Posted on by HermanSamsudeen

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (Pemudawilayah) menghormati Dato’ Seri Najib Tun Razak yang telah berkhidmat dalam medan politik selama 33 tahun. Penghormatan wajar diberikan oleh UMNO dan Barisan Nasional kepada beliau yang telah berusaha gigih sehingga dilantik menjadi Perdana Menteri Malaysia Kelima.

Beliau harus faham, setelah 50 tahun BN memerintah di negara ini, rakyat sudah boleh menilai kepimpinannya. Hakikatnya, rakyat sudah menolak BN. Buktinya pada 8hb Mac 2008 yang lalu. Ini ditambah pula dengan kekalahan BN dalam empat pilihanraya kecil berturut-turut.

Maka, parti pembangkang atau Pakatan Rakyat perlu mengambil alih pemerintahan negara dengan segera supaya dapat memperbetulkan kesilapan, kelemahan dan kerosakan yang dilakukan oleh Barisan Nasional sebelum ini.

Islam telah mengajar umatnya dalam solat berjemaah. Simboliknya, jika imam melakukan kesilapan dalam solat, makmum yang lelaki atau perempuan wajib untuk menegurnya. Jika imam tersebut masih meneruskan solatnya walaupun sudah ditegur berulang kali, maka makmum perlu untuk menggantikan imam tersebut termasuklah bermufaraqah dalam solatnya.

Pemudawilayah berharap agar YAB Dato’ Seri Najib faham dengan analogi yang diajar dalam Islam ini. Tambahan pua, beliau juga adalah seorang Muslim.

Krisis politik dan perlembagaan yang berlaku di Perak jelas menunjukkan bahawa Barisan Nasional yang gilakan kuasa. Meskipun, Mahkamah Tinggi telah memutuskan bahawa YAB Dato’ Seri Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar yang sah, Barisan Nasional masih enggan menghormati sebaliknya mengheret kes ini ke peringkat yang lebih tinggi.

Begitu juga insiden demokrasi hitam yang berlaku pada 7hb Mei di Dewan Undangan Negeri Perak. Siapakah yang menyuruh pihak polis dan orang-orang yang tidak dikenali masuk, membuat kecoh dan menarik Speaker DUN keluar dari dewan persidangan tersebut? Adakah ini bukti yang jelas bahawa BN sendiri yang gilakan kuasa dan kedudukan?

Mior Isfandy Mior Azizan
Timbalan Ketua Penerangan
Dewan Pemuda Pas Wilayah Persekutuan