Pemuda Islam Wilayah dan Selangor akan turun berhimpun bagi membantah forum bertajuk “memeluk Islam” yang dianjurkan oleh majlis peguam pada esok hari, 9 Ogos 2008 (Sabtu). Bantahan tersebut sebagai tanda protes dan amaran kepada majlis peguam yang dilihat cuba untuk mempertikaikan hak agama Islam.

Program ini juga amat merbahaya dan boleh menimbulkan ketegangan hubungan antara umat Islam dan penganut agama lain. Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di dalam kenyataan medianya sebelum ini membantah sekeras-kerasnya forum tersebut.

“Perkara ini juga berlaku akibat daripada kelemahan pemimpin-pemimpin Islam yang tidak dapat menjaga Islam walaupun telah memegang tampuk kekuasaan. Sehingga Islam boleh dipertikaikan dan diperlekehkan”

Berikutan itu semua Pemuda PAS Wilayah dan Selangor telah mengarahkan ahlinya turun bersam-sama membantah pada esok hari. Pemuda PAS juga menyeru dan mengajak semua umat Islam lain yang prihatin untuk turun bersama-sama bagi menunjukkan rasa tidak puas hati umat Islam terhadap program tersebut.

Semua Pemuda dan umat Islam diminta berkumpul di hadapan LRT Masjid Jamek, Kuala Lumpur pada pukul 9.00 pagi esok dan berjalan beramai-ramai ke perkarangan Majlis Peguam.

“Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan telah Aku cukupkan nikmatKu kepada kamu. Dan Aku telah redha Islam itu menjadi agama untuk kamu..(Al-Maidah :3)