Konsert Avril yang dijadualkan pada 29 Ogos ini telah ditunda atas alasan ia tidak sesuai dengan sambutan hari kemerdekaan Malaysia pada 31 Ogos 2008. Keputusan itu telah dibuat selepas mesyuarat Kementerian Kebudayaan, Keseniaan dan Warisan (KEKWA) bersama dengan Jawatankuasa Permohonan Artis Luar Negeri (PUSPAL).

Pada 8 Ogos yang lalu, rombongan Dewan Pemuda PAS yang diketuai oleh Ketuanya Sdr Kamaruzaman Mohamad telah berjumpa dan berbincang dengan wakil PUSPAL agar konsert itu dibatalkan kerana ia jelas tidak sesuai dengan sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia dan membawa nilai yang buruk kepada akhlak dan moral rakyat Malaysia.Wakil Puspal Hj Syukran telah mendengar luahan daripada wakil Pemuda PAS Wilayah dan menerima memorandum yang disampaikan oleh Sdr Kamaruzaman, dan berjanji akan membawa perkara tersebut kepada perbincangan.

Berhubung dengan berita pembatalan yang telah dilaporkan oleh Malay Mail hari ini, Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan memberi penghargaan atas usaha tersebut. Ini menunjukkan ada sedikit komitmen dan keprihatinan PUSPAL terhadap memorandum bantahan yang dihantar.

Walaubagaimanapun Pemuda Wilayah bertegas, konsert tersebut mesti dibatalkan dan tidak cukup hanya sekadar menunda tarikh. Imej yang dibawa oleh artis ini sangat tidak sesuai untuk rakyat Malaysia, apatah lagi agama Islam.

Avril Lavigne’s juga adalah seorang peminum alkohol dan perokok. Ini sangat merbahaya kepada akhlak dan moral terutamanya remaja.

Pemuda PAS Wilayah akan sentiasa mengikuti perkembangan isu ini dan akan memastikan artis seperti Avril tidak akan membuat persembahan di Negara ini. Tidak kira ia berlangsung pada masa bulan kemerdekaan ataupun tidak. Jika diteruskan jugak Pemuda PAS Wilayah tidak teragak-agak akan turun ke jalan raya.

PAS tidak pernah menghalang konsert yang dianjurkan jika ia tidak membawa keburukan kepada masyarakat. Malah Islam mengharuskan hiburan dalam kehidupan seharian. Tetapi hiburan itu biarlah membawa manfaat dan imej yang baik untuk dicontohi.