hadi ialah kepentingan perpaduan nasional di kalangan parti politik yang perlu dibincangkan lebih serius dan bukan separuh jalan malah sehingga kini PAS masih menunggu respons daripada Umno dan rakyat.

“Perpaduan ini tidak semestinya kita paksa semua parti masuk BN atau gabung satu parti. Ini termasuklah wujudkan demokrasi tulen sebagaimana negara yang sihat demokrasinya,”katanya.

Beliau memberi contoh, demokrasi sihat yang dimaksudkan antaranya ialah bukan sahaja pembangkang boleh membangkang tetapi yang mewakili kerajaan juga boleh melakukan tindakan yang sama namun malangnya wakil rakyat kerajaan di negara ini yang bertindak membangkang akan dikenakan tindakan disiplin.

Berkaitan rundingan yang berlaku antara Dato’ Seri Anwar Ibrahim dengan kelompok yang hendak menyertai Pakatan Rakyat, Ustaz Hadi menyatakan bahawa PAS juga mempunyai hak yang sama untuk membuat rundingan.

“Bukan dia (Anwar) sahaja, kita pun berhak untuk mengadakan perundingan. Sama juga DAP. Mereka ada hak buat perundingan.

“Kalau KeADILan sahaja boleh jumpa Umno, PAS tidak boleh jumpa dengan Umno macam mana? Ini yang tidak betulnya,” katanya membidas pihak yang mengkritik PAS.

Tambahnya,atas dasar Islam PAS boleh berunding dengan mana-mana pihak malah sehingga kini tidak ada sesiapa yang menjadi Ketua Pakatan Rakyat.

“Pimpinan secara kolektif dan kita setuju masing-masing pemimpin parti mencari pengaruh mengajak rakan dalam BN supaya bersama dengan kita,”jelasnya lagi.

Dalam pada itu Ustaz Hadi menjelaskan peranan ahli-ahli PAS pada pilihan raya umum ke-12 yang bersedia bekerja bagi pihak parti lain,yang mana membantu kemenangan Pakatan Rakyat.

“Jadi, selepas capai kemenangan perlu diambil kira peranan orang-orang PAS ini. Sebab orang PAS bukan bodoh! Jangan ketepikan peranan mereka selepas kita menang pilihan raya,”katanya lagi.

Di samping itu, beliau juga menasihatkan kepada rakan-rakan Pakatan Rakyat supaya jentera PAS jangan digunakan untuk menjayakan pilihan raya ke-12 sahaja, sebaliknya selepas pilihan raya itu seolah-olah mereka tidak ada peranan lagi. – mks.

(Ikuti kupasan lanjut dan pandangan tajam Ustaz Hadi berhubung politik negara di dalam keluaran Harakah terbaru 10 Julai yang berada di pasaran kini)