Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) meminta kerajaan supaya tidak menaikkan bayaran Bantuan Makanan Asrama daripada RM1 kepada RM3 sehari bagi pelajar yang ibu bapa mereka berpendapatan melebihi RM5,000 sebulan.

DPPWP berpendapat, kadar yang sedia ada perlu dikekalkan bagi membantu rakyat Malaysia menikmati kemudahan pendidikan yang selesa. Ini kerana pendidikan adalah perkara penting yang perlu diberikan keutamaan. Ia adalah keperluan asas rakyat di setiap negara. Kerajaan seharusnya memberikan khidmat pendidikan secara percuma kepada setiap rakyat tanpa mengira batasan kaum dan latar belakang kehidupan.
Tidak dinafikan meskipun ada ibu bapa yang berpendapatan lebih daripada RM 5,000 sebulan hidup selesa, namun dengan kadar serta kos sara hidup yang semakin meningkat, ia turut menjejaskan kehidupan mereka. Banyak faktor lain yang perlu diambil kira seperti tanggungan ibu bapa, bebanan lain seperti cukai, serta kos sara hidup yang dialami terutama mereka yang tinggal di bandar besar seperti Kuala Lumpur.
Secara realitinya peluang kemasukan ke asrama bagi pelajar sekolah di Malaysia sangatlah terhad.

Pelajar-pelajar terpaksa bersaing sesama mereka bagi mendapatkan tempat yang terbaik. Hanya mereka yang mendapat pencapaian akademik yang terbaik sahaja dipilih untuk mendapat tempat ke sekolah berasrama penuh. Justeru,Pelajar-pelajar yang ada di sekolah-sekolah asrama khususnya asrama penuh di negara ini adalah mereka yang sangat cemerlang dari sudut pencapaian akademik. DPPWP merasakan apalah salahnya kerajaan melaburkan sejumlah wang kepada sektor pendidikan dengan memberi subsidi sehingga RM16 sehari bagi setiap pelajar memandangkan nilai yang bakal diraih kerajaan apabila mereka tamat pengajian kelak. Kerajaan harus melihat bahawa pelajar-pelajar ini adalah aset besar kepada negara.

Lagipun nilai RM 1.4 bilion yang dibelanjakan bagi menanggung Bantuan Makanan Asrama pelajar-pelajar sangat kecil nilainya berbanding dengan projek-projek mega negara yang belum tentu menguntungkan rakyat. Banyak lagi pembaziran yang dilakukan dalam jabatan kerajaan, projek-projek gajah putih, kos-kos yang tidak munasabah disamping rasuah yang melibatkan nilai berbilion ringgit Malaysia. Justeru, bajet atau peruntukan mengurus di Kementerian Pelajaran perlu ditambah bagi memberikan perkhidmatan pendidikan yang terbaik kepada pelajar dan ibu bapa di negara ini. Langkah menaikkan bayaran Bantuan Makanan Asrama adalah langkah tidak bijak dan pelaburan jangka panjang yang tidak menguntungkan kerajaan.
Disediakan oleh
MOHAMAD SUHAIMI BIN ABDUL AZIZ
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan