Ketua Pemuda PAS Wilayah Sdr Kamaruzaman Mohamad hari ini menyerahkan memorandum bantahan penganjuran konsert Inul yang akan diadakan di Stadium Bukit Jalil pada 27 Julai 2008. Memorandum tersebut diterima oleh pegawai khas Datuk Bandar Kuala Lumpur En Shaari Ahmad Junid yang mewakili Datuk hakim Borhan. Penyerahan memorandum tersebut juga turut disertai oleh Sdr Khairul Faizi Ahmad Kamil (Ketua Pemuda PAS Johor), Sdr Zulkarnain Mohamad (AJK PAS Wilayah Persekutuan) dan Suhaimi Abd Aziz (AJK PAS Wilayah Persekutuan).

Di dalam perbincangan dengan pegawai khas Datuk Bandar tersebut Sdr. Kamaruzaman menyatakan kekecewaan Dewan Pemuda PAS Wilayah kerana pihak DBKL meluluskan permit konsert tersebut. DPPWP menolak konsert Inul kerana ia akan membawa contoh yang tidak baik kepada masyarakat. Malah Majlis Ulama’ Indonesia (MUI) sendiri telah melabelkan Inul sebagai penari lucah.

Saudara Khairul Faizi membangkitkan persoalan, mengapa kelulusan permit konsert di Bukit Jalil terlalu mudah. Sedangkan permit konsert Inul di Stadium Larkin sebelum ini dibatalkan, walaupun telah dipohon 2 bulan sebelum tarikh konsert berlangsung. Mengapa pihak DBKL tidak merujuk kepada Pejabat Daerah Johor Bahru sebelum konsert tersebut diluluskan.

Sdr. Kamaruzaman juga meminta supaya sebarang konsert selepas ini perlu di teliti dan di kaji sebelum diluluskan. Sensiviti masyarakat perlu diambil kira sebelum meluluskan sebarang penganjuran konsert. Beliau juga berharap agar konsert Inul ini dibatalkan. Pemuda PAS Wilayah akan turun ke Stadium Bukit Jalil pada 27 Julai 2008 ini untuk mengedarkan risalah bagi menyedarkan orang ramai.

Berikut salinan memorandum yang diserahkan :

23 Julai 2008 /20 Rejab 1429

Kepada;

Yang Berbahagia

Dato’ Abdul Hakim Bin Borhan

Datuk Bandar Kuala Lumpur

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur

Jalan Raja Laut

50350 Kuala Lumpur

Yang Berbahagia Dato’,

BANTAHAN KONSERT INUL DARATISTA DI STADIUM PUTRA, BUKIT JALIL, KUALA LUMPUR PADA 27 JULAI 2008

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan melahirkan rasa kesal dan kecewa terhadap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur kerana meluluskan konsert Inul Daratista di Stadium Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 27 Julai 2008 akan datang.

2. Inul Darastista atau nama sebenarnya Ainul Rokhimah 29 tahun, telah dilabelkan oleh Majlis Ulama Indonesia (MUI) sebagai penari lucah pada Ogos 2002 kerana tarian gelek gerudinya. Adakah dengan tindakan pengharaman tersebut, negara kita mahu memberikan ‘suaka politik’ kepada beliau?

3. DPP Wilayah Persekutuan mempersoalkan mengapa pula pihak penganjur membatalkan dan memindahkan lokasi Konsert Inul Daratista dari Stadium Larkin, Johor pada 19 Julai 2008 ke Stadium Putra, Bukit Jalil pada 27 Julai 2008. Apakah relevannya Stadium Putra, Bukit Jalil dipilih. Pihak penganjur seakan-akan mahu membesar-besarkan saiz penganjuran konsert tersebut. Soalnya, Inul Daratista adalah artis Indonesia. Apakah negara Malaysia telah ketandusan artis tempatan untuk menghiburkan rakyat Malaysia, atau penganjur mahu menghiburkan rakyat Indonesia yang bermastautin di Malaysia? Apakah nilai yang kita mahukan dari artis ini selain dari persembahan yang berahi dan mengghairahkan.

4. Persembahannya di Stadium Merdeka pada tahun 2005 dan 2007 telah membuktikan bahawa unsur-unsur lucah tidak dapat dipisahkan dari tariannya yang merupakan ‘trademark’ bagi Inul sendiri. Ternyata imej lucah dan mengghairahkan tidak dapat dipisahkan dari diri beliau. Peluang ketiga tidak harus diberikan kepada beliau kerana ia memang tidak sesuai dengan budaya masyarakat Malaysia. DPPWP juga bersetuju bahawa konsert artis seperti ini menyumbang kepada keruntuhan akhlak dan gejala sosial yang lebih besar terhadap anak-anak muda Malaysia.

5. Sehubungan dengan itu, Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan membantah dan mendesak supaya persembahan Inul pada 27 Julai 2008 ini dibatalkan. Dewan Pemuda Wilayah Persekutuan juga menuntut kerajaan supaya menyediakan garis panduan yang jelas berkaitan dengan bentuk hiburan yang dibenarkan selari dengan ajaran Islam.

5. Garis panduan tersebut mestilah mencakupi semua bentuk hiburan bagi membantu Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem Dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL) dan pihak penganjur (event management) merangka serta menyusun program dan artis yang memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh kerajaan.

6. Perlu ditegaskan di sini, Dewan Pemuda PAS Wilayah Perskeutuan tidak menghalang hiburan, bahkan merasakan hiburan ini adalah satu ‘alternatif’ manusia masa kini. Namun yang dipertikaikan disini ialah bentuk hiburan yang melampau dan merosakkan minda dan jiwa rakyat, hiburan yang melalaikan dan membawa anasir-anasir negatif seperti dadah, arak, pergaulan bebas, khayalan cinta dan lupa diri kepada pemuda-pemudi di Malaysia. Realiti hari ini, hiburan telah lari dari tujuan untuk merehatkan minda dan santai kepada tujuan perniagaan dan keuntungan.

Akhir sekali, DPP Wilayah Persekutuan sekali lagi mendesak supaya konsert Inul Daratista dibatalkan. DPPWP mencadangkan supaya pihak penganjur mencari artis lain yang lebih bersopan, tertib, berakhlak dan diterima oleh majoriti rakyat Malaysia. Ramai lagi artis Malaysia yang popular tetapi mempunyai imej yang boleh diterima oleh masyarakat di Malaysia.

Sekian desakan dan tuntutan kami

Yang menjalankan amanah

KAMARUZAMAN MOHAMAD

Ketua Pemuda

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan