Walaupun cerita lama, terungkap di dalamnya kesedaran dan ukhwah sesama manusia. Bahkah lebih dari itu, terasa kemesraan dan tingginya nilai pertolongan sewaktu terdesak. Semuanya ini terjadi, ketika negara terkejut dengan isu “depa raya”.

Rakan saya, yang kini Timbalan Pesurujaya PAS Wilayah Persekutuan, Ustaz Nazir Zakaria menceritakan pengalamannya itu. Suatu ketika keretanya pernah mengalami kerosakan gearbox di Lebuh Raya Utara Selatan, dekat susur keluar Tapah.

Ustaz Nazir berasal dari Kuala Kedah tetapi sudah lama menetap di Putrajaya. Kerosakan kereta itu terjadi sewaktu beliau hendak ke Kuala Lumpur.

Setelah tercari-cari siapakah yang boleh membantu, beliau menghubungi Setiausaha PAS Putrajaya, Wan Hasrul Affendi. Kebetulan kereta Proton itu dipinjam darinya dan Ustaz Nazir adalah Yang Dipertua PAS Putrajaya. Wan memberikan nombor telefon yang boleh dihubungi di kalangan aktivis PAS Perak.

Ustaz Nazir menghubungi nombor tersebut. Amran Harun, pemilik nombor telefon itu memberi jaminan akan menghantar seseorang ke sana. Ketika itu, Amran adalah Setiausaha Jabatan Pilihan Raya PAS (JPN) negeri berpangkalan di Ipoh. Tidak lama kemudian, seorang petugas PAS sampai dan membawa Ustaz Nazir serta kereta tersebut ke sebuah bengkel.

Sikap bertanggungjawab Amran cukup terpuji. Setelah seminggu berlalu, Amran sendiri menghantar kereta yang sudah siap dibaiki ke rumah Ustaz Nazir di Putrajaya, dari Kampar. Amran juga adalah Setiausaha PAS Kawasan Kampar, waktu itu.

Ketika ummat Islam mahu menyambut hari raya Aidulfitri, yang dikongsikan oleh kerajaan Barisan Nasional dengan hari raya Depavali dan disebut “Depa Raya”, sekali lagi Ustaz Nazir ditimpa kecelakaan. Tayar kereta Citra miliknya terbelah akibat terlanggar gigi jalan yang agak tajam di stesyen Petronas Hentian Rehat Tapah.

Ustaz Nasir bersama isteri dan anak-anak dalam perjalanan ke Kuala Kedah. Untuk berhari raya di kampong.

Waktu itu, tiada satupun kedai beroperasi kerana esoknya umat Islam akan menyambut hari raya Aidulfitri. Dan hari tersebut pula, orang sibuk menyambut hari raya Depavali. Ustaz Nazir bertambah panik, tiada tayar simpanan dalam kereta.

Tiba-tiba, beliau teringat Amran Harun yang pernah menolongnya kira-kira setahun sebelum itu. Beliau terus menghubungi Amran. Nampaknya, Amran masih mengenal Ustaz Nazir dan berjanji akan menghantar “petugas” ke Hentian Rehat Tapah itu dalam masa 30 minit.

Ketika itu, umat Islam masih berpuasa dan esok akan menyambut hari raya. Bayangkanlah, terbelahnya tayar kereta itu dalam suasana terik matahari. Tayar simpanan tiada. Selang beberapa minit, telefon berbunyi. Seorang “petugas” terus bertanya Ustaz Nazir, saiz tayar dan jenis tayar bagi memudahnya mendapatkan tayar berkenaan.

Kira-kira 30 minit kemudian, “petugas” berkenaan sampai dan membawa tayar terpakai. Seorang yang sederhana kurus, bercermin mata dan kelihatan peramah. Barangkali “petugas” itu tinggal tidak jauh dari Tapah.

Malangnya, tayar yang dibawa (terlekat bersama rim) tidak sesuai dengan kedudukan skru pengikat rim. Akhirnya, “petugas” itu mengajak Ustaz Nazir mencari kalau-kalau ada kedai atau bengkel yang beroperasi hari itu sekitar pekan Tapah.

