Pemuda PAS Wilayah Persekutuan akan turun ke Stadium Bukit Jalil untuk mengedarkan risalah kesadaran kepada orang ramai. Ini berikutan konsert Inul yang akan diadakan pada 27 Julai 2008 di Stadium berkenaan.

Konsert Goyang Gerudi Inul telah diluluskan di Stadium Bukit Jalil selepas dibatalkan di Stadium Larkin pada 19 Julai lepas selepas tidak mendapat kelulusan permit daripada Pejabat Daerah Johor Bahru.

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan telah menyerahkan memorandum bantahan melalui ketua pemudanya Sdr. Kamaruzaman Mohamad pada pukul 10 pagi tadi. Sejurus selepas itu Kamaruzaman memberitahu media, Pemuda Wilayah Persekutuan akan turun mengedarkan risalah kesedaran pada hari konsert berkenaan dilangsungkan.

Pemuda PAS Wilayah Persekutuan telah diarahkan untuk turun beramai-ramai di Stadium Bukit Jalil untuk bersama-sama mengedarkan risalah pada hari tersebut. Orang ramai yang hendak menyertai program ini juga dialu-alukan. Edaran tersebut akan diketua oleh Sdr. Kamaruzaman sendiri.

Untuk itu, semua diminta berkumpul di pintu utama stadium, yang berdekatan dengan LRT pada hari itu, sebelum menjelang waktu maghrib. Pemuda akan bersolat jemaah maghrib disitu sebelum memulakan edaran risalah. Oleh yang demikian semua peserta dinasihatkan datang dalam keadaan berwuduk pada 27 Julai ini.