Latah segelintir pemimpin dan ahli-ahli PAS lantaran hangatnya isu muzakarah Pas-Umno begitu terasa. Ramai spekulator membuat tafsiran sendiri dengan bersumberkan beberapa maklumat yang kononnya suara dari pimpinan tertinggi yang enggan disebutkan namanya.

Latah ini begitu hangat bila Dollah juga menangguk di air keroh dengan mendedahkan bahawa sudah 3 kali rundingan dibuat bersama pimpinan Pas. Ruang yang begitu padat ini dihimpit lagi dengan beberapa artikel yang tidak tahu asal usul tetapi ingin berkongsi luahan perasaan hingga ada yang mengugut akan keluar Pas jika pimpinan yang ada sekarang membawa Pas kembali rujuk pada Umno-BN.

Perkara asas yang tidak difahami

Muzakarah ini hanyalah suatu medium perbincangan dan juga ruang terbaik untuk kedua-dua pihak berunding tentang hal-hal yang melibatkan kepentingan rakyat. Cuma tafsiran bahawa pertemuan 3 kali dengan pimpinan Umno itu begitu jauh tersasar dengan pelbagai andaian, walhal Dollah sendiri pun tidak mendedahkan secara terperinci siapakah yang bertemu beliau dan apakah isu yang dibangkitkan?

Muzakarah yang telah berlalu adalah dilakukan secara individu dan tidak dilakukan atas arahan parti. Segala perbincangan itu hanya berkisar tentang isu-isu politik semasa dan tidak menyentuh soal masuk Umno atau BN.

Ianya lebih kepada polemik bagi mendapatkan pandangan awal kedua-dua pihak, natijah dari keputusan pilihanraya 2008. Dalam perang pun kadang kala, bendera putih dibuat bagi gencatan senjata untuk berunding cara baik. Walaubagaimana pun ‘gencatan senjata’ yang dilakukan lebih kepada unit kecil atau orang tertentu sahaja.

Pertemuan yang bersifat peribadi ini bertukar menjadi isu hangat setelah ianya dimainkan dalam media, walhal menjadi lumrah bagi ahli parlimen dan ADUN Pas untuk berbual dengan wakil rakyat atau mana-mana pimpinan parti lain selepas persidangan Parlimen atau DUN.

Asasnya adalah pertemuan sosial individu yang tertentu tanpa didasari oleh sebarang keperluan untuk membuat keputusan berhubung soal masa depan Pas. Jadi isu yang disebutkan dalam temuramah dan kenyataan Presiden Pas jelas menyatakan bahawa diperingkat awal ianya bukanlah pertemuan serius.

PKR dan DAP juga mengadakan pertemuan

Pimpinan PKR dan DAP juga mengakui bahawa mereka juga ada melakukan pertemuan atau muzakarah dengan ahli Umno dan komponen BN yang lain. Fokus mereka adalah kepada isu ‘lompat parti’ dan juga pengagihan jawatan dalam pentadbiran Kerajaan negeri hingga menyebabkan beberapa pimpinan parti Gerakan meletak jawatan dan dipanggil oleh jawatankuasa tatatertib kerana membantu DAP.

Anwar juga kecoh satu Malaysia apabila menyatakan beberapa ahli parlimen BN akan lompat menjadi ahli PKR. Isu berkenaan dilihat secara positif kerana penyokong PAKATAN tidak sabar melihat PAKATAN memerintah Malaysia dengan ’simple majority’.

Kenapa pula Pas tak boleh berunding @ bermuzakarah?

Jadi timbul persoalan dari Presiden Pas. Jika pimpinan PAKATAN yang lain boleh berunding dengan musuh untuk perkukuhkan kedudukan, kenapa Pas tak boleh? adakah kerana mereka mengunakan konotasi ‘berunding’ dan ‘lompat parti’ barulah diterima sedangkan Pas mengunakan konotasi ‘muzakarah’ dan ianya terus dibantah.

Keadaan sekarang meletakan Pas seperti berada dikandang ‘mereka yang bersalah’, walhal pimpinan Pas juga kekal berdakwah dengan manifestasi yang difikirkan sesuai walaupun ianya digerakkan secara individu. Isu kepentingan rakyat dan kestabilan ekonomi serta perpaduan menjadi agenda utama. Dalam masa yang sama masing-masing menghormati pendirian pihak lawan.

Muzakarah membuka ruang untuk perjuangan rakyat.

Dalam hal muzakarah ini, ianya wajar dipandang secara positif kerana pimpinan Pas mengambil sikap lebih serius dalam memperjuangan isu rakyat bukan sekadar di parlimen atau DUN. Pertemuan dan muzakarah yang dilakukan sebelum ini adalah rentetan terhadap isu-isu semasa yang berbangkit dimana ruang itu digunakan oleh pemimpin Pas untuk menjelaskan sikap dan pendirian tanpa sedikitpun meletakkan matlamat perjuangan dibelakang.

Tok Guru Nik Aziz pernah menegaskan bahawa;

“Pas sebagai pembangkang adalah penegur dan penasihat kepada pemerintah (BN). Seandainya Kerajaan menukar perlembagaan Negara dengan meletakan Islam sebagai wadah perjuangan dan perlembagaan Negara, Pas tidak akan menentang. Sebaliknya Pas akan bekerjasama dengan pemerintah demi kedaulatan dan keutuhan negara”

Kenyataan diatas jelas menunjukan sikap Pas. Selagi BN tidak tukar dasar jadi ruang yang ada bersama mereka hanya sekadar perbincangan pada sudut kecil yang dirasakan boleh dibaiki atau ditegur.

Hal yang sama turut dilakukan dalam urusan bersama PAKATAN kerana Pas dalam PAKATAN menuntut agar suara pimpinan didengar dan dihormati. Isu ketidaksetujuan pimpinan Pas dalam PAKATAN tidak timbul kerana selagi ada sebab boleh bersama dan masih ada tolak ansur maka kita akan kekal.

PAKATAN hanyalah wadah Pas bukannya solusi bagi semua perkara kerana kita faham bahawa parti komponen dalam pakatan juga mempunyai agenda yang tersendiri. Kebersamaan kita hanya pada perjuangan rakyat yang tidak menolak dasar Islam. Dimana dasar kita ditolak, maka disitu tetap wujud perbezaan pendapat yang harus diselesaikan secara perundingan.

Beza perundingan Pas dengan PAKATAN dan Umno-BN

Gabungan PAKATAN melibatkan Pas, PKR dan DAP. Gabungan ini jelas dalam memperjuangan hak rakyat dalam isu pemulihan demokrasi, pembanterasan jenayah dan pemulihan ekonomi. Dalam hubungan PAKATAN, hingga kini tiada ketua dilantik kerana belum ada kata pemutus tentang kebersamaan dalam beberapa lagi isu khususnya dalam soal melibatkan agama. Walaubagaimana pun Pas mengambil sikap mengutamakan majoriti kebaikkan yang diperolehi dari ancaman keburukan yang sudah diketahui.

Hubungan dengan Umno-BN dalam muzakarah hanyalah disandarkan pada niat untuk membantu rakyat yang mana pemerintah yang sah masih lagi BN. Pas mengambil sikap menegur secara proaktif di dalam dan luar dewan, agar nasib rakyat dipandang serius oleh pimpinan BN.

Siapa kata Pas akan masuk Umno-BN?

Pimpinan Pas setakat ini tidak pernah mengumumkan bahawa muzakarah itu bertujuan untuk mengembalikan Pas kepada BN. Tiada sesiapa pun yang pernah mengeluarkan kenyataan sedemikian. Jadi soal Pas ingin kembali pada BN memang tak wujud!

Majlis Syura dengan jelas menolak cadangan untuk Pas bergabung kembali dengan BN. Ini jelas pada kita dan isu Pas masuk BN tidak harus digembar-gemburkan.

Harus diingat juga bahawa Muzakarah ini juga adalah peluang untuk pemimpin Pas berdakwah pada pimpinan Umno-BN dan bukannya melibatkan soal masuk BN atau tidak.

Peluang bermuzakarah ini hanya diambil bagi Pas mengemukakan hujah pada Umno-BN tentang sikap mereka yang merugikan rakyat, khususnya orang melayu.

Walaubagaimana pun pimpinan tertinggi juga menegaskan bahawa, isu-isu yang melibatkan dasar tidak boleh diputuskan dalam muzakarah tanpa mendapat persetujuan ahli melalui Muktamar dan disemak oleh Majlis Syura.

Sikap Ahli Pas

Dalam melayani isu ‘Muzakarah’ ini, ahli Pas perlulah bersikap berlapang dada dan sabar. Tindakan tergopoh-gapah dan mengeluarkan kenyataan yang tidak dirujuk dengan sumber yang sahih boleh menyebabkan kekeliruan dan anarki dalam parti. Keraguan ahli terhadap pimpinan boleh terhakis dengan luahan emosi dan maklumat palsu yang tersebar.

Oleh itu, ahli disaran untuk berfikir lebih matang dan menggunakan medium yang betul iaitu dalam Muktamar untuk membahaskan isu ini. Dorongan emosi haruslah diketepikan dan sikap rasional wajar didokong agar segala keputusan dibuat tidak merugikan parti.

Musuh-musuh Pas kini sedang berliur untuk membaham ahli-ahli yang semakin hari semakin lemah kepercayaanya pada parti lantaran begitu teruja dengan umpanan maklumat yang tidak sahih. Oleh itu wajarlah kita menilai kembali kefahaman kita agar tidak menjadi punca kepada retaknya hubungan atau bergoncangnya parti yang menjadi wadah kita selama ini.

Pas akan kekal dengan dasarnya. Tetapi pimpinan dan ahli belum pasti boleh terus berjuang untuknya. Jadi inilah masa untuk kita buktikan kesetiaan, bukannya membuat hipostesis sendiri tanpa memperdulikan kesannya.