Negara sedang menghadapi ancaman pergaduhan kaum dan agama. Apa yang membimbangkan rakyat ialah kerajaan seperti hilang kawalan. Setiap kali jaminan kerajaan (KDN) dan POLIS bahawa keadaan terkawal maka setiap kali itulah juga ada kejadian baru seperti pencerobohan terhadap pejabat peguam majalah Herald dan simbahan cat berwarna merah di sebuah Gereja di Kota Tinggi berlaku semalam.

Kejadian simbahan cat merah di Gereja Kota Tinggi dan pencerobohan pejabat peguam majalah Herald menunjukkan keadaan negara dalam bahaya. Malang sekali bagi rakyat Malaysia apabila kerajaan seperti tiada langkah yang berkesan dan konkrit dalam mengatasi masalah perhubungan antara kaum dan agama, sedangkan selama ini kerajaan sering melaungkan negara-negara luar begitu kagum melihat formula Malaysia dalam mengurus rakyat pelbagai kaum dan agama. Ternyata peristiwa mutakhir ini menunjukkan kerajaan tiada suatu formula dan pelan induk yang jelas untuk melahirkan masyarakat yang saling hormat-menghormati dan saling memahami antara kaum dan agama.

Kerajaan ternyata tidak serius dalam menanggani permasalahan ini dan ini dibuktikan apabila PM dan TPM meninggalkan rakyat dan negara dan berada di luar negara di waktu negara dalam krisis. Saya tahu pemergian mereka adalah juga tugas untuk negara. Walaupun saya percaya TPM akan pulang dalam sehari dua ini, tapi bagi saya tidak wajar berlaku sama ada negara dalam keadaan tenang atau tegang kedua-dua pemimpin utama tiada dalam negara walaupun satu hari dalam satu masa. Apatah lagi seorang PM bila negara berada dalam keadan tegang kerana isu perkauman dan keagamaan tidak wajar meninggalkan negara. Ini menunjuk tiada penyelarasan dan kesepakatan serta ketidak sehaluan antara kedua pemimpin utama. Rakyat di dahulukan tidak diterjemahkan dan direalisasikan sebaliknya rakyat di tinggalkan untuk pergaduhan hasil provokasi politik yang di penuhi dengan kebusukkan politik.

“RAKYAT DI DAHULUKAN VS RAKYAT DI TINGGALKAN”
” MALAYSIA TANPA PM DAN TPM”

DATUK HAJI MAHFUZ HAJI OMAR
Naib Presiden PAS.