Dengan menaiki kereta “petugas” itu, mereka menuju Pekan Tapah. Semua kedai kelihatan tertutup kaku. Tiada satupun bengkel yang membuka pintunya. Tiada juga kedai tayar yang menggamit pelanggan hari itu. Semua bercuti, sebab hari itu hari raya Depavali dan esok hari raya Aidulfitri.

“Petugas” itu melurukan keretanya ke arah Pekan Bidor. Jauh juga perjalanan dari Tapak ke sana. Patah semula ke arah Kuala Lumpur mengikut jalan lama. Mereka bernasib baik, terdapat satu bengkel yang masih beroperasi. Dan ada pula, tayar yang dicari-cari.

Dari jalan lama itu, mereka keluar ke susur Bidor dan masuk semula ke Lebuh Raya Utara Selatan menuju Hentian Rehat Tapah, tempat kereta Ustaz Nazir ditinggalkan bersama anak dan isterinya. Sebaik tiba, “petugas” itu terus membuka baju kemejanya. Yang tinggal hanya tshirt pagoda nipis berwarna putih.

Ustaz Nazir cuba untuk membantu tetapi ditegah oleh “petugas” itu. Kerana katanya, ini sudah jadi tanggungjawab beliau untuk menolong sesiapa sahaja khususnya ahli-ahli PAS sepanjang lebuh raya mahupun jalan lama yang merentasi negeri Perak.

Amranpun pernah memberitahu perkara itu. “Petugas” itu juga mengesahkan bahawa mereka ada team yang boleh dipanggil, jika berlaku musibah menimpa ahli-ahli PAS sepanjang perjalanan. Baik membabitkan kereta, motosikal mahupun kenderaan lain.

Peluh jantan mencurah-curah keluar. “Petugas” itu terus gigih memasang semula rim kereta. ‘Tshirt’ pagodanya sudah lenjun basah. Terik mahatari bukan kepalang. Hari itu, umat Islam berpuasa. Tentu sekali letih, dahaga dan tidak bermaya. Namun, “petugas” itu tekun menjalankan amanah parti, menolong sesama manusia.

Setelah selesai, dan “petugas” itu mengesat peluhnya, dia mengenakan semula baju kemejanya. Ustaz Nazir menghulurkan sedikit wang sebagai sagu hati. “Petugas” itu menolak, kerana katanya dia menolong dengan ikhlas. Bukan untuk mendapatkan wang.

Sebagai tanda ukhwah, rasa tanggungjawab dan tidak sampai hati, Ustaz Nazir menjadi serba-salah dengan penolakan “petugas” itu. Ustaz Nazir terus menghulurkan duit saguhati itu, kalau “petugas” itu tidak mahu menerimanya, beliau minta dimasukkan ke dalam tabung jamaah (PAS).

Sambil berpeluk-pelukan, Ustaz Nazir mengucapkan berbanyak terima kasih kepada “petugas” yang cukup baik hati itu. Beliau menghulurkan kad nama kepada “petugas” itu, kalau-kalau selepas ini boleh berjumpa di mana-mana, makan-makan sebagai tanda ukhwah.

“Ustaz Nazir Zakaria. Oh… Ustaz, Bendahari PAS Wilayah. Jadi Yang Dipertua Kawasan Putrajaya juga,” kata “petugas” itu sambil membaca bait-bait yang ditulis pada kad nama Ustaz Nazir. “Petugas” itu juga turut mengeluarkan kad namanya dan menghulurkan kepada Ustaz Nazir.

“Ini kad ana. Manalah tau, kalau-kalau berlaku apa-apa, hubungi terus ana,” ujar “petugas” itu sambil menghulurkan sekeping kad nama kepada Ustaz Nazir.

Tertera pada kad itu, nama Ir Mohamad Nizar Jamaluddin; Bendahari Badan Perhubungan PAS Perak dan (Yang Dipertua PAS Kawasan Kampar, Perak). Rupa-rupanya, “petugas” itu adalah kini, Menteri Besar Perak Darul Ridzuan dan Amran Harun pula menjadi Pegawai Khas beliau.