Lebih kurang seribu umat Islam yang prihatin hari ini berjaya menghentikan forum “Memeluk Islam” yang diadakan di Pejabat Majlis Peguam. HImpunan bantahan tersebut dianjurkan oleh Pemuda PAS dan beberapa Pertubuhan Islam bukan kerajaan. Turut serta juga ialah wakil dari GPMS dan badan kebajikan UMNO.

Perhimpunan awal telah bermula di hadapan Bangunan Majlis Peguam pada pukul 8 Pagi lagi. Peserta himpunan semakin ramai apabila kumpulan daripada Pemuda PAS dan GAMIS sampai pada pukul 9 pagi. Bantahan semakin hebat dengan laungan “Allahuakbar”, “batal forum” dan doa wehdah.

Himpunan tersebut juga dikawal kemas oleh lebih kurang 20 orang ahli unit amal Wilayah, Selangor dan Perak.

Beberapa pemimpin seperti YB Salahudin, YB Zulkifli Nordin dan Ust. Badrul Amin hadir dan memberikan kata-kata peransang kepada peserta demonstrasi. Turut hadir beberapa exco Pemuda Pusat iaitu Kamaruzaman, Ust Ridhuan, Ust Norazli dan Ust Kamal Ashaari.

YB Zulkifli, wakil GPMS, YB Salahudin dan beberapa pimpinan yang lain berunding dengan pihak polis agar forum itu segera dihentikan. Perundingan tersebut dibuat di dalam kereta polis untuk mengelakkan gangguan dari orang lain.

Selepas itu YB Zulkifli mengumumkan dan memberi amaran jika pada pukul 9.45 pagi polis gagal menghentikan forum tersebut beberapa pimpinan akan naik. Sekiranya pada pukul 10 pagi forum masih berjalan orang ramai akan merempuh masuk ke dalam bangunan.

Pada pukul 9.45 pagi beberapa orang pimpinan naik apabila majlis tidak juga dihentikan. Pada pukul 9.55 keadaan menjadi semakin kecoh apabila orang mula menolak benteng kawalan unit amal. Beberapa orang peserta sudah mula marah dan ingin merempuh. Speaker yang diketuai oleh ustaz Ridhuan cuba menenangkan keadaaan diselang dengan laungan takbir.

Kira-kira pukul 10.10 pagi kelihatan beberapa orang peserta forum mula keluar meninggalkan bangunan. Ramai peserta forum terpaksa ikut jalan belakang kerana takut untuk berhadapan dengan peserta demonstrasi. Beberapa peserta forum yang keluar ikut jalan depan diherdik dan dikutuk oleh orang ramai.

Pada pukul 10.30 peguam Zulkifli Nordin keluar dan mengatakan majlis forum tersebut telah berjaya dibatalkan. Orang ramai meminta wakil penganjur forum meminta maaf tetapi tiada yang berani tampil ke hadapan. Selepas itu orang ramai minta pagar besi bangunan ditutup sebagai simbolik kepada kejayaan menghentikan forum tersebut. Pintu Grill bangunan di turunkan atas arahan polis.

Himpunan hari ini tamat dengan doa yang dibacakan oleh Ust Norazli Musa. Perserta demonstrasi bersurai kira-kira pada pukul 11.30 pagi.