Lebih kurang seminggu lagi Negara Malaysia akan menyambut hari kemerdekaan yang ke-51. Seperti biasa pelbagai aktiviti akan diadakan bagi meraikan sambutan ini. Yang paling meriah sudah tentulah bandaraya-bandaraya utama seperti Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Apa yang paling mendukacitakan sambutan hari kemerdekaan pada setiap tahun mesti dicemari dengan aktiviti-aktiviti maksiat yang dilakukan oleh remaja dan warga asing. Persembahan bunga api yang menelan berjuta-juta ringgit akan pasti mewarnai malam tersebut. Pada tahun ini, sambutan 31 Ogos sehari sebelum menjelang Ramadhan Al-mubarak, bulan yang sangat mulia bagi umat Islam. Sudah tentu umat Islam akan rasa terhina jika diambang ramadhan diisi dengan program-program maksiat. Apatah lagi golongan yang mengimarahkan program maksiat ialah ialah anak-anak muda Islam. Sungguh memalukan.

Oleh yang demikian, Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan mendesak kepada kerajaan menghentikan sebarang program yang membuka pintu maksiat ketika di ambang Ramadhan. Jika kerajaan betul-betul serius dan prihatin dengan masalah umat Islam hentikan sambutan yang berunsurkan maksiat.

Jika pemimpin-pemimpin UMNO prihatin dengan masalah yang melanda umat Islam, pastikan malam 31 Ogos bersih dari unsur kemaksiatan. Bukan hanya berdegah-degah konon nak berbincang masalah umat Islam dan Melayu, tetapi membiarkan pemuda pemudi tenggelam arus kemaksiatan. Ia bukan saja menghina umat Islam tapi pejuang-pejuang kemerdekaan yang berusaha membebaskan melayu daripada penjajah.

Pemuda Wilayah dijangka akan terus menganjurkan XPDC dakwah pada malam tersebut seperti tahun-tahun sebelum ini. Pemuda Wilayah akan terus komited dalam usaha menyedarkan rakyat terutamanya umat Islam yang semakin lupa dengan perkara-perkara halal dan haram. Pemuda-pemuda kawasan telah diarahkan bersedia untuk turun bersama-sama membanteras kemaksiatan.

Pemuda Selangor juga dijangka akan bersama-sama turun membanteras maksiat pada malam merdeka tersebut.