Putrajaya: Rombongan YDP PAS Kawasan Putrajaya semalam telah menghantar memorandum berkenaan pembinaan sekolah rendah dan sekolah menengah agama di Putrajaya. Memorandum itu semalam telah selamat diserahkan setelah memorandum yang pertama telahpun diserah pada 25 Zulhijjah 1427 Hijrah.

“Kami, PAS Kawasan Putrajaya pada hari ini ingin menyerahkan memorandum kedua kami berkenaan sekolah agama di Putrajaya memandangkan masih tiada lagi tindakan proaktif yang diambil oleh pihak-pihak berkenaan berhubung isu ini dalam tempoh 2 tahun ini. Semalam sudah 25 Zulhijjah 1429 Hijrah, sudah masuk tahun yang kedua”, respon beliau kepada wartawan Sinar Harian.

Baru-baru ini di dalam suatu Majlis Rumah Terbuka Majlis Permuafakatan PIBG sekolah-sekolah Putrajaya yang turut dihadiri oleh Ahli Parlimen Putrajaya dan Ketua Balai Polis Putrajaya, ibubapa telah dikejutkan dengan angka indeks jenayah yang melibatkan remaja di Putrajaya meningkat lebih 100 peratus sehingga September 2008, iaitu sebanyak 46 pelbagai kes.

“Tetapi malangnya, ahli parlimen kita pula meletakkan kesalahan total kepada ibubapa dan lebih malang beliau menyamakan ibubapa seperti ‘Syaitan’, tidak pandai menjaga anak-anak dan hanya tahu meletakkan kesalahan kepada pihak kerajaan sahaja. Ingin saya tegaskan di sini bahawa isu ini perlu dipandang dengan skop yang lebih luas iaitu ibubapa dalam rumah tangga dan ibubapa dalam konteks bermasyarakat dan bernegara. Ibubapa di rumah memainkan peranan mereka, manakala ibubapa di dalam masyarakat dan negara adalah pemimpin yang berperanan mencorakkan persekitaran semasa. Maka dengan itu saya kira persoalan mengenai isu sekolah agama ini mesti dibangkitkan semula agar bukan sekadar pembinaan sekolah agama ini dapat dilihat dan berjalan, malah kita mahu isu-isu jenayah dan sosial ini dapat di atasi dengan secara yang lebih holistik ”

Ujar Ustaz Nazir Zakaria lagi, “Kita mahu PM kita, Pak Lah dapatlah kiranya meninggalkan jasa-jasa terbaiknya sebelum melepaskan jawatan pada Mac 2009 nanti. Penduduk sebelum ini dijanjikan pembinaan sekolah agama di tapak Presint 9 pada Disember ini, tetapi hari ini sudahpun 23 haribulan dan sedikit pun tanda-tanda kerja pembinaan masih belum kelihatan. Sebelum lebih lambat maka kami rasa perkara ini perlu diperpanjangkan sekali lagi”.

Memorandum yang dihantar ke Pejabat Perdana Menteri, Pejabat Menteri Wilayah, Pejabat JAKIM dan Pejabat Presiden Perbadanan Putrajaya itu secara ringkas termuat beberapa tuntutan yang termuat di dalam memorandum kedua PAS Kawasan Putrajaya berhubung tuntutan pembinaan sekolah rendah dan menengah agama Putrajaya:

1. Segerakan pembinaan sekolah agama rendah dan menengah agama di tapak cadangan Presint 9 sepertimana yang juga dijadikan manifesto kempen pilihanraya ahli parlimen Putrajaya.

2. Utamakan pembinaan sekolah agama dan bukannya pembinaan surau di tapak cadangan kerana tuntutan sekolah agama lebih prioriti berbanding tuntutan surau sekiranya kewangan menjadi alasan utama kelewatan pembinaan sekolah agama.

3. Meminta agar diwujudkan sekolah agama sementara supaya dapat beroperasi bagi sesi tahun 2009 dengan menggunakan mana-mana bangunan atau premis kosong di dalam Putrajaya.

4. Seimbangkan pembangunan modal insan dengan hanya tidak menumpukan perbelanjaan besar kepada aktiviti-aktiviti bersifat fizikal dan pelancongan seperti penganjuran pesta-pesta bertaraf antarbangsa seperti Pesta Bunga Api dengan mengabaikan pembinaan modal insan bagi penduduk Putrajaya itu sendiri.